Tapak Ramsar habitat flora, fauna

Tapak Ramsar habitat flora, fauna


Salah satu pemandangan di tapak Ramsar yang terletak di Hutan Simpan Sungai Pulai, Johor.


JOHOR BAHRU 16 Ogos – Nama hutan paya bakau tiba-tiba sahaja menjadi popular selepas serangan ombak tsunami pada Disember 2004.

Ini kerana hutan paya bakau dianggap cara terbaik untuk berfungsi sebagai penahan ombak apabila mampu menyerap tenaga yang dihasilkan daripada hempasan gelombang besar itu.

Hutan payau bakau lazimnya wujud di kawasan berlumpur dan air masin iaitu sempadan antara laut dan daratan. Ia dapat hidup subur di kawasan tropika dan subtropika.

Apa yang menarik, hutan itu adalah satu ekosistem yang sangat unik terutamanya jika dilihat pada flora dan fauna serta kepentingannya kepada kehidupan manusia setiap hari.

Johor dianggap negeri yang bertuah apabila memiliki hutan paya bakau kedua terbesar di Semenanjung dengan jumlah keluasan 18,740 hektar.

Kawasan hutan paya bakau terbesar di negeri ini ialah Hutan Simpan Sungai Pulai yang merupakan hutan paya bakau pertama diwartakan kerajaan negeri pada 1923.

Hutan tersebut diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor untuk mengawal pengeluaran hutan, terutamanya bagi industri kayu arang.

Pada 31 Januari 2003, Hutan Simpan Sungai Pulai telah disenaraikan sebagai tapak Ramsar dengan keluasan 9,126 hektar. Pada tarikh sama, Tanjung Piai dan Pulau Kukup turut diiktiraf sebagai Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa.

Ramsar bermaksud senarai tanah lembap yang dipersetujui melalui Konvensyen Tanah Lembap yang diadakan di Ramsar, Iran pada tahun 1971. Terdapat seramai 147 ahli konvensyen dengan 1,524 tapak tanah lembap yang berjumlah 129.2 juta hektar dalam senarai Ramsar.

Malaysia kini mempunyai enam tapak Ramsar. Tiga yang lain ialah Tasik Bera, Pahang yang disenaraikan pada 1994, Tanah Lembap Kuching, Sarawak (2005) dan Tanah Lembap Hilir Kinabatangan-Segama, Sabah (2008).

Sejak 2002, sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan kajian di hutan itu hingga berjaya menghasilkan sebuah buku bertajuk Bio-Diversity Ramsar Site Sungai Pulai.

0 comments: