Minda Pengarang: Penyokong parti mesti patuhi undang-undang, elak provokasi

Minda Pengarang: Penyokong parti mesti patuhi undang-undang, elak provokasi

SEJAK kebelakangan ini, perhimpunan haram dan suasana sepanjang mana-mana pilihan raya kecil, amat membimbangkan dari segi keselamatan awam dan kesejahteraan hidup rakyat.

Meskipun pilihan raya kecil adalah salah satu amalan yang ditentukan dalam sistem demokrasi berparlimen, tetapi sikap mereka yang terbabit dalam sistem itu, amat mendukacitakan. Bagaimanapun, perhimpunan haram, adalah dilarang melainkan penganjurnya mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Atas sebab-sebab keselamatan juga, ada kalanya perhimpunan seperti itu tidak digalakkan. Apa juga bentuk amalan bagi memenuhi sistem demokrasi, ia seharusnya dijalankan dengan aman. Ini bermakna, undang-undang mestilah sentiasa dipatuhi.

Hari ini adalah hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang. Sekali lagi, langkah-langkah keselamatan terpaksa diketatkan untuk mengawal keselamatan. Semua ini adalah pengajaran daripada beberapa pilihan kecil sebelum ini yang berpotensi mencetuskan ketegangan. Apabila dua pihak bertembung, pelbagai kata nista dilemparkan dan ia boleh menguji kesabaran seterusnya mencetuskan perbalahan. Sesuatu pilihan raya bukanlah pesta rakyat atau gelanggang untuk menunjukkan kekuatan. Ia adalah satu peraturan yang ditetapkan untuk menegakkan keadilan. Tetapi, jika ia dicemari dengan tingkah laku tidak beradab oleh mana-mana pihak, maka sukarlah keadilan ditegakkan.

Sebagai rakyat yang menyanjung tinggi kepada keamanan, kita berharap penamaan calon di Permatang Pasir ini berjalan lancar. Kehadiran ramai anggota polis adalah untuk mengawal keadaan ibarat menyediakan payung sebelum hujan.

Kita tidak mahu kejadian tidak diingini seperti ketika pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh Ogos tahun lalu, berulang. Ketika itu, penyokong parti pembangkang bertindak agresif di beberapa pusat pengundian. Kita juga tidak mahu apa yang berlaku ketika pilihan raya kecil DUN Manek Urai di Kelantan baru-baru ini, turut berjangkit di Permatang Pasir. Pilihan raya kecil itu dicemari beberapa insiden pada hari mengundi walaupun sepanjang tempoh seminggu berkempen sebelum hari mengundi, ramai menyifatkannya sebagai antara pilihan raya paling aman dan bersih. Setiap pemimpin parti politik perlu mengawal tingkah laku penyokong masing-masing serta mengelak mengeluarkan ungkapan berbentuk provokasi melampau. Patuhi semua syarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). SPR juga perlu memantau aktiviti parti politik sepanjang kempen pilihan raya.

0 comments: