Kahwin tanpa wali di Perlis boleh timbulkan percanggahan pendapat

UTUSAN MALAYSIA

SHAH ALAM 17 Sept. – Keputusan kerajaan negeri Perlis membenarkan Hakim Mahkamah Syariah mengizinkan wanita berkahwin tanpa wali boleh menimbulkan percanggahan serta perselisihan pendapat di kalangan pentadbir agama di negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil berkata, ia keputusan yang dibuat sendiri di negeri itu tanpa mengambil kira pandangan semua pihak.

Menurutnya, walaupun keputusan tersebut adalah di bawah bidang kuasa agama negeri itu tetapi ia seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu.

‘‘Kita faham bidang kuasa agama Islam terletak kepada negeri masing-masing termasuk di Perlis.

“Bagaimanapun, perkara ini harus diteliti serta mendapat pandangan serta nasihat daripada mufti negeri lain sebelum diputuskan supaya tidak timbul perselisihan yang boleh menimbulkan pertikaian dan seterusnya menjadi punca kepada perpecahan umat Islam.

‘‘Kita tidak mahu hanya kerana untuk memudahkan perkahwinan, keputusan yang tidak dirujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan boleh mengakibatkan perkara-perkara yang mengelirukan termasuk perlanggaran enakmen tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Memudahkan

Abdul Rahman mengulas keputusan kerajaan negeri Perlis semalam yang memberi kuasa kepada Hakim Mahkamah Syariah membenarkan mana-mana pasangan meneruskan perkahwinan walaupun tanpa mendapat persetujuan atau kebenaran daripada wali.

Keputusan membabitkan Enakmen Pentadbiran Undang-undang Keluarga Islam (Pindaan) 2007 itu telah diputuskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, 11 September lalu bagi memudahkan pasangan yang hendak berkahwin setelah menghadapi kesukaran mendapat persetujuan wali pasangan perempuan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan pindaan enakmen tersebut perlu memikirkan bahawa perkahwinan tanpa wali merupakan perkahwinan yang dilangsungkan tanpa restu ibu bapa.

Katanya, walaupun Islam membenarkan pengunaan wali hakim dalam sesuatu perkahwinan, peranan keluarga khususnya ibu bapa dalam perkara itu perlu ditekankan.

“Saya harapkan keputusan ini perlu disusuli dengan satu pendekatan yang terbaik agar sesebuah perkahwinan itu tidak menimbulkan sebarang pertikaian di antara pasangan mahupun ibu bapa pasangan terbabit.

“Ini kerana kita tidak mahu keadaan sedemikian akan mempengaruhi serta memberi kesan negatif kepada perkahwinan mereka.

“Jika keadaan ini berlaku, apa gunanya kita permudahkan perkahwinan sedangkan ia menjadi punca kepada keruntuhan institusi kekeluargaan Islam,” jelasnya.

0 comments: