Nafi guna enzim babi

KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan dakwaan melalui e-mel kononnya enzim babi digunakan dalam produk makanan ayam di negara ini.

Perunding Eksekutif FLFAM, Dr Abdul Rahman Md Saleh, berkata penyebaran e-mel tidak berasas itu dibuat dengan niat dan agenda tertentu untuk menjejaskan industri ternakan ayam.

Sehubungan itu, beliau berkata, FLFAM yakin jawatankuasa khas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyiasat dakwaan berkenaan dapat mendedahkan perkara sebenar.


"Kami menafikan dakwaan itu dan penyebaran e-mel ini berunsur fitnah. Penternak ayam di negara ini memang tidak menggunakan enzim babi untuk mempercepatkan pembesarannya," katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan jawatankuasa khas Jakim yang dianggotai pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan mengumpul sampel makanan ayam digunakan penternak untuk dianalisis Jabatan Kimia dan Institut Penyelidikan Halal.

0 comments: