Kegagalan tentera asing di Afghanistan

Kegagalan tentera asing di Afghanistan

SALAH satu pengajaran dari sejarah Afghanistan ialah, jika anda orang asing, jangan cuba-cuba masuk. Jika anda masuk juga, jangan tinggal terlalu lama kerana mereka tidak suka orang-orang asing tinggal terlalu lama - Paul Wolfowitz, bekas Setiausaha Pertahanan Amerika.

Mahu tak mahu, perbandingan terpaksa dibuat antara cubaan British untuk menguasai Afghanistan pada abad ke-10, dan pencerobohan komunis Soviet Union di Afghanistan pada akhir abad ke-20, serta tindakan Amerika dan pakatan NATO dewasa ini.

Tentera British dua kali tewas pada tahun 1839-42 dan 1878-80. Laskar dan pejuang Afghanistan telah menyerang sejumlah 16,000 askar British yang berundur dari Kabul pada tahun 1842. Dari bilangan begitu ramai itu hanya seorang saja warga British selamat.

Sejumlah 100,000 askar komunis Soviet menyerang Afghanistan dan membunuh hampir sejuta warganya, tetapi akhirnya komunis tewas juga. Kekalahan mereka antara sebabnya pemerintahan Soviet tumpas sama sekali kemudiannya.

Ketika komunis menguasai Afghanistan selama lebih tujuh tahun, Amerika memberi bantuan dan pelbagai senjata kepada para pejuang Afghanistan. Kini mereka menjadi musuh. Antara yang terlibat dalam pemerintahan singkat komunis ialah seorang warga Afghanistan Dr. N. Ahmadzai. Pada mulanya beliau menyertai Parti Demokratik Rakyat Afghanistan yang pro-komunis kemudian merampas kuasa pada tahun 1978.

Dua tahun berikutnya beliau menjadi ketua polis rahsia. Menurut pelbagai dakwaan kemudiannya pihak polis rahsia itu telah menangkap, menyeksa dan membunuh puluhan ribu warga Afghanistan.

Organisasi Amnesty International pernah menyiarkan laporan mengenai ramainya lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa. Sebilangan yang terselamat kemudian menceritakan betapa Dr. Ahmadzai sendiri mendera para tahanan, memukul dan memijak serta menyepak mereka hingga mati. Beliau semasa muda menuntut di Universiti Kabul.

Akhirnya pemerintahan komunis tewas dan beliau mendapat perlindungan di kawasan sebuah bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1992. Beliau dan adiknya kemudian ditangkap oleh pihak Taliban pada tahun 1996 manakala Kabul ditawan. Keduanya mati di tali gantung. Tentera Soviet yang menyerang mulai akhir 1979 berundur pada tahun 1988. Menurut laporan ramai para pejuang Taliban yang mati dalam pelbagai pertempuran kemudian dikebumikan di gaung bukit. Tidak ada papan tanda nama pada kubur mereka. Yang ada hanya bendera kecil warna hitam berkibar dihembus angin.

Kini giliran Amerika dan pasukan-pasukan tentera beberapa buah negara pakatan NATO. Diumumkan pada minggu lalu ialah keputusan pihak Amerika menyingkirkan panglima tenteranya di Afghanistan, Jeneral David McKiernan. Penggantinya ialah Jeneral Stanley Mc Chrystal yang diharap boleh mengurangkan kematian orang-orang awam. Juga diperlukan ialah latihan lebih lancar bagi bala tentera Afghanistan.

Sebuah laporan lain menyebut mengenai sebilangan ramai tentera Soviet di Afghanistan dulu beragama Islam. Mereka sebenarnya dikerah memerangi laskar Afghanistan yang Islam. Lalu tentera Soviet itu kemudian memutuskan tidak mahu lagi memerangi lawan mereka yang Islam. Sebagaimana pernah dinyatakan oleh seorang wartawan Australia, Philip Adams "Dunia luar tidak pernah menang perang di Afghanistan dan sama sekali tidak akan menang kemudian nanti".

0 comments: