Solat di angkasa lepas tumpuan media dunia

Oleh Magendran Rajagopal

Dr Muszaphar cetus minat negara Asia Tenggara lahir angkasawan

KUALA LUMPUR: Kejayaan Malaysia menempatkan Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha ke orbit kelmarin mendapat liputan meluas media seluruh dunia dan berpendapat ia akan mencetuskan minat di kalangan negara Asia Tenggara terhadap penerokaan angkasa lepas.

Akhbar nombor satu Amerika Syarikat, USA Today melaporkan Dr Sheikh Muszaphar adalah titik permulaan bagi penduduk Asia Tenggara mendalami pengembaraan angkasa lepas dan berpotensi besar menghasilkan lebih ramai angkasawan pada masa depan.


New York Times melaporkan pelancaran roket Soyuz TMA-11 kali ini turut melakar sejarah bagi Amerika Syarikat berikutan angkasawannya, Dr Peggy A Whitson menjadi komander wanita pertama Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

The Guardian, United Kingdom melaporkan walaupun Dr Sheikh Muszaphar adalah umat Islam kesembilan ke angkasa lepas, beliau yang pertama menjalani puasa dan menyambut Aidilfitri di orbit.

Akhbar itu turut menyebut dunia Islam berminat mengetahui pengalaman berpuasa di angkasa lepas serta bagaimana menunaikan sembahyang lima waktu dalam pesawat yang mengelilingi bumi 16 kali sehari.


The Times di London memetik kenyataan Dr Sheikh Muszaphar bahawa beliau tidak akan meninggalkan puasa dan sembahyang ketika berada di angkasa lepas serta kesediaannya berkongsi pengalaman itu dengan umat Islam sejagat.

Agensi berita Russia ITAR-TASS menyifatkan pembabitan Malaysia dalam pelancaran kali ini berpotensi mencungkil minat negara Asia Tenggara lain terhadap misi angkasa lepas.

Roket Soyuz TMA-11 bercerai dari pesawat angkasa lepas Soyuz 15-S apabila memasuki orbit kira-kira jam 9.30 malam kelmarin selepas dilancarkan dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan.

Dr Sheikh Muszaphar Shukor menyertai misi itu bersama Dr Peggy dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko dari Russia.

Akhbar Singapura, The Straits Times menyiarkan pelancaran itu di muka tiga tajuk 'Pelancaran: Rakyat Malaysia gembira angkasawan Muszaphar berlepas ke stesen angkasa'.

Business Times menyiarkan gambar Reuters menunjukkan Dr Sheikh Muszaphar memakai pakaian angkasanya di dalam kapal angkasa, dengan petikan 'Malaysia Boleh di Angkasa' manakala Berita Harian (Singapura) menyiarkan berita pada muka surat lima dengan tajuk 'Angkasawan pertama Malaysia berlepas'.

Agensi berita nasional China, Xinhua News Agency, China News Service dan laman web Sina.com turut memuatkan berita sama, manakala Beijing Times dan Beijing Youth Daily memaparkan gambar Dr Sheikh Muszaphar menuding jari menunjukkan Jalur Gemilang pada lengan kiri sejurus sebelum melangkah masuk ke kapsul.

0 comments: