Malaysia tidak panggil duta pulang

PEKAN 29 Sept. – Malaysia tidak akan memanggil pulang duta dan semua kakitangan kedutaannya di Myanmar walaupun keadaan keselamatan di negara itu pada masa ini semakin meruncing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, setakat ini, pihak kedutaan terbabit juga tidak memberi sebarang nasihat atau pandangan untuk memindah keluar semua kakitangan dari negara tersebut.

Menurutnya, maklumat terkini mengenai keadaan semasa di Myanmar banyak bergantung kepada apa yang dilaporkan oleh Kedutaan Malaysia di negara itu.

“Kita bergantung kepada nasihat daripada pihak kedutaan dan setakat ini, duta kita tidak memberi pandangan supaya mereka (kakitangan kedutaan) ini dipindah keluar dari negara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Hari Raya Aidilfitri sumbangan Yayasan Rahah kepada lapan keluarga di beberapa kampung di Kampung Kelat Rendang di sini hari ini.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat negara ini yang ingin berkunjung ke Myanmar yang kini semakin bergolak ekoran tunjuk perasaan besar-besaran yang dipimpin oleh sami Buddha sejak beberapa hari lalu di negara terbabit.

Tunjuk perasaan antijunta itu yang disertai oleh lebih 100,000 rakyat di Myanmar bertukar ganas apabila pihak berkuasa negara terbabit mula bertindak dan menyebabkan beberapa orang termasuk sami Buddha terbunuh.

Duta-duta ASEAN juga telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Myanmar semalam bahawa zon larangan diisytiharkan di sekitar lima wat di Yangon dan Mandalay.

Najib seterusnya memberitahu, berdasarkan keadaan di Myanmar, rakyat Malaysia tidak digalakkan untuk berkunjung atau melakukan lawatan ke negara terbabit.

“Keadaan di Myanmar membimbangkan sekarang ini dan adalah sesuatu yang tidak digalakkan untuk rakyat Malaysia membuat kunjungan atau lawatan ke negara itu sehingga keadaan itu pulih seperti sebelum ini, jadi mereka patut berfikir dan berhati-hati untuk membuat lawatan ke negara tersebut,” katanya.

Mengenai rakyat negara ini yang masih berada di negara tersebut, beliau mengingatkan mereka agar menjaga keselamatan dan menjauhi mana-mana kegiatan yang boleh memudaratkan diri.

“Kalau mereka sudah berada di Myanmar, nasihat kita ialah jangan campur urusan dalaman negara tersebut dan jangan sekali-kali sertai tunjuk perasaan dan sebagainya,” tegas beliau.

0 comments: