Program Angkasawan Negara: Negara mara ke angkasa lepas

Oleh Habsah Dinin dan Haryani Ngah


KEBANGGAAN NEGARA: Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha (kiri) dan Dr Faiz Khaleed menjalani latihan terakhir di pusat latihan angkasa lepas Star City, Moscow.

Projek pelancaran angkasawan pertama bukti kesungguhan, tekad Malaysia

TIGA satelit yang kini berfungsi di orbit dan pelancaran angkasawan pertama Malaysia ke angkasa lepas pada 10 Oktober ini, membuktikan kesungguhan negara untuk mara dalam teknologi angkasa lepas.

Sementara itu, syarikat teknologi satelit dan angkasa iaitu Astronautic Technology Sdn Bhd (ATSB) adalah yang bertanggungjawab dalam penerokaan angkasa lepas ini dan terbabit secara serius dalam beberapa projek sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad, berkata sungguhpun ATSB banyak terbabit dengan pelbagai projek sebelum ini, Program Angkasawan Negara atau Angkasawan amat diberi keutamaan oleh syarikat itu kerana kepentingannya terhadap negara dan sangat bermakna kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, syarikatnya sangat berbangga dapat terbabit dengan program berkenaan kerana ia adalah satu sejarah bermakna buat negara.

"Dengan Angkasawan, rakyat Malaysia kini sedang mengorak langkah ke masa depan yang gemilang. Kita mungkin baru menyambut kemerdekaan ke-50 tahun tetapi Malaysia lebih maju berbanding negara Asean lain dalam bidang teknologi angkasa.

"Angkasawan atau Program Angkasawan Negara memberi impak penting kepada minat rakyat di seluruh negara. Ia satu projek yang membanggakan syarikat kerana sama-sama terbabit sekali gus mencatat sejarah kepada negara," katanya.

Beliau berkata, menerusi projek angkasawan juga membolehkan rakyat negara ini berkata bahawa kini mereka bergerak ke arah masa depan.

Ahmad Sabirin yang bertanggungjawab kepada penubuhan ATSB pada 1997 ini berkata, Malaysia berjaya melepasi halangan demi halangan dalam teknologi angkasa lepas sehingga mampu menempatkan diri dalam persaingan aero angkasa pada tahap hari ini.

Katanya, teknologi angkasa di Malaysia menunjukkan peningkatan yang baik dan semakin berkembang.

"Keupayaan membangunkan teknologi angkasa lepas ini adalah nikmat 50 tahun kemerdekaan Malaysia yang dilihat mendahului semua negara Asean yang lain.

"Setakat ini lebih 20 negara di dunia berjaya menghantar angkasawan mereka ke angkasa lepas. Tidak lama lagi, Malaysia akan menyertai mereka,� katanya.

ATSB juga pelopor dan peneraju dalam perniagaan satelit di Malaysia. Bermula dengan syarikat yang ditunjangi kurang dari 10 kakitangan, ATSB kini berbangga dengan lebih 100 warga kerja.

"ATSB adalah syarikat yang kukuh dalam menaikkan nama Malaysia dalam bidang teknologi satelit angkasa. Penubuhan ATSB menjadi teras Malaysia mengorak langkah terjun ke dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata, ATSB memberi sumbangan menyediakan kelengkapan logistik kepada angkasawan.

ATSB menjadi penyedia logistik kepada angkasawan untuk mendapatkan rekod masa lalu manakala projek yang sedang dijalankan membabitkan Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia.

Selain menyediakan sistem amaran awal ini, ATSB juga menyediakan operasi mikro satelit negara yang pertama iaitu TiungSAT-1.

Satu lagi satelit yang dibangunkan ATSB ialah RazakSAT yang bakal dilancar ke angkasa lepas pada penghujung tahun ini.

"Biarpun projek RazakSAt adalah projek syarikat terbesar setakat ini dalam bentuk ringgit dan sen tetapi angkasawan adalah kejayaan negara yang sebenarnya,� kata Ahmad Sabirin.

Angkasawan ialah program menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa lepas menerusi perjanjian timbal balas antara Malaysia dengan Russia melalui pembelian pesawat pejuang Sukhoi 30MKM.

Kos program ini adalah berdasarkan perjanjian persetujuan bersyarat dalam pembelian jet pejuang buatan Russia itu.

Menerusi pakej ini, Kerajaan Russia menanggung kos latihan dan penghantaran seorang rakyat Malaysia ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) termasuk seorang lagi calon simpanannya.

Pelancaran angkasawan ke angkasa lepas dijadual pada 10 Oktober ini dari Baikonur, Kazakhstan.



Ahmad Sabirin, pemegang PhD dalam kejuruteraan angkasa lepas berkata, pengalaman syarikat bersama-sama TiungSAT-1 adalah sangat berharga.

"Kami bekerjasama dengan pihak Russia mengendalikan TiungSAT-1. Berdasarkan pengalaman ini kami kini mampu menangani sebarang isu yang bakal dihadapi,� katanya.

Memandangkan teknologi angkasa adalah perniagaan bersifat global, ATSB turut melihat pasaran luar termasuk negara Asean dan negara OIC yang mempunyai ikatan yang kuat dengan Malaysia.

Katanya, Malaysia membina kepakaran dan kemudian menawarkan khidmat satelit kepada negara yang berkenaan.

ATSB juga membuka peluang melaksanakan projek angkasa lepas secara usaha sama dan membangunkan produk dengan negara Asean seperti Vietnam

"Jika kita boleh membangunkan satelit untuk negara luar, barulah kita boleh katakan Malaysia terbabit secara serius dengan bidang angkasa lepas," ujarnya.

0 comments: