Jabatan Kesihatan akui kelemahan

Oleh: ABDUL MUIN SAPIDIN

BUTTERWORTH 29 Sept. – Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan oleh kakitangan Klinik Kesihatan Tasek Gelugor ketika berdepan kes membabitkan empat kanak-

kanak mati lemas dekat sini Rabu lalu.

Pengarahnya, Teh Lei Choo berkata, siasatan awal mendapati, kakitangan klinik itu gagal memberi bantuan yang sewajarnya kepada kanak-kanak terbabit yang dipercayai masih hidup ketika dibawa ke klinik itu bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Sehubungan itu, katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap kakitangan terbabit sejurus siasatan penuh berhubung kejadian itu selesai, selewat-lewatnya minggu depan.

“Siasatan masih dijalankan dan kakitangan terbabit sudah diarahkan memberi surat tunjuk sebab, apa tindakan yang akan dikenakan tunggulah siasatan (selesai) dulu,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang kelmarin, empat kanak-kanak prasekolah yang bersahabat karib mati lemas selepas terjun ke tali air Rumah Pam Sungai Kreh, di sini.

Mangsa, Mohd. Zaidi Saidin, 5; Badrul Hanif Ahmad, 6; Zulkifli Mohamad, 6 dan Mohamad Nur Aidil Hakimi Shaharudin, 6, ditemui lemas di dasar tali air sedalam kira-kira dua meter itu.

Ahli keluarga empat kanak-kanak itu bagaimanapun kesal kerana klinik kesihatan di kawasan itu ditutup ketika semua mangsa yang ketika itu dipercayai masih hidup dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Lebih mengecewakan, klinik itu tidak menyediakan kemudahan ambulans sehingga memaksa mangsa dibawa dalam keadaan berhimpit-himpit menaiki kereta untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas dekat sini.

Lei Choo menjelaskan, ketika kejadian, hanya terdapat seorang penolong pegawai perubatan yang bertugas tetapi keluar untuk bersolat di masjid berdekatan manakala seorang lagi bercuti sakit.

Menurutnya, ketika keempat-empat mangsa dibawa ke klinik itu, terdapat seorang juruteknologi makmal perubatan, seorang jururawat dan seorang atendan serta tukang cuci di klinik tersebut.

“Usaha telah dijalankan untuk menghubungi penolong pegawai perubatan terbabit tetapi sebelum ia dapat dilakukan, ahli-ahli keluarga mangsa telah beredar ke hospital berdekatan,” jelasnya.

Katanya, satu-satunya ambulans yang terdapat di klinik itu telah keluar menghantar seorang pesakit ke Hospital Seberang Jaya pada pukul 12.50 petang dan kembali ke klinik pada pukul 2.50 petang.

“Bagaimanapun, kakitangan di klinik gagal memberi respons yang sewajarnya ketika mangsa dibawa ke klinik dan mereka sepatutnya bersedia untuk memberi bantuan yang mampu apabila diperlukan,” tegasnya.

0 comments: