Aminah jadi posmen anak

Aminah jadi posmen anak




"SAYA jenis ibu yang cemburukan anak-anak. Ke mana mereka pergi, saya harus tahu, dengan siapa mereka berkawan, apa yang mereka buat, saya juga perlu tahu. Pendek kata, semuanya kena diberitahu.

"Cara ini bukan untuk mengongkong kebebasan mereka, tetapi untuk didik mereka supaya tidak membelakangkan ibu bapa dalam apa jua perkara.

"Mereka masih bebas memilih dan membuat keputusan tetapi perlu berbincang dahulu dengan orang tua," ujar pemilik raut wajah manis, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, 54.

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini, proses membesarkan anak-anak bukan satu perkara yang mudah.

Katanya, tanggungjawab tersebut tidak hanya tertumpu kepada penyediaan tempat tinggal, makan minum dan persekolahan malah menuntut pengisian rohani dan emosi yang bakal membentuk sahsiah anak-anak.

"Jika sejak kecil ibu bapa lepas tangan, tidak mustahil timbul pelbagai masalah pada kemudian hari.

"Kurangnya komunikasi antara anak dan ibu bapa boleh mencipta jurang yang sangat dalam seterusnya memberi impak kepada hubungan tersebut untuk jangka masa panjang.

"Keadaan ini jika dibiar berlarutan boleh menyebabkan ibu bapa hanya mengenal wajah anak mereka tetapi tidak dapat mengenali karakter sebenar anak mereka, bagaimana anak mereka berfikir, apa yang anak mereka perlukan dan sebagainya," ulasnya.

Aminah yang ditemui Jurnal semasa melancarkan Kempen Kenali Anak Kita turut menggesa ibu bapa supaya mewujudkan suasana saling mengambil berat di samping meluangkan masa untuk 'melabur' demi anak-anak.

"Melabur bukan hanya soal wang, tetapi juga menanamkan akhlak, ilmu, kemahiran dan cara hidup yang sihat.

"Ramai beranggapan anak-anak hanya boleh dilentur dan didik ketika mereka masih kecil.

"Ada juga anggap tugas membesarkan anak itu selesai selepas anak-anak tamat sekolah dan bekerja, namun itu juga salah kerana tanggungjawab antara anak dan ibu bapa tidak pernah berakhir.

Kecut perut kerlingan bapa

Dibesarkan dalam keluarga yang besar, Aminah memberitahu sewaktu kecilnya boleh dikatakan beliau cukup takut dengan bapanya.

Menyifatkan bapanya sebagai seorang pemimpin autokratik, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk memahami gerak dan bahasa tubuh bapanya itu.

Adakalanya, terlihat sahaja kerlingan si bapa, ia sudah cukup untuk mengecutkan perutnya.

"Zaman kanak-kanak saya sering dibayangi dengan ketegasan bapa dan rejim disiplinnya. Memang ada banyak peraturan dan undang-undang. Namun, di sebalik ketegasan itu, bapa juga seorang yang pemurah dengan kasih sayang.

"Ada masanya, apabila dia marah, rasa macam nak gugur jantung dibuatnya, tapi ada masanya juga kami bergurau senda dan berbual mesra.

"Pendekatan yang bapa gunakan banyak mengajar kami 10 beradik tentang erti disiplin, tanggungjawab dan bekerjasama. Mengutip pengalaman daripada bapa, saya praktikannya pula ketika membesarkan anak-anak," katanya.

Memiliki tiga permata hati, Dr. Adila Murni, 29, Amirul Hijaz, 25 dan Aiman Hafiz, 18, Aminah dan suami, Ahmad Ridzwan Mohd. Salleh, 59, mengamalkan ketegasan dan keterbukaan dalam mendidik anak-anak.

"Suami saya merupakan bekas pegawai tentera udara, jadi beliau lebih tegas dalam mendidik anak. Namun, walaupun garang, anak-anak masih berpeluang untuk berkomunikasi dengannya.

"Saya pula lebih lembut dan terbuka sebab itu anak-anak sering jadikan saya posmen kalau nak bercakap dengan bapa mereka," ujarnya.

Menceritakan pengalaman membesarkan anak, Aminah memberitahu dia bertuah kerana selepas tiga tahun berkahwin, dia diterima bekerja di Bahagian Pembangunan Keluarga LPPKN. Secara tidak langsung, beliau banyak belajar di situ.

"Selain belajar sendiri, sokongan dari keluarga terutama suami dan kakak banyak membantu saya. Memandangkan saya anak kesembilan daripada 10 beradik, banyak petua yang saya cedok daripada mereka.

"Saya juga tidak malu untuk bertanya kepada ibu-ibu dan rakan-rakan supaya dapat bertukar-tukar pandangan dalam mendidik dan mengasuh anak.

"Suami pula amat memahami tanggungjawab saya sebagai ibu bekerjaya. Dia banyak menampung kekurangan saya dalam memastikan anak-anak mendapat didikan sempurna," katanya.

0 comments: