Kes Nurin: Siapa lelaki ini?

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman


GAMBAR rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal membawa beg yang dipercayai mengandungi mayat Nurin Jazlin dan kemudian meletakkannya di sebuah bangunan kedai di Petaling Jaya, Selangor pada 16 September lalu. Rakaman CCTV itu telah dipertontonkan kepada para pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Okt. – Imej seorang lelaki mengangkat beg Diadora berisi mayat Nurin Jazlin Jazimin, 8, dari raga motosikal sebelum meninggalkan beg itu di tepi tangga sebuah bangunan kedai di Petaling Jaya telah dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Rakaman CCTV yang ditingkatkan kualiti imej menerusi bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) itu turut menyaksikan gelagat mencurigakan seorang wanita memakai baju merah di kaki lima bangunan kedai sederet di Jalan PJS 1/48 Petaling Jaya dan tiga lelaki menaiki Perodua Kenari.

Wanita terbabit pada mulanya dilihat ‘berpura-pura’ tidak mengenali tiga lelaki terbabit tetapi kemudian meninggalkan tempat itu dengan menaiki kereta mereka.

Rakaman CCTV itu yang telah dihantar ke Makmal FBI di Washington, Amerika Syarikat pada 27 September lepas dibawa pulang semalam dan dipertontonkan kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ia mengandungi dua segmen iaitu segmen pertama selama dua minit yang dirakamkan pada pukul 1 petang, 16 September lepas menunjukkan imej seorang lelaki menunggang motosikal Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg pakaian jenama Diadora berwarna biru dan hitam.

Segmen kedua selama tujuh minit yang dirakamkan pada pukul 2 petang hari yang sama pula mempamerkan gerak-geri mencurigakan seorang wanita di kaki lima sebelum menaiki kereta Perodua Kenari bersama tiga lelaki.

Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, polis percaya kedua-dua rakaman imej itu mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan kejam kanak-kanak malang itu.

“Sebelum dirujuk kepada FBI, imej CCTV ini kabur dan hari ini imej rakamannya dapat ditingkatkan.

“Oleh itu kita minta kesemua lima orang ini tampil bagi memberi maklumat dan kerjasama kepada polis,” katanya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.

Menurut beliau, dalam segmen pertama, lelaki itu sambil membuat panggilan telefon dilihat berlegar-legar di kawasan premis No. 31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya di mana mayat Nurin Jazlin ditemui di dalam beg sukan sama seperti yang dibawa lelaki berkenaan.

‘‘Lelaki berkenaan kemudian dilihat mengangkat beg itu dari raga motosikalnya dan meninggalkannya di tepi tangga tingkat bawah premis berkenaan lalu beredar dari kawasan terbabit,’’ katanya.

Sejam kemudian kata Christopher, kelihatan imej seorang wanita berbaju merah berlegar-legar di kaki lima premis berkenaan.

‘‘Sejurus selepas itu, kelihatan sebuah kereta jenis Perodua Kenari berwarna perak bersama-sama tiga orang lelaki menghampiri kawasan wanita terbabit berdiri.

‘‘Mereka kelihatan berbual dan seterusnya wanita itu bersama lelaki-lelaki terbabit meninggalkan lokasi berkenaan dengan kereta Perodua Kenari,’’ katanya.

Beliau berkata, wanita yang dilihat di dalam rakaman itu adalah wanita seperti fotofit yang dikeluarkan pada 2 Oktober lalu.

“Mengenai lelaki bermotosikal itu dengan fotofit lelaki yang kita edarkan, mungkin orang berbeza,” katanya.

Christopher meminta media menyiarkan imej lelaki dan wanita dalam CCTV itu dengan harapan ia dapat membantu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

Mereka yang mempunyai maklumat diminta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke Rakan Cop di nombor 32728 atau menghubungi pegawai penyiasat kes berkenaan, Asisten Supritendan (ASP) Loh Pey Pey di talian 019-3577008.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Dia ditemui mati 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya pada 16 September lalu akibat didera secara seksual.

Polis yang melakukan siasatan kemudiannya mengambil rakaman CCTV daripada sebuah kedai berhampiran mayat kanak-kanak itu ditemui.

Bagaimanapun rakaman CCTV tersebut memaparkan imej yang kabur.

Bagi memperkemas serta mempertingkatkan kualiti rakaman tersebut polis telah menghantar rakaman CCTV itu ke makmal penyelidikan FBI di Washington.

0 comments: