‘Penjaga’ Nurin ditahan -- *Wanita Indonesia direman seminggu *Beri makan sepanjang mangsa ‘disimpan’

Oleh: UMAVATHI RAMAYAH


WANITA warga Indonesia yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. – Gambar ROY AZIS ABD. AZIZ.

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai bertanggungjawab memberi makan kepada Nurin Jazlin Jazimin sepanjang tempoh mangsa ‘disimpan’, ditahan polis di bazar Ramadan, Nilai, Negeri Sembilan berhampiran pasar raya besar Giant, tengah malam tadi.

Penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak malang itu kini lima orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Wanita yang bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian itu juga akan disiasat sama ada dia merupakan wanita berbaju merah dan berseluar biru yang dirakamkan oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi penemuan mayat Nurin Jazlin.

Rakaman itu memaparkan wanita berusia dalam lingkungan awal 20-an berada paling hampir dengan tempat mayat mangsa ditemui.

Sumber memberitahu, sebaik ditahan pada kira-kira pukul 12 tengah malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis daerah Petaling Jaya, wanita itu terus dibawa ke Bukit Aman untuk siasatan.

Polis turut merampas dua buah telefon bimbit serta lima keping kad SIM daripada wanita berkenaan.

Sumber itu memberitahu, siasatan awal mendapati wanita yang ditahan itu tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan lain.

“Kita tahan wanita itu cuma untuk membantu siasatan. Saya harap semua orang terutamanya media bersabar dan memberi laluan kepada polis untuk menyiasat kes ini,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Pada kira-kira pukul 12 tengah hari ini, wanita yang memakai baju berwarna kuning serta berseluar coklat itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, dekat sini.

Bagaimanapun, wanita terbabit tiba-tiba rebah di pintu masuk mahkamah sehingga memaksa polis memapahnya masuk ke dalam mahkamah.

Majistret Maimunah Aid kemudian mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kelmarin, polis menahan lima orang berusia 27 hingga 33 tahun termasuk sepasang suami isteri dalam beberapa serbuan di Shah Alam pukul 11.30 malam sebelum membebaskan wanita itu selepas keterangannya direkodkan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, wanita yang ditahan itu membuat beberapa panggilan telefon kepada Rakan Cop untuk mengetahui perkembangan dalam tugas polis mengesan kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang ketika itu masih hilang.

Sumber polis berkata, siasatan awal menunjukkan wanita berumur 23 tahun itu menggunakan sekurang-kurangnya lima kad SIM (Modul Pengenalan Pelanggan) dan dua telefon bimbit untuk membuat panggilan itu serta menghantar SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) kepada Rakan Cop.

Dia juga dipercayai menghubungi Jazimin Abdul Jalil, bapa Nurin Jazlin, ketika kanak-kanak itu mula hilang dan memberitahu bahawa Nurin Jazlin berada dalam jagaannya, kata sumber itu.

Ketika menahan wanita itu, polis merampas dua telefon bimbit dan empat kad SIM, kata sumber itu.

Bagaimanapun, tanpa disedari polis, wanita itu meletakkan satu kad SIM, iaitu kad kelima, di bawah lidahnya.

Sumber itu berkata, wanita terbabit cuba menelan kad SIM itu, dipercayai mengandungi maklumat berhubung panggilan yang dibuatnya kepada Jazimin, semasa dia dibawa ke mahkamah tengah hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya selama tujuh hari.

Ketika itulah dia rupa-rupanya tercekik kad itu dan hampir pengsan, kata sumber itu lagi.

Bernama difahamkan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei kemudian membawa wanita terbabit ke Pusat Perubatan Universiti Malaya bagi mengeluarkan kad SIM itu.

Polis turut membawa wanita berkenaan ke Hospital Kuala Lumpur kira-kira 3.30 petang ini untuk diambil darahnya bagi ujian DNA.

Hubungan antara wanita itu dengan empat suspek lelaki yang ditahan semalam masih belum dipastikan.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang selepas dia bersendirian ke pasar malam berdekatan rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini pada 20 Ogos.

Pada 17 September, mayatnya yang tidak berpakaian dijumpai dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah lot kedai di Petaling Jaya. Dia juga mengalami penderaan seksual.

0 comments: