Kes Nurin: Ibu bapa Nurin jalani kaunseling tenang diri

Oleh Abdul Halim Yusof dan Norakmah Mat Youb


KUAT SEMANGAT: Dr Halimah menemui keluarga Nurin bagi sesi kaunseling dan pemeriksaan kesihatan percuma di Wangsa Maju, semalam.

Pemeriksaan dapati Jazimin alami tekanan darah tinggi, Norazian tertekan

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali Norazian Bistaman, 35, dan suaminya, Jazimin Abd Jalil, 33, yang trauma selepas mayat anak mereka, Nurin Jazlin, 8, ditemui dalam sebuah beg sukan di sebuah premis di Taman Petaling Utama, Petaling Jaya, pada 17 September lalu, menjalani pemeriksaan kesihatan dan kaunseling.

Hasil pemeriksaan kesihatan dilakukan secara percuma Yayasan Amal Malaysia (YAM), semalam, menunjukkan Jazimin mengalami tekanan darah tinggi disebabkan tekanan dan kurang tidur, manakala Norazian agak tertekan serta murung kerana kehilangan anak kesayangannya itu.

Naib Presiden III YAM, Dr Halimah Ali, berkata ibu bapa Nurin Jazlin berada dalam keadaan tertekan tetapi masih dapat mengawalnya dengan adanya orang sekeliling yang sentiasa memberi sokongan.

"Pemeriksaan kesihatan menunjukkan Jazimin alami tekanan darah tinggi, tetapi masih terkawal manakala Norazian agak tertekan dan murung kerana kehilangan Nurin Jazlin.

"Selepas sesi kaunseling pendek ini kedua-duanya nampak lebih tenang dan reda dengan kejadian menimpa keluarga mereka," katanya selepas memberi kaunseling dan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap ibu bapa Nurin Jazlin di rumah mereka di Wangsa Maju, di sini, semalam.


Beliau berkata, jika mahu menghilangkan trauma yang dihadapi oleh keluarga itu, ia mengambil masa lama terutama kes kematian anak mereka berlaku dalam keadaan mengerikan dan sangat menyayat hati serta disiarkan setiap hari di media massa.

"Kita tidak tahu berapa lama mereka boleh dipulihkan. Semua bergantung kepada persekitaran sekeliling. Mungkin ia mengambil masa berbulan-bulan atau boleh juga sehingga bertahun-tahun, selagi kes itu diperkatakan.

"Mereka perlu banyak bersabar. Kunjungan media dan orang ramai juga memainkan peranan untuk membantu mereka meredakan tekanan. Jika setiap hari diajukan pertanyaan dan mengimbau kenangan Nurin Jazlin pastinya proses memulihkan mereka mengambil masa," katanya.

Beliau mencadangkan bagi mengelakkan keluarga Nurin Jazlin sentiasa sedih dan hidup dalam keadaan tertekan, mereka seharusnya reda dan pasrah dengan setiap ketentuan Ilahi, selain menerima hakikat kejadian ini.

"Kami sentiasa bersedia membantu keluarga ini. Jika mereka tidak mempunyai tempat untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati, boleh menghubungi kami untuk berkongsi cerita. Sekurang-kurangnya ia meringankan sedikit rasa sebak," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kejayaan polis menahan lima orang termasuk pasangan suami isteri hasil tiga serbuan berasingan di Shah Alam, Selangor, 27 September lalu, Norazian yang kelihatan letih berkata, beliau berharap mereka yang terbabit dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

"Saya sudah penat dan hanya perlukan rehat. Jika betul polis sudah menahan orang yang bertanggungjawab terhadap kematian Nurin Jazlin, saya harap mereka dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.

"Saya tidak tahu apa-apa dan hanya serahkan semuanya kepada polis. Sekiranya mereka memerlukan maklumat kita sentiasa sedia membantu pada bila-bila masa tetapi setakat ini belum ada polis yang memaklumkan sebarang perkembangan," katanya.

Norazian berkata, beliau hanya mengetahui perkembangan kes itu melalui surat khabar, televisyen dan wartawan yang datang setiap hari untuk menemu bual mereka.

"Apabila terpandang dan terbaca cerita berkaitan Nurin hati saya pasti tersentuh dan boleh dikatakan hampir setiap hari saya terbayang-bayang keletah Kak Ngah melayan adik-adiknya di rumah ini," katanya sebak sambil meminta diri untuk berehat.

0 comments: