Korban tragedi jambatan Vietnam kini 46 orang

CAN THO 28 Sept. – Satu lagi mayat mangsa jambatan runtuh yang berlaku Rabu lalu dijumpai dalam runtuhan manakala tujuh lagi masih hilang, kata jurucakap Menteri Pengangkutan, Nguyen Van Cong.

Penemuan itu meningkatkan jumlah kematian kepada 46 orang hari ini dan pasukan penyelamat masih lagi meneruskan usaha mencari mangsa-mangsa yang hilang.

Kesemua mangsa adalah pekerja pembinaan warga tempatan yang sedang membina bahagian jambatan yang tingginya 100 meter sebelum ia runtuh menyebabkan 82 cedera.

Jambatan yang bakal menjadi antara jambatan terpanjang di Asia Tenggara merupakan jalan penghubung antara wilayah selatan Vinh Long dan Can Tho, bandar terbesar di Delta Mekong.

Jurucakap Menteri Luar Negara, Le Dung berkata, pegawai penyiasat masih belum mengetahui punca sebenar yang menyebabkan jambatan itu runtuh tetapi mereka percaya bahawa hujan yang turun sehari sebelum kejadian, telah melemahkan struktur binaan jambatan tersebut.

Semalam, Presiden Nguyen Minh Triet dan beberapa orang pegawai negara luar telah melawat tempat kejadian, berharap dapat mempelajari bagaimana menangani masalah ini.

Menurut pegawai hospital, angka kematian dijangka akan meningkat ekoran ramai mangsa yang terselamat mengalami cedera parah.

Jambatan yang panjangnya 2.75 kilometer merentangi Sungai Hau itu merupakan antara projek pembinaan terbesar di Vietnam.

Projek yang menelan kos perbelanjaan sebanyak AS$218 juta (RM744 juta ) itu dikendalikan oleh tiga buah syarikat kontraktor Jepun, Taisei, Kajima dan Nippon Steel.

– AP

0 comments: