NTRC yakin Siti Salmah dapat paru-paru baru

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Pusat Sumber Pemindahan Nasional (NTRC) Hospital Kuala Lumpur (HKL) yakin penghidap penyakit Hipertensi Pulmonari, Siti Salmah Jasni, 18, akan mendapat paru-paru baru secepat mungkin.

Ketua Penyelarasnya, Dr. Lela Yasmin Mansor berkata, dengan bantuan banyak pihak terutama media yang memberikan liputan meluas mengenai isu pendermaan organ, gadis itu mempunyai harapan cerah untuk mendapatkan penderma yang sesuai.

“Selepas kisah Tee Hui Yee berjaya mendapat jantung baru, kita yakin dan optimis Siti Salmah juga akan mendapat paru-paru baru secepat mungkin.

“Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah berusaha tanpa henti untuk mencari organ yang sesuai untuknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Selepas Hui Yee, Utusan Malaysia melancarkan pula kempen mencari paru-paru baru untuk Siti Salmah.

Gadis tersebut dijangka hanya boleh bertahan dua tahun lagi menggunakan tangki oksigen dan rawatan perubatan.

Dr. Lela Yasmin menambah, sehingga semalam, pusat itu menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang mahu mendermakan paru-paru untuk Siti Salmah tetapi ia tidak dapat dilaksanakan ketika mereka masih hidup.

“Seperti jantung, pemindahan paru-paru hanya boleh dilaksanakan sekiranya penderma itu telah meninggal dunia dan paru-parunya berada dalam keadaan elok serta sesuai dengan penerima.

“Dalam hal ini, pesakit mati otak yang tidak ada harapan untuk hidup lagi boleh membantu dan kita berharap mana-mana waris keluarga pesakit mati otak dapat tampil untuk membantu gadis tersebut,” katanya.

Menurut beliau, NTRC semalam turut menerima dua panggilan daripada waris keluarga pesakit mati otak yang berhasrat mendermakan organ namun disebabkan sesuatu perkara, mereka tidak memberikan maklum balas selanjutnya.

Bagaimanapun, hari ini, belum ada panggilan daripada waris keluarga untuk berbuat demikian.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi NTRC melalui talian 03-26156576/ 03-26942704 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ.

Mereka juga boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-9080 dan menekan nombor 1 untuk mendengar jawapan daripada soalan-soalan lazim yang ditanya, tekan 2 untuk bercakap dengan koordinator NTRC, tekan 3 untuk waris keluarga mendermakan organ ahli keluarga yang meninggal dunia atau mati otak dan tekan 4 untuk mendaftar menjadi penderma organ.

0 comments: