Minda Pengarang: Tangguh pindaan akta tukar agama tindakan tepat

Minda Pengarang: Tangguh pindaan akta tukar agama tindakan tepat

ISU mengenai penukaran agama mula menarik perhatian di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini apabila seorang wanita Melayu bernama Azalina Jailani mengaku murtad sejak 1998 dan memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendapatkan perintah supaya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya, selepas jabatan itu menolak permintaannya pada 1999. Kes Azalina atau lebih dikenali sebagai Lina Joy selama sembilan tahun akhirnya selesai apabila Mahkamah Persekutuan pada 30 Mei 2007, menolak rayuannya untuk menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya, sekali gus mengakhiri isu pertindihan bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah dalam hal berkaitan Islam. Kemudian beberapa kes sama menyusul, kebanyakannya menjurus kepada isu penukaran agama, termasuk perbalahan mengenai status agama seseorang selepas meninggal dunia hingga berlaku perebutan mayat di hospital, selain mengenai kedudukan agama anak kepada isteri atau suami yang memeluk Islam serta siapa yang berhak menentukannya. Susulan beberapa kes seumpama itu, pada 22 April lalu Kabinet memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin, walaupun selepas salah seorang pasangan itu menukar agama dengan alasan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak apabila ibu atau bapa mereka menukar agama. Beberapa tokoh agama bagaimanapun, menganggap keputusan itu bercanggah dengan hukum syarak dan meminta kerajaan menariknya balik.

Kelmarin, Majlis Raja-Raja menangguhkan cadangan pindaan undang-undang berkaitan penukaran agama dan undang-undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) yang mencetuskan kontroversi kerana dikatakan bercanggah dengan hukum syarak. Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara itu memutuskan supaya pandangan Majlis Agama Islam Negeri diperoleh terlebih dulu berhubung cadangan berkenaan. Keputusan Majlis Raja-Raja itu tepat dan wajar serta kena pada masanya supaya input yang diterima daripada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri boleh diteliti bagi memantapkan pindaan berkenaan. Kita tidak mahu perkara itu menjadi pertikaian pihak tertentu pada masa akan datang. Lagi pun, sebarang keputusan yang bakal dibuat itu nanti pasti membabitkan banyak aspek iaitu sensitiviti agama, kaum, termasuk institusi kekeluargaan seperti pembubaran perkahwinan, agama anak, hak penjagaan dan nafkah anak serta nafkah isteri. Memandangkan isu berkaitan agama adalah isu sensitif, adalah wajar ia diperkemaskan sebelum dilaksanakan. Dengan itu sebarang pindaan perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah suatu hari nanti. Oleh itu, tiada perkara lebih tinggi daripada agama Islam itu sendiri dan tanggungjawab itu juga untuk menyelamatkan akidah anak-anak. Malah, Majlis Raja-Raja berhak membuat sebarang keputusan memandangkan hal-ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu. Hakikatnya, Majlis Agama Islam Negeri yang ditubuhkan mengikut peruntukan Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri berfungsi dan bertanggungjawab menolong serta menasihati Duli Yang Maha Mulia Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri dalam perkara berkaitan agama Islam.

0 comments: