Dua jam menunggu air laut surut – Penyelidik

Dua jam menunggu air laut surut – Penyelidik


Prof. Dr. Maimon Abdullah


JOHOR BAHRU 16 Ogos – Pengalaman berada di Tapak Ramsar Hutan Simpan Sungai Pulai tidak ternilai harganya bagi sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka mengakui keunikan hutan paya bakau itu melambangkan keindahan semula jadi negara yang masih terpelihara dan menghargai ciptaan Tuhan yang menjadi warisan khazanah negara.

Lebih mengagumkan, status sebagai golongan wanita di kalangan kumpulan itu langsung tidak membataskan pergerakan mereka untuk keluar masuk ke tapak Ramsar itu dalam usaha mengambil sampel data kajian.

Empat daripada 30 penyelidik itu, Prof. Dr. Maimon Abdullah, Dr. Wan Juliana Wan Ahmad, Prof. Madya Dr. Khatijah Hussin dan Dr. Norela Sulaiman menyifatkan kesukaran memasuki Tapak Ramsar Hutan Simpan Sungai Pulai sejauh lima kilometer (km) ke dalam menjadi antara cabaran utama ketika membuat kajian sejak 2002.

Namun bagi Maimon, keseronokan untuk melakukan kajian dengan perasaan berkobar-kobar menyebabkan semua cabaran dapat ditempuh dengan lancar.

Biarpun terpaksa berdepan dengan binatang berbisa seperti ular, langkah memelihara dan memulihara hutan simpan itu menjadi keutamaan agar komuniti dan ekosistemnya kekal terpelihara seiring pembangunan yang dijalankan, katanya.

‘‘Amat rugi jika hutan paya bakau ini dibiarkan begitu saja, namun jika dieksploitasi berlebihan, ia akan menyebabkan hutan ini mengalami kemusnahan.

‘‘Justeru, tindakan bijak harus diambil agar kewujudannya berkekalan dan bermanfaat. Pengalaman ini mengajar bahawa jika aktiviti eksploitasi diurus secara sempurna, ia dapat menghasilkan pulangan tinggi tanpa mengganggu kestabilan hutan ini sehingga mampu dikekalkan sebagai kawasan perlindungan dan tapak pembenihan bagi hidupan laut,’’ katanya.

Maimon merupakan pakar invetebrata iaitu haiwan yang tidak bertulang, Wan Juliana (pakar ekologi tumbuhan), Khatijah (pakar anatomi tumbuhan) dan Norela (pakar rama-rama dan kupu-kupu).

Sementara itu, Wan Juliana menyifatkan kejadian mereka terkandas selama dua jam sehingga terpaksa menunggu di kawasan hutan paya bakau itu merupakan pengalaman yang sukar dilupakannya.

Kejadian itu berlaku semasa beliau dan Norhayati serta empat rakan lain turun ke laut untuk membuat pemerhatian dan memasang perangkap mamalia kecil seperti tikus di sekitar kawasan tersebut.

0 comments: