Perakam data ditemui -- Angka korban meningkat 89 orang, 41 terselamat

UTUSAN MALAYSIA - LUAR NEGARA


PARA petugas forensik Thailand memeriksa mayat-mayat penumpang penerbangan tambang murah One-Two-Go yang terlibat dalam nahas pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket, semalam. – AFP.

PHUKET 17 Sept. – Pihak berkuasa Thailand telah menjumpai kedua-dua perakam data penerbangan dalam nahas pesawat One-Two-Go di sini tetapi menegaskan masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kejadian itu.

Pesawat tambang murah itu membawa 123 penumpang dan tujuh krew dari Bangkok ke sini apabila ia terbabas lalu terbakar ketika mendarat dalam keadaan hujan lebat dan angin kencang semalam.

Penyiasat hari ini berkata, mereka menemui kedua-dua “kotak hitam” pesawat tersebut dan berharap analisis data daripada perakam itu boleh memberi sedikit gambaran mengenai punca kejadian dalam masa beberapa minggu akan datang.

“Kami masih belum dapat menyatakan punca nahas itu.

“Pegawai telah menemui kotak hitam dan akan menghantarnya ke Amerika Syarikat (AS) untuk dianalisis,” kata Menteri Pengangkutan, Theera Haocharoen.

Bilangan angka korban nahas yang terburuk dalam sejarah Thailand telah meningkat kepada 89 orang termasuk 55 warga asing manakala 41 terselamat.

Berdasarkan senarai yang ada antara penumpang asing yang terbunuh adalah empat rakyat Amerika Syarikat, tiga rakyat Iran, Peranchis, British, Sweden dan juga Australia.

Sementara itu, Dalad Tantiprasongchai, anak perempuan Pengerusi Orient Thai Airways, syarikat penerbangan yang memiliki One-Two-Go berkata, syarikat itu akan menghulurkan bantuan permulaan 100,000 baht (RM10,625) kepada keluarga mangsa terkorban untuk pengkebumian dan kos-kos lain.

“Kami sangat sedih kerana banyak nyawa yang terkorban.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyiasat kejadian ini dan sedang berusaha membantu mangsa yang terselamat serta ahli keluarga mereka untuk pulih daripada tragedi ini secepat mungkin,” kata Dalad.

Nahas itu bakal menimbulkan persoalan baru mengenai tahap keselamatan dalam industri penerbangan tambang murah yang mengalami pertumbuhan pesat di Asia Tenggara sejak beberapa tahun kebelakangan.

Syarikat penerbangan sering mengalami kesulitan untuk mencari juruterbang berkelayakan.

Nahas semalam adalah yang pertama membabitkan syarikat penerbangan tambang murah Thailand tetapi sebelum ini sudah ada beberapa kemalangan maut di Indonesia.

Menurut data penerbangan Thai dan AS, pesawat yang nahas semalam dikeluarkan dan digunakan pada 1983 dan mula terbang di negara ini pada Mac lalu.

Syarikat penerbangan One-Two-Go mula beroperasi pada Disember 2003.

– AP

0 comments: