Kecemerlangan UKM di ambang 40 tahun penubuhan

Kecemerlangan UKM di ambang 40 tahun penubuhan

Oleh Abdul Razak Hussin
rencanabh@bharian.com.my

Sempena Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia Ke-37

Fasa transformasi gapai universiti terkemuka dunia menjelang 2018

SABTU lalu, tradisi lambang kegemilangan universiti diteruskan dengan berlangsungnya Majlis Konvokesyen Ke-37 dan majlis ini berterusan sehingga Rabu ini.

Pada konvokesyen kali ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganugerahkan 207 ijazah doktor falsafah, 174 ijazah sarjana kepakaran bidang perubatan dan pergigian, 1,357 ijazah sarjana, 5,607 ijazah sarjana muda, 251 diploma siswazah siswazah, 78 diploma dan sijil.

Sekali lagi, seperti tahun lalu, UKM menghasilkan peningkatan berterusan penerima doktor falsafah yang teramai sejajar dengan peranan UKM sebagai universiti penyelidikan.

Pada majlis konvokesyen ini juga, UKM mengeluarkan graduan pertama daripada dua program baru, iaitu lapan graduan Sarjana Kepakaran Perubatan Kecemasan dan 13 graduan Sarjana Kesihatan Masyarakat (program setahun).

Dengan konvokesyen tahun ini, jumlah graduan UKM yang dilahirkan sejak penubuhannya 39 tahun lalu, sudah mencecah 131,593 orang. Ini adalah satu angka besar yang menjadi aset kepada pembangunan negara yang berterusan.

UKM lahir 39 tahun lalu atas perjuangan rakyat untuk menubuhkan sebuah universiti sebagai kemuncak kepada pelaksanaan dasar dan sistem pendidikan kebangsaan. Kini, UKM berada di ambang 40 tahun penubuhannya. Dalam tempoh pendewasaan ini, UKM melaksanakan transformasi untuk melangkah sederap dengan universiti terkemuka dunia menjelang 2018.

UKM bukan hanya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi bagi rakyat Malaysia, malah mampu merentasi benua dan menjadi pilihan kepada pelajar dari luar negara. Kini UKM menjadi labuhan ilmu kepada 2,587 pelajar antarabangsa dari 55 negara.

Kekuatan UKM menggerakkan fasa transformasi dalam ekosistem ilmu UKM didokong oleh pengukuhan lapan bidang tujahan atau 'nic'. Sebagai ikon identiti kebangsaan, UKM tidak terkecuali berada dalam arus perdana menyahut gagasan 1Malaysia dengan mengambil tanggungjawab memantapkan jati diri kebangsaan, pengukuhan negara bangsa, kepelbagaian budaya dan globalisasi yang diangkat sebagai bidang tujahan utama dalam memacu fasa transformasi UKM.

Dalam memperkasakan UKM sebagai universiti penyelidikan, serlahan bidang tujahan dan penghasilan pelajar pasca-siswazah menjadi pengukur kejayaan. Peningkatan prestasi dalam pengukur lain seperti menghasil inovasi bernilai komersial, peningkatan jumlah penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi, meningkatkan hubungan strategik pada peringkat antarabangsa, pengiktirafan ciptaan warga UKM, terus dikembangkan.

Majlis konvokesyen ini, menyaksikan UKM berjaya menghasilkan graduan Fakulti Farmasi yang baru setahun ditubuhkan sebagai kesinambungan daripada jabatan asas di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu sebelumnya. Penubuhan fakulti ini selaras dengan inisiatif memenuhi hasrat kerajaan yang menetapkan nisbah seorang ahli farmasi bagi setiap 200 penduduk dan sasaran Kementerian Kesihatan, iaitu 1,130 ahli farmasi setahun menjelang 2020.

Fakulti Undang-Undang turut sama meningkatkan citra universiti pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Warga akademik Fakulti Undang-Undang memberi sumbangan dalam membantu kerajaan menggubal polisi dan perundangan negara dalam pelbagai bidang seperti perundangan pengguna, keluarga, wanita, urus tadbir korporat, pendidikan tinggi, harta intelek, isu perlembagaan dan sebagainya.

Sebagai satu institut terawal di UKM, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) menjadi ikon kebangsaan dan antarabangsa dalam memperjuangkan kesusasteraan, kebudayaan dan ketamadunan Melayu. ATMA berjaya menarik pelajar siswazah dari pelbagai negara Asia Tenggara, Asia Barat, New Zealand dan Amerika Syarikat untuk mendalami dan menyelidiki keunikan tamadun Melayu.

Sebagai antara satu pusat kecemerlangan penyelidikan, Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) mengetuai banyak projek penyelidikan pada peringkat kebangsaan. Satu projek yang menjadi kebanggaan dan masih berjalan adalah projek 'The Malaysian Cohort', iaitu projek nasional yang dibiayai Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengumpul biospesimen daripada 100,000 penduduk Malaysia. UMBI turut menawarkan program Sarjana Perubatan Molekul dan program Doktor Falsafah Perubatan Molekul.

Fakulti Perubatan menjadi mercu tanda negara kepada kejayaan melahirkan doktor di kalangan anak watan yang pakar dalam pelbagai bidang kesihatan. UKM juga menjadi perintis utama di Malaysia dan Asean dengan menawarkan 'fellowship' (biasiswa) selama setahun kepada pakar perubatan dari luar negara untuk menjalani latihan di Pusat Perubatan UKM.

Usaha mengantarabangsakan latihan kepakaran ini adalah tanggungjawab sosial UKM dan pengiktirafan terhadap kepakaran ahli akademik UKM. Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu diiktiraf sebagai Fakulti Sains Kesihatan yang pertama di Malaysia.

Program Sains Bioperubatan, berjaya mendapat pengiktirafan dan akreditasi dari Institut of Biomedical Science (IBMS), United Kingdom, iaitu sebuah badan dunia dalam bidang bioperubatan.

Beberapa kejayaan lain turut ditempa, termasuk dalam aspek pendidikan kejuruteraan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP) yang secara aktif melaksanakan proses meningkatkan program pengantarabangsaan pelajar dengan menganjurkan program mobiliti pelajar pada peringkat antarabangsa, proses pembelajaran di Fakulti Pendidikan yang berjaya mendedahkan pelajar dengan pengalaman pembelajaran yang bukan saja membabitkan pembelajaran dalam persekitaran Malaysia, malah juga di luar negara.

Malah, lulusan Pengajian Islam memberi sumbangan kepada pembangunan dan kemajuan pendidikan Islam dan berkhidmat sebagai pendidik serta pakar rujuk pelbagai sektor di dalam dan luar negara. Sumbangan mereka amat bermakna dalam membantu usaha kerajaan memberi kefahaman agama dan penghayatan nilai murni menerusi pendidikan dan manhaj ketamadunan yang sesuai dengan sekitaran Malaysia.

Dalam rangka meletakkan UKM di pentas pendidikan antarabangsa, UKM turut menggubal dan melaksanakan program kerjasama mobiliti pelajar membabitkan kerjasama UKM dengan universiti terkemuka dunia dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan Kemboja. Pelajar UKM dan pelajar antarabangsa dalam program ini bersama-sama mengambil kursus mengenai masyarakat orang asli dan kelestarian warisan hutan tropika membabitkan dua minggu perkuliahan dan dua minggu kerja lapangan.

Ini bukan saja satu pendekatan menempatkan UKM dalam pendidikan tinggi peringkat antarabangsa, malah lebih utama adalah untuk membuka spektrum pemikiran pelajar terhadap kepentingan meraikan kepelbagaian budaya dan menyesuaikan diri dengan keperluan silang budaya tanpa menghakis jati diri sebagai sebuah negara bangsa yang bertamadun tinggi.

Sekadar memaparkan beberapa pencapaian yang akan terus dibugar, UKM kini memasuki fasa selanjutnya dalam Pelan Transformasi yang direncanakan. Dengan meletakkan sasaran jangka pendek menjadi universiti terbaik sederap universiti terkemuka dunia pada 2018, menuntut iltizam lebih besar dan keutuhan semangat bagi seluruh warganya untuk berkongsi ilham dan harapan bagi mencipta masa depan yang gemilang.

Bukan sekadar untuk UKM, malah untuk negara membanggakannya sebagai sebuah universiti kebangsaan, yang lahir daripada aspirasi dan jerih keringat rakyat jelata hasil gagasan penubuhannya 106 tahun yang lalu.

Penulis ialah Ketua Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat, UKM

0 comments: