Awasi anak anda -- * Tiga lagi hilang * Mayat budak ditemui * Di mana Nurin?

UTUSAN MALAYSIA

Oleh Abdul Rashid Abdul Rahman dan Tan Ming Wai


Anggota polis membawa karung plastik berisi mayat seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui dalam sebuah beg di Petaling Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tragedi malang membabitkan kanak-kanak perempuan tidak berdosa berlaku satu demi satu, seolah-olah tidak ada kesudahannya.

Terbaru ialah kejadian yang membabitkan dua mangsa yang masih tidak mengerti apa-apa.

Ketika misteri kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, masih belum terjawab, orang ramai hari ini dikejutkan dengan penemuan menyayat hati mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya dekat sini.

Sebelum itu, dua hari lalu, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Norashila Jaafar dilaporkan hilang dari rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Selangor, sebuah kawasan perumahan yang terletak kira-kira 50 kilometer ke utara Kuala Lumpur.

Norashila hilang bersama dua lagi remaja perempuan berusia 14 tahun yang merupakan jirannya.

Dalam kejadian di Petaling Jaya pagi ini, mayat kanak-kanak berusia antara enam hingga sembilan tahun ditemui dalam keadaan berbogel di dalam sebuah beg pakaian. Kaki mangsa mengerekot manakala terdapat kesan lebam di leher selain luka dan calar-calar di kaki.

Identiti kanak-kanak yang berambut pendek dan berkulit sawo matang itu belum dapat dikenal pasti.

Apa yang pasti kanak-kanak perempuan itu disahkan bukan Nurin Jazlin setelah pengecaman dibuat oleh ibu bapa Nurin petang ini.

Bagaimanapun, pihak hospital tetap mengambil contoh darah ibu bapa Nurin untuk ujian asid deoksiribonukliek (DNA) bagi mengesahkan kanak-kanak itu bukan Nurin Jazlin.

Berdasarkan bau mayat, polis percaya mangsa telah meninggal dunia lebih enam jam sebelum ia ditemui.

Polis yang menerima maklumat mengenai mayat kanak-kanak malang itu terus menghubungi ibu bapa Nurin Jazlin untuk proses pengecaman di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Meskipun disahkan bukan Nurin Jazlin, pasangan Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman menyifatkan kematian kanak-kanak yang belum dikenal pasti identitinya itu cukup tragis. Norazian menangis ketika membuat pengecaman itu.

Timbalan Ketua Polis Petaling Jaya, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, beg yang berisi mayat mangsa ditemui oleh seorang pekerja syarikat IMM Management Sdn. Bhd., Cheng Yan Fang, 32, yang baru hendak memulakan tugasnya di premis syarikat pengedaran buku itu pada pukul 8.30 pagi ini.

“Ketika beg itu dibuka, keadaan kaki mangsa mengerekot selain terdapat kesan lebam di lehernya,” kata Mohamad Shukor ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata, punca kematian dan identiti mangsa masih disiasat.

Yan Fang pula memberitahu, dia menyangka beg yang ditinggalkan di hadapan tangga premis syarikat itu milik majikannya lalu terus membuka kunci jeriji dan membawanya masuk ke dalam.

“Kemudian pada pukul 9 pagi, apabila majikan saya sampai, saya telah memaklumkan kepadanya tentang beg itu. Dia membuka beg itu dan mendapati terdapat mayat seorang kanak-kanak dalam keadaan berbogel di dalamnya,’’ kata beliau.

Dalam satu lagi kejadian kanak-kanak hilang di Bukit Beruntung, Norashila yang merupakan pelajar tahun enam Sekolah Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung didapati tidak pulang ke rumah selepas ke surau berhampiran rumah untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Berikutan kehilangan Norashila, bapanya, Jaafar Abdullah, 40, seorang pemandu di Jabatan Penerangan, membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Sentosa pada hari kehilangan mangsa.

Norashila yang merupakan anak sulung daripada enam adik-beradik berambut pendek, bersusuk gempal dan memiliki ketinggian 150 sentimeter.

Menurut Jaafar, anaknya itu membawa bersamanya telefon bimbit tanpa pengetahuannya tetapi talian itu tidak dapat dihubungi sehingga ke hari ini.

0 comments: