8 bekas pemain Kedah tetap dapat imbuhan

ALOR STAR – Pengurus pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz semalam menegaskan isu berhubung pemberian bonus kepada bekas pemain hanyalah salah faham semata-mata dan tidak sepatutnya diperbesar-besarkan, lapor ROSMAWATI MION.

Beliau mendakwa, kelapan-lapan bekas pemain yang dikatakan tidak tersenarai dalam pemberian bonus itu sebenarnya gagal dihubungi untuk hadir pada majlis pengagihan bonus yang diadakan di Wisma Darul Aman, kelmarin atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

‘‘Apa yang berlaku sebenarnya salah faham sahaja. Nama mereka memang ada dalam senarai, malah semua wang bonus itu sudah dimasukkan ke dalam akaun masing-masing hari ini (semalam).

‘‘Ekoran salah faham itu, pemberian insentif kepada bekas pemain sedikit terlewat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Othman bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai jumlah wang yang diterima oleh kelapan-lapan bekas pemain terbabit.

Kelmarin, KFA menyampaikan ganjaran kemenangan kepada pemain-pemain Kedah yang berjaya menjuarai Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA musim lalu.

Dalam majlis itu, pemain-pemain Kedah dan jurulatih serta para pegawai menerima ganjaran yang keseluruhannya berjumlah RM400,000 di atas kemenangan pasukan Kedah kejuaraan hatrik pada musim lalu.

Ganjaran tersebut merupakan bonus yang dijanjikan oleh KFA selepas hasrat untuk membawa pasukan melawat Eropah dibatalkan ekoran kesuntukan masa, selain ketiadaan beberapa pemain Kedah yang dipilih mewakili negara pada Sukan SEA di Korat Disember ini.

Bagaimanapun, jumlah imbuhan yang diterima oleh setiap pemain berbeza-beza berdasarkan status pemain dan jumlah permainan iaitu antara RM10,000 hingga RM15,000.

0 comments: