Jabatan Laut perlu kuasa sita bot, feri

MERSING: Jabatan Laut dicadang memiliki kuasa untuk menyita feri atau bot pelancong yang tidak mempunyai permit mengangkut penumpang bagi mengelak kejadian yang berlaku pada penumpang feri Seagull Express 2, Sabtu lalu berulang pada masa depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata ketika ini, jabatan berkenaan tiada kuasa untuk berbuat demikian dan hanya diberi kuasa untuk mendenda pemilik feri atau bot pelancong yang beroperasi tanpa permit ke pulau termasuk Pulau Tioman.

"Tindakan pengusaha feri yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan ramai pelancong menjadi mangsa kerana menggunakan perkhidmatan feri yang tidak selamat untuk ke pulau peranginan di Johor termasuk Pulau Tioman," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa yang terbabit dalam kebakaran feri di perairan Pulau Tioman, tengah hari Sabtu lalu di Rumah Mayat Hospital Mersing, di sini petang semalam.

Setakat ini, enam terbunuh dan seorang lagi masih hilang dikhuatiri lemas manakala empat cedera parah.

Jamaludin yang juga Ahli Parlimen Rompin berkata, beliau akan meminta Kementerian Pengangkutan supaya mengkaji cadangan itu dengan secepat mungkin bagi mengelak perkara sama berulang.

Selain itu, katanya, kakitangan Jabatan Laut yang bertugas juga perlu ditambah dari semasa ke semasa bagi mengendalikan keselamatan pelancong di situ.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu juga meminta pihak berkenaan supaya menaik taraf prasarana Jeti Sungai Mersing dengan segera bagi memberikan kemudahan lebih baik kepada pelancong yang menggunakan perkhidmatan feri di situ.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman untuk menaik taraf jeti itu dan beliau bersetuju dengan cadangan berkenaan termasuk tindakan menyita feri dan bot pelancong yang tidak mempunyai permit daripada Jabatan Laut," katanya.

0 comments: