Kembali ke tanah air -- Bekas PM dijangka membuka lembaran baru politik Pakistan

ISLAMABAD 18 Okt. – Kepulangan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto dijangka membuka lembaran baru dalam kehidupan beliau yang seumpama roda selama ini. Langkah ini juga dilihat akan memberi keyakinan serta kesan lebih bermakna untuk beliau membina kembali kerjaya politiknya yang hampir musnah sebelum ini.

Kepulangan ini juga akan membolehkan Benazir memulakan kempen bagi menghadapi pilihan raya Januari ini, langkah untuk membolehkan beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga.

Benazir yang lahir pada 21 Jun 1953 di selatan Pakistan merupakan anak kepada bekas Presiden dan Perdana Menteri Pakistan, Zulfikar Ali Bhutto.

Beliau mendapat pendidikan di Universiti Oxford dan Universiti Harvard dalam bidang politik.

Tragedi menimpa Benazir apabila berlaku rampasan kuasa sebelum bapa beliau dihukum gantung sampai mati pada tahun 1977 oleh Presiden Jeneral Zia-ul Haq kerana terlibat dalam pembunuhan ahli politik pembangkang.

Namun peristiwa itulah yang mematang beliau mengenai dunia sebenar politik.

Benazir pernah ditahan dan dipenjara beberapa kali atas tuduhan khianat sebelum dibuang negara ke Britain pada 1984.

Namun dua tahun kemudian beliau kembali ke Pakistan bagi mengetuai tunjuk perasaan dan perarakan bagi memulihkan kembali kerajaan awam.

Selepas kematian Zia secara misteri dalam satu kemalangan kapal terbang pada 1988, Benazir yang baru melahirkan anak pertama, mengetuai partinya memenangi pilihan raya yang menjadikan beliau sebagai pemimpin wanita pertama dari negara Islam.

Namun beliau kemudian terjerumus dalam pergeseran dengan tentera yang mengakibatkan kerajaan pimpinannya dibubarkan 20 bulan kemudian.

Kesedihan keluarga Benazir bertambah apabila adik bongsunya, Shahnawaz ditemui mati dalam keadaan misteri di apartmennya di Nice, Perancis pada 18 Julai 1985.

Keluarganya bagaimanapun mendakwa Shahnawaz telah diracun oleh musuh politik bapa mereka.

Benazir dipilih semula mengetuai Pakistan pada 1993 namun kemudian insiden menyedihkan berlaku dalam hidupnya apabila seorang lagi adiknya, Murtaza mati dalam satu kejadian tembak menembak dengan polis di Karachi.

Beliau menuduh Presiden Farooq Leghari terlibat dalam kematian adiknya tetapi Farooq kemudiannya membubarkan kerajaan setelah mendakwa Benazir terlibat dalam salah laku politik.

Selepas kekalahan dalam pilihan raya pada 1996 kepada Nawaz Sharif, beliau semakin dihimpit dengan tuduhan rasuah.

Wanita itu meninggalkan Pakistan pada 1999 dan tidak lama kemudian mahkamah mendapati Benazir bersalah atas pertuduhan rasuah.

Beliau kemudian dibebaskan dari tuduhan tersebut namun tetap memilih untuk tinggal di luar negara.

Benazir berhubung dengan Presiden Pervez Musharraf sejak beliau menggulingkan Nawaz pada 1999, namun hanya kini Pervzez bersetuju untuk memulihkan demokrasi.

Pervez telah menandatangani pengampunan terhadap tuduhan rasuah terhadap Benazir pada minggu lalu namun langkah itu mengundang kritikan bila ia dikatakan akan menggalakkan lebih ramai lagi penjarah kekayaan negara di dalam kerajaan.

Benazir menafikan dakwaan itu dan berazam akan mengubah senario politik dengan memimpin secara demokrasi serta memberikan tekanan berterusan terhadap pemberontak Islam.

“Saya tahu saya merupakan sasaran utama kumpulan Taliban dan Al-Qaeda,” kata beliau dalam autobiografi bertajuk Daughter of the East.

“Saya merupakan pemimpin wanita yang cuba membawa pembaharuan terutama dalam bidang pendidikan,” katanya.

– AP

0 comments: