Misi Dr. Faiz dibincang segera

MOSCOW 12 Okt. – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) dan Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat bagi membincangkan misi ke angkasa yang bakal disertai oleh Kapten Dr. Faiz Khaleed.

Menurutnya, perbincangan itu akan dijalankan segera bagi membolehkan Faiz memulakan latihan sebelum melaksanakan misi itu pada tahun depan atau 2009.

‘‘Saya akan mengemukakan permohonan kepada Roskosmos tentang perkara itu dan dalam lawatan saya ke AS pada penghujung tahun ini, saya akan berjumpa dengan pihak NASA pula.

‘‘Ini bagi membolehkan inisiatif untuk misi ke angkasa dapat diteruskan dan tidak berhenti setakat yang pertama sahaja,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Aidilfitri di Kedutaan Besar Malaysia dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Mohamad Khalis Hassan dan Faiz serta ahli keluarga angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Rabu lalu, pelancaran misi angkasawan pertama Malaysia ke angkasa menuju Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) berjalan lancar.

Mengulas lanjut, Jamaluddin berkata, sekiranya Faiz berpeluang menjalani latihan untuk misi akan datang, kementeriannya akan menjalankan sesi saringan untuk memilih angkasawan sokongan kepada Faiz.

‘‘Kita akan membuka peluang kepada semua rakyat Malaysia dan juga finalis calon angkasawan yang pernah menjalani sesi pemilihan sebelum ini.

‘‘Kita juga mencabar wanita Malaysia untuk sama-sama berentap menjadi angkasawan seterusnya.

Sementara itu, Faiz ketika ditemui berkata,beliau gembira dengan tawaran tersebut dan menganggapnya sebagai hadiah bermakna sempena Aidilfitri.

– Utusan

0 comments: