Penutupan Gitmo ujian besar Obama

Penutupan Gitmo ujian besar Obama

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI

PUSAT tahanan tentera laut Amerika Syarikat (AS) di Teluk Guantanamo, Cuba yang menempatkan suspek pengganas dari seluruh dunia terus mencetuskan kontroversi sejak dibuka oleh bekas Presiden AS George W. Bush sejurus selepas serangan 11 September 2001.

Gitmo yang menempatkan beratus-ratus suspek keganasan dan dikaitkan dengan rangkaian Al Qaeda dan Taliban terus menghantui pentadbiran Presiden Barack Obama.

Obama yang ketika kempen Pilihan Raya Presiden AS berkeras mahu menutup pusat tahanan itu, kini menghadapi dilema setelah mendapat bantahan termasuk daripada Demokrat sendiri.

Keputusan untuk menutup pusat itu bukan sahaja dipersoalkan daripada segi pentadbiran, logistik dan kewangan tetapi juga keselamatan warga AS sekiranya tahanan-tahanan itu dibebaskan dan terus berada di negara itu. Kritikan dan bantahan itu menyebabkan Obama terpaksa membuat kenyataan bagi menjelaskan kedudukan Gitmo dan tahanan yang ada.

Obama dalam keadaan sukar cuba meyakinkan semua golongan di luar dan dalam AS apabila memberi formula bagi penutupan pusat itu dengan menyenaraikan tahanan-tahanan tersebut kepada lima kategori bagi memudahkan urusan penutupannya.

Langkah Obama untuk menutup Gitmo adalah satu tindakan yang dianggap kontroversi di AS pada masa ini tetapi Obama mempunyai alasan kukuh untuk bertindak demikian bagi membersihkan imej AS di mata dunia, terutama untuk memulihkan hubungan AS dengan dunia Islam.

Presiden berkulit hitam AS itu menganggap hubungan AS dengan dunia Islam sebagai masih signifikan dalam usaha memupuk perdamaian dan membanteras keganasan global.

Presiden AS itu mengakui beliau berada di persimpangan untuk meneruskan keputusannya menutup Gitmo iaitu antara kepentingan AS, terutama keselamatan warga AS dan imej AS di peringkat global, sekiranya tahanan-tahanan tersebut dibebaskan.

Ini dapat dilihat apabila Obama semasa diwawancara oleh televisyen C-Span kelmarin menjelaskan, beliau memikirkan langkah-langkah yang perlu diambil ke atas tahanan-tahanan di Teluk Guantanamo, yang dianggap terlalu berbahaya untuk dibebaskan dan menjadi salah satu masalah terbesar yang dihadapi oleh AS.

Dalam situasi dunia kini berdepan dengan krisis ekonomi dan wabak selesema babi, dengan beberapa kes utama dikesan berpunca di AS, apakah Obama mampu terus menghadapi kritikan-kritikan daripada musuh politiknya sama ada daripada Parti Republikan mahupun dari Demokrat sendiri terhadap dasar-dasar dan pentadbirannya yang agak ekstrem.

Penutupan Gitmo sekali gus dilihat sebagai ujian besar untuk menerajui AS mengikut acuan yang diinginkan olehnya seperti yang dicanang ketika berkempen. Isu Gitmo benar-benar menguji pentadbiran Obama dalam menghadapi kritikan musuh-musuh politik dan pada masa yang sama, beliau tidak dilihat terlalu tunduk kepada kepentingan dunia Islam.

Kemampuan Obama menangani isu Gitmo kelak akan dilihat sebagai kejayaannya untuk keluar daripada bayang-bayang peninggalan pentadbiran Bush.

Ia juga akan membolehkan Obama terus melangkah ke hadapan bagi menumpukan usaha memulihkan ekonomi AS dan melaksanakan dasar-dasar luar bagi memulihkan semula imej AS di mata dunia.

0 comments: