"El Chapo" bilionair dadah

"El Chapo" bilionair dadah


Kegiatan penyeludupan dadah yang berleluasa di AS telah membenarkan Guzman disenaraikan antara bilionair tahun ini. - gambar hiasan.


BOLEH dikatakan hampir setiap insan di dunia menyimpan impian dan keinginan untuk menjadi jutawan. Melihat kepada kehidupan mereka yang bergelar jutawan ini pastinya membuatkan kita berasa teruja dengan kemewahan, cara hidup yang penuh bergaya selain himpunan aset dan pelbagai barangan mewah mereka.

Ada antara mereka yang mewarisi kekayaan dari keluarga masing-masing sebelum ini. Ada yang mencipta kejayaan bermula dari bawah dan terpaksa menempuh pelbagai ranjau dan duri sebelum berupaya menikmati kehidupan semewah sekarang.

Bagi kebanyakan ahli perniagaan ternama, teras kejayaan mereka adalah hasil penat lelah dalam membina jenama perniagaan seperti yang dilalui oleh Bill Gates membina empayar Microsoft dan Ingvar Kamprad dengan syarikat IKEA.

Kejayaan diperolehi bukanlah datang bergolek, prinsip pengurusan yang mantap dan sentiasa oportunis dalam mengambil peluang dan ruang merupakan antara resipi kejayaan.

Bagaimanapun dalam hal menambah kekayaan bagaikan timbul kesepakatan antara orang terkaya dunia bahawa kemewahan yang diperolehi melalui usaha dan perniagaan dadah bukanlah satu konsep perniagaan yang dibenarkan. Namun itulah yang berlaku apabila majalah Forbes menyenaraikan seorang jutawan dadah dari Mexico, Joaquin "El Chapo" Guzman Loera antara orang terkaya dunia.

Guzman menduduki tempat ke 701 senarai bilionair dunia dan memiliki aset dan wang tunai sebanyak AS$1 bilion (RM3.54 bilion). Dia berkongsi tempat ke 701 bersama dengan 100 lagi bilionair.

Secara umumnya masyarakat memandang hina dan jijik dengan mereka yang terlibat dalam dadah namun apabila seorang jutawan dadah termasuk dalam senarai orang terkaya dunia pastinya akan timbul kemusykilan adakah menghimpun kekayaan hasil dari perniagaan haram diiktiraf.

Apakah kerana mereka mengumpul kekayaan dan mempunyai aset dan wang tunai berbilion dolar, kedudukan mereka boleh diiktiraf dan setanding dengan ahli perniagaan lain yang mencipta nama hasil dari penat lelah dan usaha sendiri?

Namun itulah yang berlaku apabila Guzman diiktiraf antara bilionair dunia dan lebih malang lagi majalah Forbes menyatakan kekayaan Guzman adalah hasil dari "usahanya sendiri".

Oleh itu Guzman, 52, secara rasminya berkongsi kedudukan dan persamaan dengan orang terkaya dunia lain seperti Bill Gates, Warren Buffet dan keluarga diraja dari negara Arab.

Ketua Pengarang majalah Forbes, Steve Forbes dalam satu kenyataan menyatakan adalah sesuatu yang menjijikkan apabila seseorang seperti Guzman memiliki aset dan tunai sebanyak AS$ 1 bilion (RM3.54 bilion) namun majalah ini hanya menjalankan tugasnya dalam melaporkan fakta.

Penyenaraian sebegini bukanlah pertama kali dilakukan oleh majalah Forbes. Ia pernah memasukkan penjenayah seperti Meyer Lansky yang membina empayar perjudian di Amerika Syarikat (AS) pada 1982 dan raja dadah Colombia, Pablo Escobar pada 1987 hingga 1993.

Maka dengan penyenaraian kedua-dua penjenayah itu dalam senarai orang terkaya dunia sebelum ini, ia dijadikan alasan untuk membenarkan Guzman disenaraikan.

Menurut majalah Forbes seramai 38 bilionair memasuki senarai terbaru tahun ini dan Guzman merupakan salah seorang daripada mereka. Dengan kedudukan sebagai pengimport dadah jenis kokain terbesar ke AS maka adalah tidak menghairankan dia menduduki senarai tersebut.

Guzman atau lebih dikenali sebagai "El Chapo" (si pendek) dilahirkan pada 1957 dari sebuah keluarga susah di La Tuna. Kehidupannya yang serba kekurangan dikatakan menjadi punca dia terlibat dalam jenayah sejak kecil. Dia kemudian menyertai kartel Guadalajara yang dikuasai oleh Raja dadah 1980-an, Miguel "El Padrino" Felix Gallardo dan tidak lama kemudian dilantik sebagai salah seorang orang kanan Gallardo sebagai pakar bahagian logistik penerbangan.

Bagaimanapun apabila Gallardo ditangkap dan dipenjarakan seumur hidup pada 1989, Guzman mewarisi sebahagian dari kawasan Gallardo dan menubuhkan kartelnya sendiri yang dikenali sebagai Sinaloa pada awal 1990-an dan kini menjadi antara kartel dadah paling dominan di Mexico.

Cara Guzman mengendalikan perniagaan kartel dadahnya sangat licik dan kejam. Kartelnya mempunyai rangkaian di seluruh Amerika Latin, dari kawasan hutan di Bolivia hinggalah ke bandar-bandar besar di AS. Bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh dia tidak teragak-agak bertindak kejam terhadap pesaingnya malah mengancam pihak berkuasa dan ahli politik yang cuba menggugat perniagaannya. Itu belum diambil kira kegiatan rasuah yang berleluasa di dalam sistem kehakiman.

Kekejaman

Setakat ini lebih 10,000 orang dilaporkan terbunuh akibat kekejaman Guzman malah Pentagon meletakkan Mexico sebagai negara dalam bahaya akibat kegagalan kerajaan sivil berfungsi.

Walaupun hidup seperti pelarian, Guzman masih mampu menjalani cara hidup mewah dengan memiliki rumah di Sierre Madre dengan dikelilingi gadis-gadis cantik. Malah dia dilaporkan mengupah seorang penulis untuk menulis puisi dan kata-kata cinta bagi memikat gadis yang diingini.

Guzman juga dilaporkan mempunyai rangkaian pekerja dan aset bernilai ratusan juta dolar. Antaranya gudang di California, New Jersey dan Chicago, perniagaan jet peribadi untuk disewa dan terowong bawah tanah sedalam 65 kaki dan sepanjang 1,416 kaki di antara Mexico hingga ke Otay Mesa di California.

Dia dikenali dengan kekejaman yang dilakukan sama ada terhadap pesaingnya mahupun pihak berkuasa tetapi pada masa yang sama sangat cekap mengendalikan kartel dadahnya. Teknik pembunuhan yang menjadi trademark ialah mencurahkan mangsa dengan asid, memotong telinga atau membakar mangsa sehingga tidak boleh dikenalpasti. Cara dia mengendalikan penyeludupan juga sangat mengelirukan iaitu menyembunyikan kokain di dalam patung mainan, botol cili dan juga alat pemadam api.

Guzman pernah ditangkap pada Jun 1993 di Guatemala sebelum diekstradisi ke Mexico atas tuduhan membunuh dan mengedar dadah. Dia kemudian dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan dihantar ke Penjara Puente Grande yang terkenal dengan sistem kawalan maksimum. Bagaimanapun penangkapan ini tidak langsung menggugat kedudukannya kerana dia masih lagi mengawal perjalanan perniagaan dadah dari dalam penjara.

Malah dia menjalani kehidupan mewah dalam penjara termasuklah mempunyai katil, sistem audio terkini dan wanita simpanan. Semua itu berlaku akibat daripada kegiatan rasuah berleluasa yang diamalkan oleh pegawai rendah hinggalah ke pengarah penjara. Bagaimanapun pada 19 Januari 2001, beberapa hari sebelum diekstradisi ke AS, Guzman merasuah pegawai penjara dan kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan yang membawa pakaian dobi. Dilaporkan seramai 78 orang terlibat dalam proses tersebut.

Kejayaan Guzman melarikan diri dari penjara telah membolehkan dia menguasai perniagaan dadah secara dominan malah pesaingnya seperti kartel Gulf, kartel Juárez dan kartel Tijuana semakin terpinggir berikutan kelicikannya. Namun kelicikan Guzman terpaksa dibayar dengan harga yang mahal. Anaknya, Edgar ditembak oleh pesaingnya tahun lepas manakala adiknya turut menerima nasib yang sama.

Bagi Guzman, walau apa pun berlaku dia tidak akan sesekali tunduk dengan tekanan dan prinsip inilah yang dipegangnya bagi memungkinkan dia menguasai perniagaan dadah dan melebarkan pengaruh di benua Amerika. Menguasai pasaran dan mengekalkan penguasaan adalah dua perkara berbeza bagi Guzman oleh itu dia akan melakukan apa saja untuk membenamkan musuhnya.

Bagi kebanyakan penduduk di Mexico, mereka seolah-olah putus harapan mengenai kredibiliti polis dan sistem kehakiman dalam menangani hal itu. Sebuah akhbar tempatan pernah melaporkan bahawa Guzman merupakan seorang yang pintar dan sangat licik namun semua ini tidak akan berlaku tanpa sebarang bantuan dan sokongan dari negara ini termasuklah institusinya seperti polis dan tentera.

Perkara yang menambahkan lagi kemarahan orang ramai ialah apabila dia dilaporkan berkahwin buat kali ketiga dengan gadis berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Emma dua tahun lepas. Ramai tetamu kenamaan menghadiri majlis tersebut antaranya ahli politik, pegawai kanan kerajaan, malah yang mengawal keselamatan ketika majlis berlangsung terdiri dari komander tentera dan pegawainya.

Kemampuan Guzman melakukan semua itu pastinya dilihat oleh masyarakat sebagai sangat memalukan tapi jika diamati keupayaannya membawa masuk berbilion dolar, berpuluh kali ganda dari peruntukan kerajaan untuk melumpuhkan operasinya telah menggelapkan mata dan membutakan hati pihak berkuasa untuk bertindak. Namun kerajaan Mexico masih menaruh harapan kegiatan Guzman mampu dihentikan.

Tahun lepas sahaja beberapa pegawai kanan polis dan tentera ditahan kerana terlibat dalam kegiatan rasuah. Seorang pegawai tinggi agensi anti dadah turut ditahan setelah disabitkan dengan kesalahan menerima rasuah AS$ 450,000 (RM1.6 juta) sebulan untuk mendedahkan tarikh operasi dan serbuan yang akan dijalankan.

Ketenteraan

Ada pihak yang mencadangkan supaya anggota tentera diberikan kuasa penuh mengawal sempadan AS-Mexico bersama dengan tentera AS yang dilengkapi peralatan ketenteraan dan perisikan serba canggih. Malah AS sendiri menawarkan habuan sebanyak AS$5 juta (RM18 juta) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya Guzman.

Satu lagi teknik yang digunakan oleh Guzman dalam melebarkan pengaruh ialah berlagak menjadi wira seperti "Robin Hood" di kalangan penduduk miskin. Kebanyakan mereka mengagumi Guzman kerana menjadi penyelamat dengan memberi wang perbelanjaan, memahami masalah mereka serta menonjolkan diri sebagai pemimpin. Guzman juga sangat cekap menyembunyikan diri dan dilaporkan berada di beberapa negara tanpa dapat dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun alasan utama kenapa Guzman masih terus berkuasa sejak dibebaskan dari penjara lapan tahun lepas ialah permintaan dadah yang semakin meningkat di kalangan penduduk AS sendiri. Dilaporkan 35 juta penduduk AS terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan mereka membelanjakan AS$65 bilion (RM234 bilion) setahun untuk tujuan itu.

Pada tahun 2008 penggubahan wang haram bernilai AS$39 bilion (RM140.4 bilion) dari hasil dadah berjaya dilakukan oleh pengedar dadah Mexico dan Colombia. Guzman dilaporkan menguasai 20 peratus dari wang tersebut. Dalam dunia perniagaan mengaut keuntungan adalah objektif utama sesebuah entiti perniagaan ditubuhkan. Mungkin ada yang menipu atau memanipulasi sesuatu perkara atas tujuan mendapat keuntungan.

Namun aktiviti perniagaan secara haram seperti kegiatan dadah, keuntungan yang diperolehi adalah hasil daripada kekejaman. Oleh itu adalah tidak adil untuk mengiktiraf kekayaan Guzman setaraf dan sebaris dengan ahli perniagaan lain yang berniaga secara sah.

Ini bukan sahaja dilihat sebagai mengiktiraf peranan dan perniagaan mereka malah mengangkat martabat penjenayah sebagai antara orang yang dihormati dan dikagumi. Jika keadaan ini tidak dibendung tidak mustahil lebih ramai penjenayah akan diangkat martabat dan kedudukan mereka pada masa depan serta dipandang mulia oleh masyarakat.

0 comments: