Cabaran besar merencana negara ke arah model ekonomi baru

Cabaran besar merencana negara ke arah model ekonomi baru

Konsep 1Malaysia bertujuan supaya rakyat Malaysia bekerja sebagai satu pasukan mencapai negara maju menjelang 2020

TERLEBIH dulu, saya ingin mengucap terima kasih kepada pihak penganjur Invest Malaysia 2009, kerana menjemput saya menyampaikan ucaptama pada Sidang Invest Malaysia ke-5. Saya gembira melihat begitu ramai pelabur yang hadir dan mengalu-alukan kehadiran kepada tetamu antarabangsa kita.

Invest Malaysia sudah menjadi forum tahunan paling penting bagi kita bertemu dengan pelbagai pelabur antarabangsa dan mempersembahkan apa yang kita lakukan. Ia juga menyediakan peluang untuk syarikat pelaburan swasta tempatan berurusan dengan komuniti pelaburan.

Pada pendapat saya, 'road show' yang membawa pelabur ke negara kita akan membolehkan pelabur menyaksikan sendiri apa yang kita ada dan menilai secara peribadi iklim pelaburan di Malaysia, mengkaji cara untuk saling melengkapi dan mempromosi usaha bersama di pasaran antarabangsa.

Seperti yang anda ketahui, acara ini selalunya diadakan pada Mac, seiring dengan perlumbaan Grand Prix Malaysia. Bagaimanapun, menyedari akan berlaku perubahan pada pucuk pimpinan negara, penganjur sengaja melewatkan program ini selama dua bulan bagi membolehkan saya berucap sebagai Perdana Menteri.

Bagi saya, ini adalah majlis penting yang akan membolehkan saya berkongsi pendapat bersama anda semua dan memberi aspirasi kepada Malaysia dan pasaran modalnya. Bagi yang menjadi peminat Formula Satu di kalangan anda, saya memberi jaminan saya sendiri akan meminta penganjur mengadakan sidang ini mengikut jadual asal pada tahun depan.

Hari ini kita bertemu dalam persekitaran yang amat mencabar. Dunia mengalami suasana luar biasa dalam aspek peraturan kewangan global. Krisis kewangan global telah menggugat teruk institusi kewangan yang amat mantap. Akibatnya, ia memusnahkan kekayaan dunia dan mencetus persoalan membabitkan kebijaksanaan corak pengurusan yang konvensional. Apa yang lebih buruk ialah krisis kewangan kali ini sudah melampaui pelbagai krisis kewangan yang pernah berlaku.

Apa yang nyata banyak pelajaran yang kita peroleh dan proses pemulihan perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. Semua pasaran kewangan mesti diberi perhatian lebih serius dan kita tidak boleh teragak-agak dalam membuat keputusan dasar yang sukar sebaik saja kita melihat tanda-tanda awal yang di luar kawalan mula berlaku.

Piawaian urus tadbir dan pengurusan risiko pada peringkat perbankan dan syarikat kewangan mesti diperkukuhkan.

Peraturan dagangan atas kaunter (OTC) dan beberapa firma yang peraturannya agak longgar mesti dikaji kesan dan peranan yang dimainkan mereka dalam pasaran kewangan hari ini. Amalan jualan dan pengambilan berisiko yang tidak dilindungi mesti diberi perhatian serius.

Kita semua tahu dan sudah merasai sendiri bagaimana krisis kewangan yang boleh diterjemah kepada padah amat buruk kepada ekonomi sebenar � syarikat, pekerjaan, sumber manusia dan keluarga � di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali.

Justeru, keutamaan saya sekarang ialah untuk menyediakan respons tegas bagi mengekang impak kemurungan ekonomi global. Kami sudah menyediakan dua pakej rangsangan bernilai RM67 bilion atau kira-kira sembilan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk dibelanja dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pakej fiskal ini mengandungi langkah komprehensif bertujuan mengurangkan kesan ke atas individu dan perniagaan, merangsang permintaan agregat untuk jangka pendek dan membina kapasiti ekonomi jangka panjang.

Kami telah memberi jaminan bahawa perniagaan akan mempunyai akses yang cukup baik ke atas kewangan dan sudah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyediakan bantuan kewangan kepada kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkenalkan mekanisme jaminan untuk menyokong pembiayaan sektor swasta selain mekanisme penyelesaian hutang.

Sehingga 19 Jun, projek bernilai RM9 bilion telah ditawarkan di bawah pakej rangsangan 1 dan 2, dan RM3 bilion daripadanya sudah dibayar. Dengan meningkatkan pembayaran kemajuan projek kerana projek ini sedang dilaksanakan, saya yakin suntikan perbelanjaan ke dalam ekonomi domestik ini dan kesan pelbagai kemuraman luaran, akan membantu mengurangkan impak dan menetapkan peringkat pemulihan ekonomi menjelang separuh kedua tahun ini.

Perubahan kepada model ekonomi baru

Cabaran lebih besar yang akan kita hadapi bukan menangani keadaan kerapuhan jangka pendek, tetapi membabitkan persaingan nasional dalam jangka panjang. Dalam tempoh tiga dekad lalu, kita sudah mengambil langkah cemerlang dalam membasmi kemiskinan, meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia, membangunkan infrastruktur kelas dunia dan menyediakan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.

Tetapi kita tidak boleh dan tidak akan sebagai negara berpendapatan sederhana. Kita perlu berubah kepada ekonomi berpendapatan tinggi atau menghadapi risiko kehilangan momentum perkembangan dalam ekonomi dan pasaran kita.

Cabaran dalam menguruskan perubahan begitu besar seperti itu bukanlah mudah dan ia perlu digaris lebih berhati-hati dengan mengambil kira kelemahan dalam kerangka kewangan global dan tekanan saingan yang semakin meningkat berikutan perubahan dramatik dalam ekonomi global.

Tetapi saya ingin memberi jaminan bahawa keutamaan saya hari ini ialah mengubah masa depan kita kepada kedudukan ekonomi berpendapatan tinggi. Dasar kerajaan saya dan keutamaan akan dilaksanakan berasaskan kepada matlamat ini.

Konsep 1Malaysia yang saya cetuskan bertujuan untuk seluruh rakyat Malaysia bekerja sebagai satu pasukan dalam usaha mencapai satu matlamat � iaitu ke arah negara maju menjelang 2020. Saya telah menggerakkan usaha, melakukan pelbagai usaha yang menggaris formula sebuah model ekonomi baru, yang berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tinggi, bagi mengangkat kita kepada kedudukan sebagai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh sedekad ini.

Model ekonomi baru kita adalah untuk mengubah kedudukan kita daripada bergantung kepada asas pengeluaran yang menggunakan pekerja separuh mahir dan buruh murah kepada industri teknologi tinggi dan sektor perkhidmatan moden, yang bergantung kepada pekerja mahir dan berpendapatan tinggi.

Pelaksanaan model ekonomi baru akan memerlukan rombakan dasar secara besar-besaran dan komprehensif dalam pelbagai aspek, tetapi amat penting kepada masa depan Malaysia. Kita perlu membuat perubahan asas dalam strategi, di samping perubahan minda. Kita akan menerima pakai pendekatan holistik yang akan mencetus persaingan dalam semua sektor ekonomi. Kita akan secara sistematik merangsang proses inovasi sebagai kunci utama kepada nilai tambah dan mempromosi sumber tambah nilai tinggi seperti pendidikan swasta, pelancongan kesihatan, ICT, industri kreatif dan bioteknologi.

Dalam konteks ini, adalah kritikal untuk mengekalkan momentum melalui dasar-dasar yang mesra pasaran dan yang boleh mencipta sumber pertumbuhan baru dalam sektor perkhidmatan. Justeru, kita akan terus mengubahsuai atau menghapuskan polisi yang mengekang pertumbuhan. Kerja-kerja sudah bermula. Kami sudah pun mengumumkan liberalisasi dalam 27 sub-sektor perkhidmatan, disusuli langkah liberalisasi untuk meningkatkan peranan sektor kewangan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi.

Pasaran Modal � melakukan perubahan strategik ke arah agenda pertumbuhan

Begitu juga, kami sudah melalui perjalanan yang jauh dalam pasaran modal. Dibantu dengan agenda pembangunan teratur melalui pelan induk Pasaran Modal, kami telah membangunkan satu pasaran modal yang pelbagai dan luas di rantau ini. Kami mempunyai pasaran bon yang kukuh dan besar, iaitu ketiga terbesar mengikut tanda aras Asia jika diukur melalui KDNK. Kami memiliki antara bursa terbesar di Asean dan jumlah terbanyak bagi syarikat disenaraikan.

Industri pengurusan dana juga tumbuh begitu pesat dan kami memiliki industri saham amanah terbesar di Asean. Pasaran Modal Islami kami juga adalah yang terbesar di dunia, dengan lebih 50 peratus terbitan sukuk global diterbitkan dari Malaysia; jumlah tertinggi dana berasaskan Islam di seluruh dunia dan nilai besar dalam ekuiti berasaskan syariah.

Kerangka kawal selia kami mematuhi keperluan antarabangsa dan telah dinilai oleh penilai pakar luar. Kami telah menarik begitu banyak firma utama antarabangsa dalam industri pengurusan dana dan kewangan Islam untuk beroperasi di Malaysia.

Mengantarabangsakan pasaran modal

Bergerak kepada fasa selanjutnya dalam membangunkan pasaran modal, kami memerlukan pembabitan antarabangsa yang lebih luas. Ini tidak boleh dielakkan dan ia satu daripada aspek penting dalam strategi mencapai pendapatan tinggi. Mengantarabangsakan sektor perkhidmatan kewangan dan pasaran modal akan membantu meningkatkan skop peluang untuk negara kami � seperti terbukti dalam sektor sumber dan perusahaan. Meliberalisasi peraturan pemilikan akan membolehkan pelabur asing yang ingin melabur di negara ini dan menggunakan Malaysia sebagai pangkalan operasi mereka pada peringkat serantau dan antarabangsa.

Justeru, proses liberalisasi memang tidak boleh dielakkan dan kita hanya boleh memilih untuk menguruskan tahap kepantasannya. Ia akan memberi kelebihan kepada Malaysia untuk mencapai liberalisasi dengan lebih pantas kerana ia akan membenarkan kita mengetuk peluang yang ada di gelanggang antarabangsa lebih awal.

Kami juga menjangka penyertaan lebih luas daripada pelabur untuk meningkatkan tahap persaingan dan mempromosi inovasi yang akan memacu pertumbuhan dengan lebih pantas. Ini akan membolehkan pasaran modal Malaysia mencapai persaingan lebih tinggi dengan kepelbagaian pilihan dan tawaran lebih berkualiti untuk pelanggan. Pertumbuhan akan dipacu oleh pelaburan dalam teknologi, bakat, infrastruktur, penyelidikan dan pembangunan (R&D), dan pemasaran untuk memaksimumkan peningkatan keuntungan jangka panjang serta merangsang pasaran kita.

Pelabur tempatan pula telah membina operasi tempatan yang kukuh. Ramai telah mewujudkan operasi pada peringkat serantau. Sekarang, mereka patut mengambil kesempatan daripada fleksibiliti yang ada untuk mencari peluang baru dan model perniagaan dengan membentuk perkongsian strategik serta rakan kongsi bagi mengembangkan operasi mereka pada peringkat global.

Saya sungguh yakin atas kemampuan mereka untuk meningkatkan tahap kemampuan mereka dan bersaing secara berkesan. Kek ekonomi yang ada mesti dikembangkan. Tidak ada gunanya mempunyai bahagian lebih besar ke atas kek yang semakin mengecil. Kita mesti mengembangkan kek yang ada walaupun ia bermakna terpaksa mengagihkan sebahagiannya kepada firma persendirian.

Semua ini telah membentuk beberapa asas kepada pengumuman saya mengenai liberalisasi ke atas sektor perkhidmatan termasuk beberapa langkah yang diumum baru-baru ini bagi sektor perbankan. Dengan itu, saya dengan senang hati hari ini untuk mengumumkan beberapa langkah lagi yang akan memberi kesan yang sama ke atas pasaran modal Malaysia.

Pengurusan Pelaburan � Pengurusan Dana dan Unit Amanah

Bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam segmen pengurusan dana dan saham amanah daripada rantaian nilai pasaran modal, juga untuk membenarkan pengurus dana pilihan tambahan untuk beroperasi di rantau ini, saya ingin mengumumkan perkara berikut:

Pertama, pemilikan di dalam industri pengurusan dana dibuka sepenuhnya bagi membolehkan 100 peratus pemilikan asing bagi syarikat pengurusan dana menubuhkan operasi di Malaysia. Kedua, bagi segmen peruncitan, had pegangan saham asing bagi syarikat segmen runcit pengurusan dana saham amanah kepada 70 peratus daripada 49 peratus ketika ini.

Segmen Broker Saham

Perubahan besar-besaran dalam industri bursa saham telahpun mengukuhkan pelabur tempatan dan meluaskan skop aktiviti pasaran modal mereka. Kami juga telah menyaksikan lebih banyak penyertaan asing melalui lesen skim khas yang memperbaiki persaingan dalam industri bursa saham, di samping hubungan global membabitkan pasaran modal Malaysia. Beberapa syarikat broker saham telah mengembangkan operasi mereka ke negara lain. Tetapi masih ada peluang lain bagi syarikat broker saham ini untuk membentuk perkongsian baru, terbabit dalam usaha meluaskan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa, di samping mempromosi lebih banyak produk inovasi dan meluaskan kemahiran serta kemampuan.

Bagi membolehkan semua ini berlaku, saya ingin mengumumkan bahawa had pemilikan pegangan saham asing dalam syarikat broker saham meningkat kepada 70 peratus daripada paras sekarang, 49 peratus.

Menggalakkan lebih banyak penyenaraian dan menangani kecairan

Mesti ada lebih banyak usaha dilakukan untuk menarik lebih banyak syarikat besar disenaraikan di bursa saham kita. Kerajaan komited untuk membuat lebih banyak sumbangan dengan menyenaraikan lebih banyak entiti dan asetnya bagi memastikan penyenaraian lebih mantap serta menyediakan pelabur tempatan dan antarabangsa lebih banyak peluang untuk melabur dalam ekonomi Malaysia.

Kami telah merombak kerangka bagi mengumpul dana dengan peraturan lebih berkesan dan meluaskan kemudahan kewangan melalui gabungan papan utama dan kedua di bursa saham, serta mengubahsuai kedudukan Mesdaq untuk menarik lebih banyak syarikat di pasaran. Kami juga membenarkan penyenaraian asing dan saya dimaklumkan terdapat beberapa syarikat sedang dalam penilaian. Saya berharap pelabur pasaran saham supaya merebut peluang daripada semua perubahan ini dengan menggandakan usaha anda untuk mengenalpasti syarikat tempatan dan asing yang berkualiti untuk disenaraikan di Malaysia.

Saya juga meminta supaya terbitan tahap pengapungan bebas dan kecairan di pasaran ditangani segera dengan penilaian holistik dan komprehensif. Bagi kerajaan dan entiti sekutunya akan melihat cara di mana mereka boleh menyumbang ke arah mengurangkan pegangan saham masing-masing, bagi membolehkan pelabur memiliki lebih banyak saham.

0 comments: