Cabaran besar merencana negara ke arah model ekonomi baru

Mengawal selia urus tadbir melalui penguatkuasaan berkesan

Walaupun kita bergerak ke arah persekitaran pasaran modal yang lebih luas di gelanggang antarabangsa, kita mesti memastikan matlamat kawal selia kita adalah adil, pasaran lebih teratur, telus, kewangan yang mantap dan perlindungan pelaburan yang kukuh, dipenuhi. Dalam aspek ini, adalah penting untuk memiliki kod etika yang tinggi dan amalan urus tadbir korporat yang mantap. Semua ini memerlukan kita mengukuhkan rejim bagi pelaksanaan berkesan terhadap jenayah korporat dan kesalahan sekuriti.

Kami akan membentangkan satu pindaan Akta Perkhidmatan Pasaran Modal (CMSA) di Parlimen dalam usaha memantapkan lagi penguatkuasaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) ke atas pelanggaran tadbir urus korporat.

Pindaan ini akan memberi kuasa kepada SC untuk mengambil tindakan terhadap pengarah atau pegawai yang menyebabkan kerugian secara salah kepada syarikat senaraian awam (PLC) atau anak syarikatnya sehingga menjejaskan pemegang sahamnya.

Ia juga akan membenarkan SC menghalang pelupusan aset PLC secara salah oleh mereka yang menguruskannya. Sebagai tambahan, peraturan baru diwujudkan bagi menghalang sesiapa saja daripada mempengaruhi, memaksa atau menipu mana-mana pihak yang terbabit dalam penyediaan atau audit penyata kewangan PLC. Kerajaan juga akan menubuhkan Lembaga Pemantauan Juruaudit bebas menerusi pembentangan pindaan Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 pada sesi persidangan Parlimen yang berlangsung ketika ini.

Menarik Modal Manusia

Pasaran modal adalah industri berasaskan pengetahuan intensif. Menarik dan mengekalkan bakat adalah aspek kritikal dalam proses untuk memperoleh kemahiran diperlukan dan hubungan sosial kepada penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat dalam pasaran modal Malaysia. Kita mesti mengiktiraf wujud persaingan antarabangsa yang sengit untuk pasaran manusia dan kita mesti berada dalam proses pengambilan pantas untuk mendapatkan kemahiran antarabangsa. Bagi tujuan ini, saya mengumumkan bahawa Bank Negara Malaysia dan SC akan mengkaji semua permohonan visa bagi industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.

Pemansuhan Garis Panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC)

Tidak syak lagi Malaysia memang mencatat banyak cerita kejayaan sejak kami mencapai kemerdekaan. Suatu masa dulu, Malaysia adalah sebuah negara miskin yang bergantung kepada pengeluaran getah dan bijih timah. Dengan memilih jalan untuk kepelbagaian dan perindustrian, ekonomi Malaysia telah mengalami perubahan, mencatat pertumbuhan tinggi jika dibandingkan sekiranya kami terus bergantung kepada komoditi asal. Dalam tempoh ini, Malaysia mengekalkan pertumbuhan pesat, dengan purata tahunan 6.4 peratus. Digandingkan dengan beberapa polisi lain, pertumbuhan ekonomi pantas ini memberi faedah besar kepada semua segmen penduduk Malaysia. Tahap kemiskinan hari ini berada di bawah empat peratus, berbanding 49 peratus pada 1970.

Ini adalah pendekatan kami berkembang bersama ekuiti - cara Malaysia. Tidak ada isu pembahagian tidak adil. Ekuiti dicapai melalui agihan adil. Tanpa pertumbuhan yang kukuh, kami tidak akan mencapai matlamat untuk membuat agihan yang adil. Pengenalan pertumbuhan melalui ekuiti pada 1971 juga mencerminkan kemampuan Malaysia untuk membuat keputusan pragmatik dan berani, terutama untuk mendahulukan kepentingan nasional pada masa krisis.

Tidak seperti krisis sebelum ini, saya percaya kami sekali lagi berada di persimpangan perjalanan. Saya yakin bahawa kegagalan atau tindakan teragak-agak akan memberi kesan jangka panjang kepada negara ini. Di satu sudut, apabila berdepan dengan krisis sebelum ini, kami mempunyai matlamat yang jelas untuk mencapai pertumbuhan dengan ekuiti dalam usaha kami mencapai wawasan sebagai negara maju. Bagi meneruskan kejayaan itu, kami sekali lagi perlu menstranformasi ekonomi ke tahap pertumbuhan lebih tinggi.

Tetapi di sudut lain, kami menghadapi cabaran besar untuk merealisasikan semua wawasan ini disebabkan faktor luaran dan domestik, yang boleh mengekang kepada pertumbuhan ekonomi yang kukuh.

Dalam mencapai wawasan kami untuk mencatat pertumbuhan dan ekuiti lebih kukuh, kami menghadapi empat cabaran besar, iaitu:

Satu, apa yang pernah berfungsi untuk kami, dalam menggerakkan Malaysia ke hadapan sehingga menjadi negara berpendapatan sederhana, kelihatan tidak lagi berkesan untuk menggerakkan kami ke arah status negara maju. Pengalaman lalu kami telah memberi pengajaran bernilai mengenai apa yang berfungsi dengan baik dan apa yang tidak, tapi ia tidak semestinya memberi kami laluan yang jelas untuk mara ke hadapan.

Dua, lanskap persaingan sudah berubah. Tidak seperti sebelum ini, kami sekarang berdepan dengan persaingan sengit, terutama dalam aspek modal, bakat, pengetahuan dan sumber secara global.

Tiga, krisis ekonomi global mengukuhkan keperluan untuk menjadi destinasi pelaburan, berikutan syarikat kini bergabung tenaga dan memindahkan operasi mereka ke destinasi yang paling kompetitif; dan

Empat, tahap persaingan untuk kumpulan pelaburan lebih kecil, memerlukan usaha menghapuskan kekangan ke atas pelaburan, sama ada yang nampak atau diandaikan, serta menguruskan dasar agihan dengan lebih berkesan serta dalam suasana yang lebih mesra pasaran.

Dalam konteks cabaran yang negara hadapi, garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dilihat semakin kurang keberkesanannya. Bila FIC ditubuhkan pada 1974, ia merangkumi komponen utama strategi bagi pertumbuhan dengan ekuiti.

Kini ia tidak lagi menjadi alat yang berkesan bagi membantu pertumbuhan dengan ekuiti. Pada 1970, ekuiti Bumiputera hanya 2.4 peratus. Berdasarkan jumlah kecil itu, maka adalah sesuai melaksanakan dasar sedemikian bagi menangani ketidakseimbangan. Ketika itu juga, adalah praktikal dilaksanakan susulan kekurangan persaingan bagi mendapatkan pelaburan.

Bagaimanapun, kini dasar pelaburan itu telah mewujudkan ketidaktentuan dalam pembentukan peraturan dan tidak sejajar dengan amalan antarabangsa, justeru menjejaskan potensi pertumbuhan.

Hari ini kita berdepan dengan senario yang berbeza. Polisi pelaburan menghasilkan peraturan yang tidak menentu dan tidak selari dengan amalan antarabangsa boleh menyekat pertumbuhan ekonomi kita. Hanya pertumbuhan yang memberangsangkan membolehkan objektif pengagihan yang disasarkan tercapai. Lebih daripada itu, ekonomi yang rencam dan kompleks kini tidak selari dengan pendekatan FIC.

Bagi mencapai dan membantu Bumiputera, ia memerlukan fokus kepada penyertaan yang berkesan dan bermakna bukan setakat pemilikan saja. Penguasaan minoriti 30 peratus tidak memberi ruang yang cukup bagi penyertaan berkesan. Malah kekangan modal dihadapi Bumiputera menyebabkan hak milik 30 peratus tidak mampu bertahan. Dengan itu, penilaian objektif memutuskan bahawa FIC dalam keadaan sekarang, tidak membantu pertumbuhan atau mengekalkan ekuiti milik Bumiputera.

Dunia cepat berubah dan kita perlu bersedia menghadapinya jika tidak kita akan ketinggalan. Jika kita terus bertahan dan menjadikan kejayaan lampau sebagai panduan, kita akan kalah dalam persaingan. Kita tidak boleh lagi mengenang kejayaan lalu, sebaliknya berusaha keras bagi memanfaatkan rakyat untuk jangka panjang. Pragmatik memerlukan fokus terhadap inti pati bukan pada bentuk. Kerajaan cukup komited bagi meningkatkan usaha untuk membangunkan negara ini.

Bagi menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia, kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan peraturan termasuk garis panduan pelaburan yang diguna pakai FIC sekarang. Skop dan fungsi FIC akan dipermudahkan termasuk pengurangan transaksi dan peraturan. Ia selaras dengan usaha kerajaan untuk menyediakan suasana yang lebih kondusif bagi sektor swasta untuk maju dengan kemudahan kegiatan pelaburan dan pasaran modal yang menarik.

Kajian semula garis panduan FIC membabitkan:

# Pertama - pembelian kepentingan, penggabungan dan pengambilalihan;

# Kedua - kegiatan meraih dana oleh syarikat senarai awam, dan

# Ketiga - pembelian hartanah.

Berkuat kuasa serta merta, garis panduan FIC meliputi pembelian hak ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan akan dilaksanakan. FIC tidak lagi memproses urus niaga saham atau mengenakan sebarang syarat ekuiti ke atas urus niaga. Mulai hari ini, fungsi FIC ini berakhir.

Walaupun fungsi FIC berakhir, bagi memastikan kepentingan negara dalam sektor strategik terus terpelihara, syarikat dalam sektor berkenaan masih lagi tertakluk kepada syarat ekuiti oleh badan kawal selia sektor masing-masing seperti Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Kemudahan bagi pengumpulan dana oleh syarikat tersenarai adalah langkah terbaik bagi menjadi Malaysia sebagai destinasi menarik bagi penyenaraian. Sekarang, syarikat yang ingin diapungkan dikehendaki memenuhi syarat 25 peratus saham tebaran awam ditetapkan Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia selain kedudukan ekuiti Bumiputera berdasarkan garis panduan FIC.

Suruhanjaya Sekuriti akan mengeluarkan garis panduan baru bagi syarikat senaraian awam, untuk menawar 50 peratus saham tebaran awam kepada pelabur Bumiputera. Dengan itu, syarikat senaraian awam tidak lagi tertakluk kepada syarat pegangan ekuiti Bumiputera seperti yang ditetapkan FIC sebelum ini. Dengan kelonggaran peraturan ini, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi tujuan pelaburan dan menjalankan perniagaan.

Sebagai tambahan, untuk meringankan pengumpulan dana daripada pasaran ekuiti, kegiatan mengumpul dana selepas penyenaraian tidak lagi tertakluk kepada sebarang syarat ekuiti. Kelonggaran ini akan dengan segera menyokong syarikat senarai awam sedia ada untuk mengumpul dana bagi mengendalikan perniagaan dan mengurangkan kos pematuhan. Peraturan baru untuk menawarkan 50 peratus saham tebaran awam kepada Bumiputera hanya untuk syarikat Malaysia yang ingin disenaraikan Bursa Malaysia.

Garis panduan sedia ada untuk syarikat asing yang mahu disenaraikan tanpa sebarang keperluan untuk pematuhan dengan mana-mana syarikat ekuiti, kekal dan hasilnya kita melihat beberapa syarikat asing berjaya disenaraikan di Malaysia.

Skop FIC berkaitan urus niaga hartanah akan juga dipermudahkan dengan segera. Kelulusan FIC bagi urus niaga hartanah kini hanya diperlukan sekiranya ia membabitkan penghapusan kepentingan Bumiputera atau kerajaan bagi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas. Bagi lain-lain transaksi hartanah termasuk antara orang asing dan bukan Bumiputera tidak memerlukan kelulusan FIC lagi. Pemansuhan peraturan ini dijangka memudahkan transaksi hartanah dan pelaburan termasuk pemilikan hartanah komersial oleh kepentingan asing.

Kerajaan percaya melalui kelonggaran peraturan ini ia akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi selesa untuk pelaburan dan perniagaan. Dengan melonggarkan garis panduan FIC ini pada tahap yang diperlukan, Unit Perancang Ekonomi akan memfokus semula langkah menyelaras dan pemantauan polisi pengagihan pada peringkat makro. Dalam hal ini, kerajaan masih komited dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi. Pendekatan baru akan diambil dengan memfokuskan penyertaan mapan melalui perkongsian bijak dan meritokrasi.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selaras dengan pendekatan baru ini, institusi pelaburan baru, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) akan ditubuhkan. Ekuinas adalah dana ekuiti swasta dengan modal awal sebanyak RM500 juta yang akan boleh dikembangkan menjadi RM10 bilion. Ekuinas akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi bagi menyokong model ekonomi baru. Pada masa sama, Ekuinas akan membuat perkongsian pelaburan dengan dana sektor swasta, dalam usaha untuk mempromosikan perkongsian tulen dan pendekatan komersial sepenuhnya. Dengan cara ini, penyertaan Bumiputera melalui Ekuinas adalah berdasarkan premis merit.

Sejak 1970-an, keupayaan profesional Bumiputera meningkat. Mereka banyak menyumbang dan bersaing dengan aktif dalam pengurusan dan pekerjaan selain sebagai vendor. Adalah diharapkan melalui dana pelaburan seperti Ekuinas, Bumiputera yang cemerlang akan dibantu untuk mencapai cita-cita mereka.

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Koridor Pembangunan: Perubahan dan Kelangsungan berteraskan Persaingan.

Bagi membolehkan Malaysia merealisasikan impian status negara maju, perubahan besar perlu dilakukan dan pada masa sama usaha pengukuhan perlu dilakukan bagi bidang yang kini kita berada pada landasan betul. Bagi memenuhi hasrat itu, polisi kerajaan dalam GLC dan koridor pembangunan akan diteruskan dengan gabungan perubahan dan kelangsungan yang mantap.

GLC akan terus menjadi tulang belakang struktur ekonomi negara. Bagi memastikan kepentingan kerajaan di dalam GLC terpelihara dan berjaya sebagai Perbadanan Malaysia, kerajaan akan memastikan program transformasi GLC akan diperkenalkan. Ia dapat memastikan potensi pertumbuhan negara terus dijana.

Kejayaan GLC perlu ditingkatkan dalam kelas tersendiri atau muncul terbaik di kalangan negara serantau jika bukan juara global, seperti yang dipamerkan Petronas, MISC, Sime Darby, Mas, Axiata, CIMB, Maybank, sekadar beberapa contoh. Syarikat ini perlu meningkatkan kehadirannya di peringkat antarabangsa bagi menembusi persaingan pasaran antarabangsa. Kejayaan yang ditunjukkan syarikat berkenaan mampu menjayakan Perbadanan Malaysia pada masa akan datang.

Pada masa sama, GLC cukup signifikan dalam konteks Malaysia, bukan saja saiz tetapi tanggungjawab kritikal kepada sektor perniagaan dan perdagangan di Malaysia terutama penyediaan perkhidmatan elektrik, komunikasi, penerbangan dan lapangan terbang, air dan perkhidmatan kewangan. Pencapaian tinggi yang diperoleh CLC akan membantu daya saing Perbadanan Malaysia.

Dalam pada itu, GLC berperanan saling melengkapi dalam pembangunan sektor swasta di Malaysia. Tiga kunci utama perlu dilaksanakan bagi membolehkan GLC maju ke depan iaitu:

# Pertama: GLC perlu memberi fokus kepada aktiviti teras dan mengurangkan atau menghapuskan aktiviti bukan teras.

# Kedua: GLC perlu beroperasi dalam sektor yang mereka boleh bersaing, memangkin dan membangun ekosistem domestik termasuk vendornya. GLC juga perlu melupuskan anak syarikat yang beroperasi atau mengurangkan kegiatan yang boleh dilakukan syarikat usahawan.

# Ketiga: Dalam sektor teras, GLC juga perlu bersaing secara sihat dengan sektor swasta lain. Tiada lagi isu kerajaan memberi bantuan kepada GLC atas dasar pegangan saham yang boleh menjejaskan saingan sektor swasta.

Kerajaan yakin GLC akan memainkan peranan saling melengkap dengan sektor swasta bagi menjayakan dinamisme Perbadanan Malaysia dan meningkatkan daya saing dalam negara.

Dalam pada itu, kerajaan akan terus membantu dan menggerakkan koridor pembangunan supaya mencapai matlamat yang ditetapkan bagi setiap koridor pembangunan yang dirancang. Sebagai contoh pembangunan Iskandar Malaysia akan terus menjadi peneraju untuk meningkatkan integrasi serantau yang lebih besar dalam rangkaian ekonomi.

Ini termasuk membangunkan kawasan baru dengan sektor perkhidmatan nilai tambah termasuk perkhidmatan pelancongan dan riadah, logistik, pendidikan, penjagaan kesihatan.

Kesimpulannya, apa yang saya ingin sampaikan ialah komuniti pelabur tidak perlu ragu dengan hasrat Malaysia menjemput pelabur tempatan dan asing ke negara ini. Kita hanya mampu mencapai pendapatan yang tinggi dengan mencipta lebih banyak peluang pertumbuhan berbanding melindungi ruang yang sempit. Kita hanya boleh mencapai matlamat ekuiti sosial dengan mengembangkan kek kekayaan negara. Bagi mencapai matlamat itu, saya berharap pelabur dapat memainkan peranan mereka dan bergerak bersama bagi perjalanan Malaysia yang gemilang.

0 comments: