Sosiobudaya dalam filem

Sosiobudaya dalam filem

Oleh Ku Seman Ku Hussain

BANYAK pengkaji dan sarjana filem percaya bahawa karya filem adalah refleksi daripada proses sosialisasi yang berlaku dalam masyarakat. Filem menjadi cermin untuk melihat wajah dan jiwa masyarakat yang menaungi filem berkenaan.

Maka walaupun filem dianggap sebuah karya fiksyen tetapi ia terbina daripada pemikiran yang dibentuk oleh peristiwa dan pergulatan sosial di sekitarnya.

Tetapi filem bukanlah mengangkat realiti dan menampalkan ke filem. Tidak ada realiti dalam filem melainkan realiti yang ditafsirkan. Kerana itu, hal-hal dalam masyarakat tidak boleh diangkat secara realistik tetapi dipersembahkan sebagai karya seni yang teradun oleh pengaruh daripada sosialisasi. Bagaimanapun dalam konteks filem tempatan, cerminan sosial yang dicari dalam filem hampir tiada.

Sebahagian besar filem tempatan mengangkat realiti sebagai realiti, bukan sebagai sebuah tafsiran yang menzahirkan filem sebagai sebuah pemikiran. Walaupun ada kecenderungan memperlihatkan kepekaan karyawan terhadap isu sosial seperti rempit dan masalah moral tetapi tidak kelihatan sebagai pengisian sosial.

Maka kita boleh bertanya untuk apa menonton filem kalau yang dipaparkan itu sebuah realiti yang boleh dilihat di luar filem? Kalau begitu, lebih baik melihat pergulatan sosial di depan mata daripada bersusah payah menonton filem. Sosialisasi yang memberi pengaruh kepada karyawan bukanlah mendorong mereka mengangkat secara total hal yang berlaku di luar filem.

Filem sebagai sebuah tafsiran realiti tidak boleh dipinggirkan apabila mahu membuat filem yang berkaitan sosiobudaya. Karyawan filem mesti mempunyai sudut pandangan terhadap permasalahan sosial kemudian membuat justifikasi. Filem adalah sebuah pemikiran yang bertolak daripada permasalahan sosial yang berlaku di luar filem.

Kalau kita melihat perkembangan filemHollywood pada era Perang Vietnam, kita akan dapati banyak merupakan refleksi dan sudut pandangan karyawan filem terhadap Perang Vietnam. Perang itu berlaku hasil campur tangan Amerika Syarikat (AS) dan generasi muda dekad 70-an secara umumnya menolak campur tangan AS. Maka lahirlah filem bernada protes dan marah kepada pemerintah.

Begitu juga dengan filem-filem yang dihasilkan oleh generasi kelima karyawan filem China yang ditandai oleh Zhang Yimou, misalnya memperlihatkan pemikiran generasi yang menolak komunisme di China. Walaupun filem-filem ini kelihatan menentang arus perdana China tetapi itulah cermin untuk melihat sosialisasi yang diangkat dengan baik dalam karya filem.

Di negara ini, kita pasti akan tercari-cari pengaruh sosialisasi dan politik yang menjadi salah satu pengisian dalam filem tempatan. Namun hanya ada beberapa filem yang memperlihatkan pengaruh sosial dalam pengisian tetapi sebahagian besar adalah sebuah fantasi sosial yang diambil daripada budaya filem Hollywood atau Hong Kong.

Kalau Rahim Razali dalam Abang memperlihatkan permulaan Melayu dalam sektor korporat, Nasir Jani tentang gejolak dunia anak muda dalam Kembara Seniman Jalanan, Hishamuddin Rais tentang kuasa anak muda dalam Dari Jemapoh Ke Manchester atau U-Wei Haji Saari tentang politik Melayu dalam Jogho, di mana lagi filem yang diberi pengisian sosial dan budaya? Apakah filem kita hanya menyampaikan mesej buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat saja?

0 comments: