Gambar bedah: Pegawai polis dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Polis telah merekodkan keterangan beberapa pegawai polis berhubung isu penyebaran gambar bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin yang ditemui dalam keadaan menyayat hati di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Gambar bedah siasat Nurin Jazlin, 8, dalam keadaan menyayat hati itu telah disebarkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab melalui Internet dan khidmat pesanan ringkas (SMS) baru-baru ini.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, pada masa ini siasatan sedang dilakukan dari pelbagai aspek.

‘‘Saya sedih dengan apa yang berlaku dan polis akan mencari penyebar gambar-gambar itu dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan meskipun anggota polis sendiri yang melakukannya,’’ katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ditanya mengenai wanita Indonesia yang dibebaskan semalam, beliau berkata, wanita itu telah diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

‘‘Kita dapati wanita tersebut hanya terlibat dengan penghantaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibu bapa Nurin Jazlin dan Rakan Cop sahaja,’’ katanya.

0 comments: