Menyelami partisipasi politik belia

Menyelami partisipasi politik belia

PADA 4 Julai ini genaplah 100 hari saya menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Dalam tempoh itu, tema utama yang saya bincangkan ialah partisipasi (penyertaan) belia dalam politik. Antaranya, sokongan belia terhadap Barisan Nasional (BN).

Saya berpendapat kita belum memahami sepenuhnya realiti partisipasi politik di kalangan belia. Bagaimanakah belia kita melihat politik? Bagaimanakah mereka mendekati dan melibatkan diri dalam dunia politik? Kumpulan manakah yang terlibat dalam politik secara aktif? Apakah iklim pembelajaran dan struktur peluang yang dapat memupuk penyertaan mereka?

Saya merujuk beberapa kajian di negara ini, misalnya oleh Merdeka Centre dan di luar negara, contohnya oleh Spannring R., Ogris G. dan Gaiser W. (Ed), (2008), Youth and Political Participation in Europe.

Kita perlu bermula dengan memahami erti partisipasi (participation). Ia berasal daripada perkataan Latin iaitu “pars” yang bermakna “bahagian” dan “capere” yang bermakna “mengambil”. Atau mengambil bahagian, melibat atau menceburkan diri dan berkongsi.

Ia dipengaruhi dan juga mempengaruhi, struktur, proses dan sumber tertentu. Matlamat akhirnya ialah perubahan sosial, iaitu melalui atau oleh pelakunya.

Partisipasi politik pula boleh dilihat daripada pelbagai pendekatan dalam teori demokrasi. Antaranya ialah pendekatan realis yang berasaskan perwakilan dan pemerintahan elit demokratik dan melihat demokrasi bukan sebagai pemerintahan oleh rakyat tetapi sebagai pemerintahan oleh politikus yang mendapat persetujuan rakyat.

Aktiviti utama partisipasi rakyat ialah pengundian pada pilihan raya. Selepas itu, rakyat hanya menjadi penonton sahaja.

Sebaliknya, terdapat pula pendekatan normatif yang melihat partisipasi bermatlamat bukan sahaja untuk mempertahankan fungsi institusi demokrasi, tetapi juga untuk memantau perlakuan elit politik. Ia memerlukan partisipasi rakyat yang aktif seperti perbincangan khalayak, keterlibatan dalam proses membuat keputusan dan mengambil tindakan politik, termasuk dalam bentuk demokrasi langsung (direct democracy).

Partisipasi belia mula mendapat pengiktirafan terutamanya sejak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, di mana partisipasi menjadi temanya.

Sepuluh tahun kemudian, ia mula diiktiraf sebagai mempunyai konotasi politik apabila dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond menggunakan frasa “partisipasi penuh dan aktif dalam membuat keputusan”.

Pada masa yang sama, selaku Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, saya menulis gagasan “hak upaya belia” yang kemudiannya digunakan dalam Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia Sedunia (1998).

Ketika menutup rasmi Forum Belia Ke-3 sempena Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 baru-baru ini, saya menggesa ketua-ketua negara anggota pertubuhan itu supaya melipatgandakan hak upaya belia sebagai satu pendekatan bagi memperkasa partisipasi belia, termasuk dalam politik.

Pra syarat bagi kefahaman terhadap partisipasi belia dalam politik adalah dengan mengiktiraf tiga permintaan utama belia iaitu: suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan cara yang berorientasi mereka.

Selanjutnya, kita perlu menyelami partisipasi politik belia dalam empat keadaan. Pertama, hubungan belia dan politik yang bersifat multi dimensi. Apakah keadaan sosial dan politik semasa dan setempat serta pandangan belia terhadap politik?

Di sebalik segala faktor yang membentuk sistem politik sedia ada serta hubungan antara politik dan rakyat, terdapat faktor-faktor yang mempengaruhi pendekatan belia terhadap politik – lazimnya kurang kita fahami.

Kedua ialah bentuk, makna dan alasan belia untuk berpartisipasi dalam politik. Apakah caranya belia berpartisipasi dengan aktif dalam politik dan bagaimanakah mereka menilai pelbagai bentuk partisipasi politik?

Persepsi mereka mencerminkan imej politik yang dilihatnya dan pengalaman politik yang pernah dilaluinya. Sebahagian daripada mereka pernah melalui pengalaman parti politik tradisional yang lebih menutup daripada membuka ruang untuk pertukaran dan perkongsian idea serta pembentukan komuniti dan budaya politik yang bersih lagi segar.

Ketiga, mengenal pasti bagaimana belia belajar tentang partisipasi politik. Apakah peranan dan keberkesanan ibu bapa, rakan sebaya dan pendidikan formal terhadap partisipasi itu?

Sistem pendidikan mempunyai kesan besar jika ia benar-benar memberikan ilmu politik serta peluang berpartisipasi dalam proses demokratik melalui kokurikulum yang mantap.

Dan keempat, kesaksamaan gender iaitu daripada segi partisipasi belia wanita. Adakah belia wanita mempunyai kefahaman dan amalan politik yang sama atau berbeza daripada belia lelaki?

Kita perlu memantau dan menilai pandangan dan pilihan partisipasi belia wanita yang seimbang dengan belia lelaki. Jurang antara partisipasi belia wanita dengan belia lelaki kelihatan semakin kecil tetapi fenomena siling kaca dalam parti politik masih besar.

Kesimpulannya, belia mempunyai imaginasi tersendiri terhadap partisipasi dalam politik. Cara, corak dan citra politiknya mungkin berbeza dengan kita. Dan kerana itu kita perlu menyelami minda mereka bukan sahaja untuk memperbaiki kefahaman kita, tetapi lebih penting lagi ialah untuk mengehakupayakan mereka agar dapat mengoptimumkan potensi politik mereka.


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.">

0 comments: