Keputusan kes Malik Husin buktikan polis alat politik Umno - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | Oct 19, 07 | 11:11:49 am MYT

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan bayaran pampasan RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA, Abdul Malek Husin jelas membuktikan polis mejadi alat kepada nafsu politik Umno/Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar yang mengulas keputusan kes itu menyatakan bahawa, ia sekaligus membenarkan persepsi pembangkang dan awam bahawa sememangnya polis menjadi alat kepada parti pemerintah dalam pelbagai hal untuk menyekat kebebasan bersuara di negara ini.

Katanya ISA digunakan oleh kerajaan melalui pihak berkuasa polis (di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri) semata-mata untuk menjadikan rakyat mangsa percaturan politik mereka.

"Keputusan ini juga membenarkan lagi dakwaan pembangkang dengan peranan polis dalam kes di Batu Buruk bahawa polis sememangnya digunakan untuk memprovokasi perhimpunan-perhimpunan aman pembangkang untuk menjadikannya isu yang boleh diputerbelitkan kepada rakyat,"katanya.

Polis sebenarnya terdedah menjadi alat kepada Umno/BN semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik mereka menyekat pengaruh parti pembangkang, kata Mahfuz kepada Harakahdaily hari ini.

Tubuh Suruhanjaya

Mahfuz juga mahu dengan keputusan itu, satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera bagi menyiasat kes Batu Buruk selain satu keputusan segera dilakukan kerajaan untuk memberi pampasan kepada bekas-bvekas tahanan ISA yang pernah dizalimi dengan akta itu.

"Kita juga menuntut agar seluruh tahanan ISA yang masih terpenjara di Kem Kamunting dibebaskan segera dan dibayar pampasan tanpa perlu menunggu mereka memfailkan saman kepada kerajaan.Ini perlu bagi memperbaiki semula maruah kerajaan yang tercalar kepada keputusan kes Malek Husin ini,"ujarnya yang juga bekas tahanan ISA.

Dengan keputusan kes ini juga, terbukti bahawa polis sememangnya bias kepada parti pemerintah dan akan melakukan tindakan berdasarkan arahan politik pemerintah, katanya.

Rakyat wajar mencurigai peranan polis yang sebenarnya perlu menjaga keselamatan awam, tetapi sebaliknya menjadi alat memuas nafu politik pemerintah, ujarnya.

Parlimen perlu bahas usul mansuhkan ISA

Selain itu Mahfuz juga mendesak Parlimen yang akan bersidang pada Isnin ini (22 Oktober 2007) mengusulkan satu usul untuk memansuhkan penggunaan ISA setelah kes ini membuktikan ISA boileh dipergunakan untuk tujuan jahat dan politik.

"Kita mahu Speaker Parlimen mengarahkan badan eksekutif (Jemaah Menteri) membawa usul tergempar untuk dibincangkan di Dewan Rakyat agar memansuhkan penggunaan ISA.Ia perlu untuk memulihkan imej kerajaan,"ujarnya lagi.

Justeru beliau sekali lagi mendesak agar semua tahanan ISA dibebaskan dan diberi pampasan dan kerajaan perlu memansuhkan akta 'draconian' ini yang mencengkam hak rakyat.

Malek menang RM2.5 juta

Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan agar bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Malek Hussin dibayar ganti rugi sebanyak RM2.5 juta atas penderaan serta penahanan secara salah selama 57 hari kira-kira sembilan tahun lalu.

Keputusan tersebut menjadikan sebagai bekas tahanan ISA pertama yang berjaya di dalam samannya terhadap polis dan kerajaan.

Hakim Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus memerintahkan kerajaan membayar RM1 juta kepada Malek bagi ganti rugi am kerana penahanan secara salah, gantirugi am bagi kecederaan dan perubatan sebanyak RM500,000 serta RM1 juta bagi gantirugi teladan.

Beliau semasa membaca penghakiman setebal 41 muka surat berkata, plaintif tidak pernah dimaklumkan dengan jelas tentang alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, defendan pertama (Asisten Supritendan (ASP) Borhan Daud) juga gagal mengemukakan bukti tentang aktiviti plaintif yang dijadikan alasan penahanan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960.

Dakwaan kosong

"Dakwaan defendan bahawa plaintif terlibat secara langsung di dalam perhimpunan-perhimpunan haram yang diakhiri dengan kacau bilau hanya dakwaan kosong tanpa bukti material.

"Cara soal siasat jelas untuk tujuan politik dan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan negara. Dengan kata lain, penahanan sejak dari awal adalah mala fide (dengan niat jahat),"katanya.

Malek, 51, ditahan di bawah ISA pada malam 25 September 1998 selepas menghadiri satu demonstrasi di Masjid Negara pada tengahari sebelumnya.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi Malaysians for Free and Fair Elections (MAFREL) ditahan sebelum dibebaskan pada 21 November 1998.

Tumbuk, minum air kencing dan didera secara seksual

Pada Mac 1999, Abd. Malek memfailkan saman menuntut ganti rugi RM30 juta dengan menamakan ASP Borhan dari Cawangan Khas sebagai defendan pertama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor serta kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dan ketiga.

Di dalam saman itu, beliau mendakwa telah ditumbuk dan disepak termasuk oleh Rahim sehingga tidak sedarkan diri semasa di dalam tahanan selain dipaksa minum air kencing serta didera secara seksual di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL).

Berhubung dakwaan penderaan di dalam tahanan, kata Hishamudin, plaintif langsung tidak gentar semasa di kandang saksi dan memberi keterangan secara konsisten sebagaimana laporan polis dan dokumen lampiran.

Katanya, keterangan itu disokong oleh laporan pemeriksaan perubatan oleh Dr. P. Vasantha bahawa plaintif mengalami kecederaan seperti lebam dan bengkak di beberapa bahagian badan seperti pergelangan tangan, betis, peha dan kaki.

Beliau turut memberi enam lagi alasan termasuk kegagalan polis untuk memasukkan plaintif ke dalam lokap dari pukul 1.30 pagi sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada kira-kira pukul 4 pagi.

Begitu juga keterangan tentang kehadiran Rahim di IPKKL antara pukul 12 malam dan 3 pagi untuk bermesyuarat tanpa kehadiran Ketua Polis KL tidak dapat diterimanya.

Di dalam penghakimannya, Hishamudin turut mempersoalkan tindakan pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang mengambil masa sembilan bulan untuk menolak laporan polis plaintif tentang penderaan yang dialaminya selain plaintif tidak didakwa kerana membuat aduan palsu.

Menipu semata-mata

"Ketiadaan penjelasan tentang jarak dua setengah jam, percanggahan keterangan defendan pertama dan saksi-saksi lain, kegagalan meletak plaintif di dalam lokap membuktikan kemungkinan plaintif telah didera.

"Saya kesal untuk menegaskan bahawa saya juga membuat membuat kesimpulan, penyiasatan yang dijalankan oleh SAC Hadi Ho berhubung laporan polis oleh plaintif tidak ada apa-apa melainkan mere sham (penipuan semata-mata)"katanya.

Semasa membacakan keputusan berhubung ganti rugi teladan, Hishamudin turut membuat kenyataan tegas berhubung tindakan Rahim dalam mengendalikan kes Malek.

"Kelakuan yang keji oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor amat memalukan dan mengaibkan. Beliau telah menunjukkan contoh yang buruk kepada ribuan anggota dan pegawai di bawahnya.

"Gantirugi teladan penting untuk menunjukkan kebencian mahkamah yang amat sangat terhadap penyalahgunaan kuasa oleh polis dan penyalahgunaan ISA,"tegas beliau.

Malek diwakili peguam R. Sivarasa dan M. Moganambal manakala semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Iznan Ishak.

Malek semasa ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.

Katanya, mahkamah akhirnya telah menghukum kerajaan atas penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak polis

"Ini bukan soal wang tetapi soal maruah atas penderitaan dan penderaan yang saya dialami semasa dalam tahanan.

Semak dan mansuhkan ISA

"Sudah tiba masanya untuk kerajaan menyemak dan memansuhkan ISA,"katanya.

Bagaimana pun, kata Malek, penghakiman bukan sekadar ganti rugi, tetapi juga membawa pegawai polis yang terlibat ke muka pengadilan sebagai pengajaran.

"Ia sangat traumatik. Tidak cukup sekadar ganti rugi, mereka yang mendera saya sekarang terlepas begitu sahaja, malah ada yang mendapat kenaikan pangkat,"katanya lagi.

Malek yang berkot hitam hadir ditemani isteri, Faridah Ishak, 43, dan dua dari empat anaknya, Sajdah Zahra, 16, dan Nurul Zahra, 11.

Turut memenuhi galeri awam mahkamah ialah rakan-rakan dan para penyokong beliau termasuk Pengerusi Gerakan Memansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, wakil dari Suaram, Yap Swee Seng dan bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor.

0 comments: