4 lelaki direman -- Bantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin

Oleh RUHAIDINI ABD KADIR dan UMAVATHI RAMAYAH


SALAH seorang daripada empat lelaki yang ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan pelajar tahun dua, Nurin Jazlin Jazimin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam. Gambar AZLAN BAHROM.

e 28 Sept. – Empat lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga 4 Oktober depan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin.

Kesemua suspek berusia 27 hingga 33 tahun itu ditahan reman mulai hari ini setelah polis mendapat perintah mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya dekat sini.

Lelaki-lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah bunuh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata, pada peringkat awal, polis menahan lima orang termasuk seorang wanita dalam beberapa serbuan di Shah Alam dekat sini pukul 11.30 malam tadi.

Bagaimanapun, katanya, wanita berkenaan yang mengandung empat bulan dibebaskan tengah hari ini selepas polis merekodkan kenyataannya.

‘‘Kesemua serbuan itu dilancarkan hasil maklumat orang ramai dan intipan polis.

‘‘Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Christopher, polis turut merampas dua buah kereta dan lima telefon bimbit milik lelaki-lelaki berkenaan.

Ditanya mengenai hasil siasatan awal polis ke atas mereka yang ditahan, Christopher menegaskan, polis masih menyiasat kes itu.

‘‘Terlalu awal untuk mengaitkan kes pembunuhan Nurin Jazlin dengan penahanan mereka.

‘‘Polis masih menyiasat dan saya minta orang ramai terutama pihak media bersabar menunggu hasil siasatan. Jangan buat sebarang spekulasi,’’ tegasnya.

Difahamkan, tangkapan pertama melibatkan sepasang suami isteri yang dilakukan di Jalan Persiaran Bistari, Seksyen 7, Shah Alam berdekatan sebuah perhentian bas.

Susulan daripada penahanan mereka, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Seksyen 7, Shah Alam dan memberkas tiga lelaki lain.

Pagi ini, kesemua mereka termasuk wanita berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur oleh polis untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Polis kemudian membawa mereka ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, 8, dilaporkan hilang oleh bapanya, Jazimin Abdul Jalil selepas keluar seorang diri untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini.

Walaupun mendapat liputan meluas media dan usaha besar-besaran digerakkan untuk mencarinya, Nurin Jazlin tidak dapat dikesan.

Selepas 27 hari kehilangan Nurin Jazlin, pada 17 September lalu polis menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg sukan yang diletakkan di hadapan tangga sebuah rumah kedai di Jalan PJS 1/48, Petaling Jaya.

Hasil ujian DNA mendapati mayat itu adalah Nurin Jazlin dan bedah siasat mendapati mangsa didera secara seksual.

0 comments: