Perompak ala MacGyver

Perompak ala MacGyver


ROMPAKAN van sekuriti selalunya melibatkan jumlah wang yang banyak.


NILAI rompakan dalam beberapa minit melibatkan wang jutaan ringgit. Pelakunya pula beraksi seperti dalam filem.

Van sekuriti yang dikawal ketat tiba-tiba bergerak sendiri, sistem keselamatan kenderaan itu dimanipulasi hingga mengelirukan pihak berkuasa dan tiada sebarang kesan cap jari ditinggalkan kerana penjenayah memakai pita pelekat pada jari masing-masing.

Begitulah liciknya 'perompak-perompak jutawan itu'.

Selasa lalu, tiga penjenayah berjaya melarikan sebuah van sekuriti bersama lapan karung berisi wang RM8.24 juta di Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur.

Drama bermula apabila mereka yang bersenjatakan dua pucuk pistol merampas van tersebut daripada dua pengawal keselamatan yang menunggu di dalam van yang sedang mengutip wang di sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketiga-tiga penjenayah terbabit amat licik hingga dapat mengelirukan pihak polis yang menyangka tiada wang dapat diambil daripada van tersebut yang ditinggalkan 200 meter dari lokasi kejadian.

Beg kosong sengaja ditinggalkan bagi menunjukkan seolah-olah penjenayah terbabit panik dan kesuntukan masa untuk melarikan wang tunai selepas enjin kenderaan itu mati tiba-tiba.


KAMAL AFFENDI


Sistem immobiliser yang digunakan pada van terbabit telah dimanipulasi hinggakan polis lebih menumpukan usaha membuka pintu yang ditutup secara automatik jika berlaku sesuatu di luar jangkaan, termasuk rompakan.

Kehilangan itu disedari hanya selepas kiraan semula dilakukan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh dan setakat ini hanya empat kakitangan syarikat keselamatan berusia 30 hingga 40-an yang ditahan.

Pihak polis juga cuba mencari bukti yang dapat mengaitkan rompakan itu dengan dua geng penjenayah terkenal iaitu Geng Mamak atau Geng Deva.

Mengikut rekod, terdapat tujuh kes rompakan van sekuriti sejak tahun 2006. Nilai terkecil yang dirompak ialah RM300,000 dan paling besar pula RM8.24 juta.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berpendapat rompakan melibatkan van sekuriti memerlukan perancangan yang teliti oleh penjenayah.

"Ia melibatkan modus operandi yang besar. Jadi perancangannya bukan mengambil masa sehari dua tetapi mungkin sudah bertahun lamanya.

"Mereka mengkaji pergerakan van itu, situasi dan operasi yang dilakukan pengawal keselamatan sebelum melakukan rompakan.

"Tindakan itu memang berisiko tetapi lebih besar risiko hasilnya lebih tinggi," katanya.

Kamal Affendi mendakwa penglibatan orang dalam mungkin memudahkan rompakan.

"Saya rasa faktor sogokan wang boleh jadi terlibat. Ini kerana orang luar tidak mengetahui prosedur dan kawalan yang dilakukan pihak syarikat keselamatan.

"Sistem itu mereka sahaja yang tahu dari segenap segi termasuk aspek keselamatan. Namun penjenayah kini sebenarnya licik dan kreatif seperti watak utama siri drama MacGyver.

"Syarikat keselamatan itu harus lebih berhati-hati pada masa akan datang untuk memastikan ia tidak berulang. Namun saya yakin kerjasama pihak syarikat dan pihak polis dapat menyelesaikan kes ini sebaiknya," ujarnya.

Van tak ikut garis panduan

Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Shaheen Mirza Habib mengakui ada segelintir ahlinya tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan, termasuk menggunakan van yang tidak memenuhi standard prosedur operasi (SOP).

"Van keselamatan perlu kalis peluru dan dilengkapi tiga bahagian, iaitu tempat pemandu, pengawal dan simpanan wang," ujarnya.

Katanya lagi, segelintir syarikat keselamatan hanya menggunakan van biasa yang diubahsuai secara ala kadar bagi menjimatkan kos.

"Harga sebuah van keselamatan yang lengkap boleh mencecah RM200,000, tetapi demi menjimatkan kos perbelanjaan mereka hanya menggunakan van yang harganya tidak sampai RM100,000," katanya lagi.

Beliau memberitahu, sesetengah syarikat juga menawarkan perkhidmatan pada harga serendah RM40 bagi setiap 10 kilometer perjalanan pemindahan wang, sedangkan garis panduan yang ditetapkan persatuan mengesyorkan caj RM110.

0 comments: