Satu lagi mayat ditemui

Oleh Sahlina Sahkirin


PRIHATIN: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis menenangkan Yan Sing ketika menunggu mayat Hann Wen di Hospital Mersing, semalam.

Gerakan mencari mangsa terakhir nahas feri Seagull Express 2 diterus

MERSING: Seorang lagi mangsa yang hilang dalam kejadian feri terbakar dan karam di perairan Pulau Tioman, Pahang, Sabtu lalu ditemui di antara Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil, semalam.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Kapten Tan Kok Kwee, berkata mayat berkenaan ditemui dalam keadaan terapung kira-kira tujuh batu nautika dari tempat kejadian, kira-kira jam 11.15 pagi.


Beliau yang juga Ketua Penguatkuasa daerah Maritim Kuantan berkata, mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Wong Hann Wen, 29, seorang penyelia kilang di Petaling Jaya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

"Mangsa ditemui masih berseluar jeans biru di perairan Johor iaitu antara Pulau Tinggi dan Pulau Pemanggil, berdekatan Pulau Jahat, kira-kira 7.5 batu nautika dari tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Tan berkata, mayat mangsa kemudian dinaikkan di Jeti Sungai Mersing sebelum dihantar ke Rumah Mayat Hospital Mersing, di sini untuk dibedah siasat dan pengecaman keluarga.


Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan gerakan mencari satu lagi mangsa, Choong Yoong Kim, 43, yang masih belum ditemui.

Dalam kejadian 1.30 petang Sabtu lalu, feri Seagull Express 2 yang membawa 103 penumpang, terbakar dan karam kira tujuh batu nautika berhampiran Jeti Genting, Pulau Tioman.



Sementara itu, bapa Hann Wen, Wong Yan Sing, 64, berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit termasuk anggota SAR kerana berjaya menemui mayat anaknya.

Beliau yang menetap di Tanah Merah tiba di sini, sejak Ahad lalu, sebaik saja menerima maklumat mengenai kejadian yang menimpa anak sulungnya itu.

"Setiap hari saya berdoa supaya anak saya dapat ditemui sama ada hidup atau mati.

"Bagaimanapun, saya terima apa yang berlaku sebagai suratan takdir kerana Tuhan sudah menentukan nasibnya untuk menemui ajal di sini," katanya sambil mendakwa mayat anaknya akan dibawa ke kampung untuk dikebumikan di sana.

0 comments: