Sandiwara politik perbalahan DAP, Pas

Sandiwara politik perbalahan DAP, Pas

Oleh Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

PKR pula seperti biasa terus bersikap oportunis enggan memihak

PERTELINGKAHAN Pas-DAP satu sandiwara menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir? Jika tekaan ini benar, permainan politik Pas amat bijak dan bagaikan 'sesumpah' - boleh bertukar pendirian mengikut krisis semasa.

Mungkin ada benarnya kerana Permatang Pasir adalah kubu kuat Pas dan kematian wakilnya, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, akan mencabar kemampuan parti itu untuk menghadapi pilihan raya kecil ini dengan lebih berhati-hati terutama selepas sekadar menang tipis 65 undi di Manek Urai.

Walau apapun permainan Pas bagi menarik simpati dan sokongan rakyat terutama pengundi Permatang Pasir, pertelingkahan secara terbuka dengan DAP dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) di Selangor, hanya mendedahkan bibit perpecahan yang memang sudah dijangka.

Apa yang pasti, kemelut pentadbiran yang sedang melanda kerajaan PR Selangor itu sudah pasti memberi tamparan kepada rakyat yang inginkan perubahan pemerintahan kerana berasakan pembangkang boleh melaksanakan tugas sebagai kerajaan dengan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Kerajaan PR Selangor baru berusia setahun empat bulan, namun barisan kepemimpinannya sudah menyerlahkan 'warna' sebenar - ramai yang tidak dapat lari daripada menggunakan kuasa yang dimandatkan rakyat kepada mereka untuk kepentingan parti atau peribadi.

Rakyat yang mengundi PR sehingga membolehkan pakatan itu membentuk kerajaan di lima negeri sudah pasti kecewa kerana 'suara rakyat' yang dilaungkan pemimpin pembangkang akhirnya memakan diri, terutama selepas mereka mempunyai kuasa untuk memerintah.

Pertikaian antara Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali, dengan Exco dari DAP, Ronnie Liu, mengenai isu rampasan arak, amat menarik perhatian kerana ia membuka pekung mengenai pendirian dan semangat setia kawan antara kedua-dua parti yang berlainan ideologi ini.

Rentetan daripada isu terbabit, Pas Selangor memulakan kempen bagi mendesak kerajaan PR memecat Liu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, manakala seorang lagi pemimpin DAP, Tony Pua dalam membela rakan separtinya, menempelak Dr Hassan supaya jangan berlagak seperti Menteri Besar.

Ketua Penerangan Pas, Roslan Shahir Mohd Shahir, dalam menyokong pendirian ketuanya supaya Liu dipecat menegaskan: "Tindakan beliau (Liu) sebelum ini juga banyak mengguris perasaan umat Islam terutama di negeri ini. Maka, kita akan laksanakan kempen ini... untuk menyatakan pendirian kita."

Tony Pua pula dalam kenyataan akhbarnya juga langsung tak berlapik: "Exco Selangor, Dr Hassan Ali, patut berhenti daripada berlagak macam dia Menteri Besar Umno dan mula berperangai seperti dia adalah sebahagian Pakatan Rakyat yang mendukung undang-undang."

Di Pulau Pinang, seorang lagi Ahli Parlimen DAP, Jeff Ooi, dikritik rakan dalam pakatan kerana melabel seorang Ahli Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, Mohd Razali Abdullah, yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai ekstremis Islam.

Tindakan Jeff Ooi melabel seorang ahli parti gabungan PR itu dikritik keras Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin, dari Pas dan menegaskan kenyataan dangkal dan sombong Ahli Parlimen Jelutong itu menyerlahkan sikap dia sendiri sebagai seorang ekstremis dan 'cauvinis'.

Sebelum ini, di Kedah Adun DAP mengugut untuk keluar daripada kerajaan PR yang diketuai Pas di negeri itu, semata-mata kerana isu kandang babi.

Baru setahun empat bulan, kerajaan negeri yang dikuasai PR (kecuali kerajaan Pas Kelantan) sudah mula cacamerba. Pas dan DAP ternyata tidak sehaluan. PKR pula terus bersikap oportunis, enggan memihak.

Rakyat yang mengundi pembangkang pada pilihan raya umum lalu sudah pasti terpaku dengan pelbagai kerenah luar biasa parti yang diharap dapat menjadi pemerintah lebih baik daripada BN yang sudah bertakhta lebih 50 tahun tetapi jarang sekali mengalami pertelingkahan sesama parti gabungan.

Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang sudah pasti semakin insaf betapa kerajaan PR yang mendabik dada akan bersikap telus, ikhlas dan bekerja untuk rakyat, sebenarnya lebih kepada 'cakap tak serupa bikin'.

Sudah setahun empat bulan kerajaan PR di negeri-negeri terbabit, persoalannya apakah sumbangan, pembangunan dan kelebihan yang dicapai gagasan yang mendakwa akan berjuang untuk rakyat.

Di Selangor, pelbagai dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dilemparkan kepada ahli Exconya sehingga meleret kepada kematian Teoh Beng Hock di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Belumpun habis kematian Teoh ditangisi, pemimpin tertinggi Pas dan DAP pula bertelagah kerana tidak bersetuju dengan operasi cegah maksiat yang dilakukan pihak berkuasa tempatan, selepas menerima banyak aduan rakyat Selangor beragama Islam yang semakin bimbang dengan kelahiran begitu banyak premis hiburan tanpa permit di negeri itu sejak setahun lalu.

Di Pulau Pinang, belumpun selesai kemelut penduduk India di Kampung Buah Pala, Jeff Ooi pula menyerlahkan sikap dan perasaan sebenar kerajaan DAP pemimpin parti gabungannya yang beragama Islam.

Jeff Ooi ternyata tersilap langkah apabila mengkritik teruk Majlis Kerajaan Tempatan Pulau Pinang kerana mengambil Mohd Razali yang dilabel sebagai ekstremis Islam, hanya kerana ahli PKR itu yang juga ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang akan menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020,

Tidak tahu sama ada Ooi menganggap JIM adalah sama taraf dengan Jemaah Islamiah (JI) yang dilabel Barat sebagai kumpulan pengganas, tetapi seperti kata Zulkifli dalam blognya - setiap muslim yang beriman, sama ada di Malaysia atau di mana juga di dunia ini, sudah pasti mempunyai cita-cita untuk melihat undang-undang syariah dilaksanakan tetapi hanya cara untuk mencapainya saja yang berbeza.

Ronnie Liu, Jeff Ooi, serta semua ahli DAP sedar bahawa matlamat akhir Pas dalam politik ialah untuk membentuk sebuah kerajaan Islam. Gabungan Pas dan DAP di bawah lambang PR adalah strategi politik untuk menang pilihan raya.

Selepas setahun empat bulan, rakyat terutama mereka yang percaya kedua-dua parti ini boleh duduk bekerjasama sebagai sebuah kerajaan diharap menyedari hakikat yang bakal berlaku sekiranya Pas dan DAP ini diberi peluang sekali lagi.

Akhirnya, rakyat juga akan membuat keputusan sama ada pertelingkahan Pas dan DAP ini adalah sandiwara untuk pembangkang menang pilihan raya kecil Permatang Pasir tidak lama lagi atau ia memang perasaan sebenar kedua-dua parti yang pendirian dan ideologi mereka memang bagai langit dengan bumi.

0 comments: