Perintah Pervez ampun Benazir dibantah

ISLAMABAD 12 Okt. – Mahkamah Agung Pakistan hari ini bersetuju untuk mendengar petisyen yang mencabar perintah kerajaan memberi pengampunan kepada bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto daripada tuduhan rasuah.

Mahkamah menerima lima petisyen yang membantah ordinan perdamaian negara yang ditandatangani oleh Presiden Pervez Musharraf seminggu lalu.

Ordinan itu memperuntukkan pengampunan untuk ahli politik yang didakwa atas tuduhan rasuah antara 1985 hingga 1999.

“Sebarang faedah yang diperoleh atau ingin diperoleh oleh mana-mana pemegang jawatan awam hendaklah tertakluk kepada keputusan mengenai petisyen tersebut,” kata Ketua Hakim, Iftikhar Muhammad Chaudhry.

Iftikhar yang menjadi duri dalam daging bagi Pervez sejak Presiden cuba memecat beliau awal tahun ini, menetapkan perbicaraan akan datang diadakan tiga minggu lagi.

Benazir dijadual pulang ke tanah air pada Khamis depan selepas menghabiskan lapan tahun hidup dalam buangan bagi mengelakkan tuduhan rasuah terhadap beliau dan suaminya, Asif Ali Zardari.

Tindakan mahkamah itu bermakna, perintah pengampunan itu masih berkuat kuasa buat masa sekarang tetapi mereka yang mendapat faedah daripadanya bakal menghadapi tuduhan semula jika ordinan itu didapati menyalahi perlembagaan.

“Penerima faedah tidak akan berhak untuk menuntut perlindungan (daripada pendakwaan) jika mahkamah ini memutuskan ordinan tersebut dan segala peruntukannya melanggar perlembagaan,” kata Iftikhar.

Beliau mengarahkan peguam tidak menyebut nama Benazir atau nama tokoh awam lain semasa sidang mahkamah.

“Kami bukan menentang sesiapa, kami hanya meneliti undang-undang ini.

“Kami bukan mendengar kes terhadap individu tertentu,” jelas hakim itu.

– AFP

0 comments: