Kes Nurin: Rakaman CCTV dedah suspek

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim

(kanan); LELAKI terbabit menurunkan beg dari motosikal." height="251" width="432">
GAMBAR (kiri); SUSPEK disyaki menelefon seseorang dengan beg masih di atas motosikal.
(kanan); LELAKI terbabit menurunkan beg dari motosikal.


Polis rayu orang ramai tampil beri maklumat, bantu siasatan kes pembunuhan Nurin

KUALA LUMPUR: Polis semalam menayangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan seorang lelaki bermotosikal membawa sebuah beg Diadora berwarna hitam dan biru, dipercayai mengandungi mayat mangsa pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin, 8.

Rakaman CCTV yang melalui proses peningkatan imej di Makmal Forensik Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat itu, ditayangkan pada sidang media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee.



Polis turut menayangkan satu lagi segmen yang merakamkan kelibat seorang wanita serta tiga lelaki lain berlegar-legar di kaki lima berhampiran lokasi premis mayat mangsa ditemui di No 31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.


Wan berkata, kedua-dua segmen itu yang dirakam CCTV di bengkel kenderaan bersebelahan premis berkenaan pada 16 September lalu, dipercayai saling berkaitan berhubung kes pembunuhan Nurin yang mayatnya ditemui sehari selepas itu.

Beliau berkata, rakaman CCTV itu yang baru dibawa pulang pegawainya dari Makmal Forensik FBI kelmarin, diharap dapat membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin.

LELAKI berkenaan membawa beg memasuki premis berdekatan.


"Polis sangat berharap mana-mana pihak atau individu yang terpapar dalam segmen rakaman CCTV itu, tampil memberikan maklumat atau membantu siasatan.

"Kita juga berharap mana-mana pihak yang mengenali individu yang terpapar dalam segmen itu, tampil memberikan maklumat melalui Rakan Cop di talian 32728 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Loh Pei Pei di talian 019-3577008," katanya.

Wan berharap media menyiarkan rakaman berkenaan sekerap mungkin dalam usaha membantu polis mengesan individu dalam segmen berkenaan.

Bagi memudahkan orang ramai menyaksikan rakaman CCTV itu, Berita Harian menyiarkan visual berkenaan dalam laman web di www.bharian.com.my.

SEORANG wanita (kanan) dan tiga lelaki dalam kereta dirakam sejam selepas itu.

Visual segmen pertama selama kira-kira dua minit, menunjukkan lelaki yang menunggang Modenas Kriss itu, berhenti di hadapan premis No 31, Jalan PJS 1/48, kira-kira jam 1 petang, 16 September lalu.

Sebaik turun daripada motosikalnya, lelaki itu membuka topi keledar dan membuat panggilan menggunakan telefon bimbitnya sambil berlegar di kawasan itu.

Imej lelaki itu kemudian tidak kelihatan seketika sebelum dilihat memakai semula topi keledar dan terus mengambil beg Diadora yang diletakkan di bahagian depan motosikalnya dan ditinggalkan di tepi tangga tingkat bawah premis itu.

Segmen kedua selama tujuh minit pula menunjukkan kelibat seorang wanita berbaju merah dan seluar panjang berdiri berhampiran premis sama, sejam selepas lelaki terbabit meninggalkan kawasan itu. Wanita berkenaan adalah wanita sama yang lakaran wajahnya diedarkan polis, baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu, sebuah Perodua Kenari yang dinaiki tiga lelaki berhenti di depan premis sama.

Seorang lelaki berbaju belang putih hitam yang duduk di kerusi penumpang depan, kemudian keluar menuju ke belakang kereta, manakala pemandu yang mulanya membuka pintu, menutup kembali pintu berkenaan.

Lelaki berbaju belang kemudian membuka pintu penumpang di belakang pemandu sebelum seorang lagi lelaki berbaju kuning dan berseluar pendek keluar dan duduk di kerusi bersebelahan pemandu.

Ketika itu juga wanita berbaju merah memasuki kereta berkenaan dengan duduk di kerusi belakang. Mereka kelihatan berbual-bual sebelum meninggalkan lokasi berkenaan dengan kenderaan itu.

Wan bagaimanapun berkata, nombor pendaftaran motosikal dan kereta itu tidak dapat dikenal pasti walaupun rakaman itu sudah ditingkatkan dengan bantuan FBI.

Beliau juga meminta pemandu teksi Syarikat Uptown yang dilihat melalui kawasan terbabit, menghubungi polis bagi membantu siasatan.

"Sebelum ini kita sudah menghubungi syarikat berkenaan, tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti siapa pemandu teksi itu," katanya sambil mengesahkan siasatan kes itu diteruskan termasuk bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan itu.

Mengenai pembebasan wanita Indonesia berusia 23 tahun yang sebelum ini ditahan berhubung kes Nurin, beliau berkata, wanita itu ada mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Rakan Cop Polis Kuala Lumpur mengenai kes itu.

Beliau bagaimanapun berkata, maklumat kad SIM telefon bimbit wanita itu tidak boleh digunakan bagi mendakwanya dalam kes pembunuhan itu.

Wan juga berkata, Bukit Aman kini menjalankan siasatan pada tahap skala penuh bagi mengesan dalang yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin melalui e-mel.

INFO:

  • Polis menayangkan dua segmen rakaman kamera litar tertutup (CCTV), semalam.
  • Segmen pertama selama dua minit, menunjukkan seorang lelaki bermotosikal membawa sebuah beg Diadora berwarna hitam dan biru, dipercayai mengandungi mayat mangsa pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin, 8.
  • Segmen kedua selama tujuh minit yang merakamkan kelibat wanita serta tiga lelaki berlegar-legar di kaki lima berhampiran lokasi premis mayat mangsa ditemui di No 31, Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.
  • Pemandu teksi Syarikat Uptown yang dilihat melalui kawasan terbabit diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.
  • Sebarang maklumat hubungi melalui Rakan Cop di talian 32728 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Loh Pei Pei di talian 019-3577008.

0 comments: