Pembangkang Myanmar mati ketika soal siasat

YANGON 11 Okt. – Sebuah pertubuhan penentang kerajaan Myanmar semalam melaporkan, seorang anggota parti pembangkang negara ini meninggal dunia semasa disoal siasat manakala dua aktivis lain ditangkap.

Perkembangan itu menunjukkan junta tentera terus mengambil tindakan keras ke atas kumpulan-kumpulan prodemokrasi walaupun keadaan di jalan raya nampak tenang.

Persatuan Bantuan bagi Tahanan Politik yang tinggal dalam buangan di Thailand juga melaporkan, pegawai keselamatan mengancam ahli keluarga dan jiran-jiran penentang kerajaan dalam usaha untuk menjejaki mereka yang terlibat dalam protes prodemokrasi bulan lepas.

Menurut persatuan itu, pihak berkuasa baru-baru ini memaklumkan keluarga Win Shwe, 42, bahawa dia meninggal dunia semasa disoal siasat di tengah negara ini.

Lelaki yang menganggotai Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi itu ditangkap 26 September lalu, iaitu hari pertama junta melancarkan operasi meleraikan bantahan.

Mayat Win Shwe dibakar di pusat tahanan berkenaan.

Laporan itu tidak dapat disahkan secara berasingan walaupun persatuan itu sebelum ini menyalurkan maklumat tepat mengenai tahanan politik di Myanmar.

Kumpulan itu berkata, tindakan terus diambil ke atas penentang kerajaan.

Persatuan itu mendakwa, sekurang-kurangnya tujuh orang telah ditangkap termasuk dua orang semalam, dalam tempoh dua hari lalu di bandar ini, walaupun junta dan NLD dipercayai mengambil langkah berhati-hati ke arah mengadakan dialog.

– AP

0 comments: