Misteri mengikat kaki

Misteri mengikat kaki

Penghormatan dan keseksian wanita di China pada 1,000 tahun lalu dinilai daripada saiz kaki mereka yang kecil.


DAVID KO menunjukkan satu daripada 5,000 koleksi kasut kecil yang disarung oleh wanita China kira-kira 1,000 tahun lalu.


DOKTOR David Ko ialah seorang pengumpul artifak berkaitan amalan mengikat kaki yang menjadi amalan masyarakat China suatu ketika dahulu. Walaupun, menyifatkan amalan itu menyakitkan tetapi kajiannya mendapati perbuatan tersebut didakwa menyerlahkan keseksian golongan wanita China.

Kecenderungan mengkaji amalan tersebut telah mendorong Ko yang dilahirkan di Taiwan menghabiskan masa selama 30 tahun untuk mengumpul kasut kecil berwarna-warni yang digunakan oleh wanita China sejak 1,000 tahun lalu.

Didapati wanita pada zaman itu terpaksa mengorbankan dan mengikat separuh daripada kaki atas untuk tujuan kecantikan, fesyen dan seksualiti.

Atas desakan itu, amalan sedemikian menyebabkan golongan wanita terpaksa menahan kesakitan sepanjang hidup.

"Pada pendapat saya, amalan mengikat kaki merupakan satu bentuk fesyen di China, memandangkan rata-rata wanita di sana menyarung kasut kecil bersulam dan aksesori pada kaki mereka," katanya.

Menurutnya, negara Perancis dan Itali sentiasa berdebat dan mempersoalkan siapa yang bertanggungjawab mencipta kasut sedemikian rupa.

"Namun begitu, mereka percaya kasut seumpama ini dihasilkan bagi menyokong tapak kaki yang diikat," katanya lagi.

Justeru, bagi menyokong ideanya, Ko menerbitkan tiga naskhah buku dan menganjurkan pameran mengenai amalan mengikat kaki di Taiwan, China, Kanada dan Amerika Syarikat.


TAPAK kaki menggerekot selepas dibalut dengan kain sejak kanak-kanak untuk mendapatkan saiz tapak kaki yang kecil.


"Seharusnya masyarakat kini memelihara amalan mengikat kaki seperti warisan sejarah yang lain, biarpun hari ini, bukanlah masa yang sesuai untuk mempromosikan perbuatan mengikat kaki sebagai aspek fesyen dan kecantikan," jelas Ketua Setiausaha Jantina dan Persatuan Hak Seksual Taiwan, Wang Ping.

"Amalan mengikat kaki telah mengehadkan pergerakan wanita bagi memenuhi kepuasan lelaki dalam sebuah masyarakat memandangkan wanita ketika itu tidak mempunyai status yang sama rata.

"Fahaman kecantikan tersebut bersifat penindasan," katanya lagi.

Amalan mengikat kaki yang menghasilkan bentuk kaki menyerupai bunga teratai sepanjang tiga inci kekal sehingga abad lalu selepas negara China menjadi negara republik.

Zaman pemerintahan maharaja hanya berakhir selepas peperangan sivil komunis pada tahun 1949. Namun begitu, di barat daya Yunnan, masih terdapat wanita yang mempraktikkan amalan yang menyeksakan itu.

Ko yang memiliki 5,000 pasang kasut kecil telah diberi maklumat oleh wanita yang mengamalkan amalan mengikat kaki. Mereka menyatakan keindahan sulaman yang menghiasi kasut adalah salah satu tarikan kepada golongan lelaki.

Tambah Ko lagi, wanita yang mempunyai saiz tapak kaki yang lebih kecil dipandang lebih menawan dan bahagia dalam perkahwinan.

Bukan itu saja, Ko turut mengumpul lebih kurang 10,000 aksesori, termasuklah stokin, sarung kaki, lukisan dan kasut berbentuk botol kaca. Kesemua yang dikumpul itu disimpan rapi di salah sebuah hospital persendiriannya di Taipei.

Bagi menjayakan proses penerbitan bukunya itu, Ko menemubual 300 wanita tua yang mempraktikkan amalan mengikat kaki sejak kanak-kanak. Beliau diberitahu, amalan mengikat kaki merupakan legasi budaya dan memberi inspirasi pada fesyen moden.

Dalam pada itu, Ko kini berusaha menangkis tanggapan para graduan dan pakar sejarah yang berfikiran negatif terhadap amalan mengikat kaki. Beliau berpendapat, sepatutnya golongan itu terus menjaga warisan tradisional masyarakat China.

"Saya masih ingat sewaktu kali pertama melihat wanita yang berkaki kecil ketika berusia enam tahun. Saya begitu terkejut dan teruja memikirkan bagaimana rasanya berkaki kecil," ujar pakar bedah yang berusia 54 tahun itu.

Hakikatnya, keterujaan itu memberi ilham kepadanya untuk memulakan proses mengumpul koleksi kasut kecil dan mula bergelar pakar dalam amalan tersebut.




"Barangkali saya akan menjadi pakar sejarah sekiranya kerjaya doktor yang dipegang kini tidak menjejaskan pendapatan keluarga," tambah Ko yang menanggung keluarganya daripada hasil pendapatannya sebagai doktor perubatan.

Pada awalnya, teori amalan mengikat kaki begitu meluas. Kesimpulannya, bentuk kaki yang kecil amat bergaya sekitar kurun ke-10. Ini terutamanya selepas pemerintah empayar pada waktu itu terpesona melihat kaki kumpulan penari yang kecil dan dihiasi dengan reben berwarna-warni di pergelangannya.

Sebenarnya, mengikat kaki sudah menjadi rutin normal kerana tanpa proses ini, golongan wanita tidak boleh berkahwin.

Kaki kecil yang dimiliki hanya ditunjukkan kepada suami atau kekasih.

Ironinya rutin ini dimulakan pada usia kanak-kanak. Si ibu atau saudara perempuan akan mengikat separuh daripada kaki kanak-kanak terlibat.

Kemudian, kaki mereka akan dibalut dengan kain yang panjang sehingga kaki menghasilkan bentuk yang sepatutnya.

Menambah erotik pada amalan ini apabila pihak lelaki akan memakan badam yang dihancurkan dan menyedut arak antara jari kaki yang cacat itu.

"Biasanya, wanita kaya memiliki tapak yang lebih kecil dan segelintir pencari jodoh akan bertanyakan soalan mengenai saiz kaki bakal pengantin wanita," jelas Ko lagi.

Walaupun amalan mengikat kaki memaksa wanita berjalan dalam keadaan berbeza daripada biasa dan perlu mengimbangi diri, tetapi itulah yang membuatkan mereka menarik dan seksi.

Pada masa yang sama, Ko turut melakukan perbandingan antara pemakaian kasut kecil dan korset yang digayakan oleh wanita Eropah pada kurun ke-18. Bezanya penggunaan korset hanya digunakan oleh wanita dewasa, sedangkan amalan mengikat kaki dilakukan sejak zaman kanak-kanak. - AFP

0 comments: