Misi BN tawan Manek Urai tuntut pengorbanan

Misi BN tawan Manek Urai tuntut pengorbanan

Oleh Ismail Mat
bhrencana@bharian.com.my


PETUGAS Puteri, Salfarina Samsi (kiri) bersama Norehan Abdul Ghani menyemak senarai nama pengundi kawasan Manek Urai di Pusat Operasi Barisan Nasional DUN Manek Urai.

Sikap cepat kecil hati ahli kerana isu kecil perlu diketepi untuk raih keyakinan rakyat

SEMALAM bermulalah sekali lagi 'perang' pilihan raya kecil di negara kita dan kali ini membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Kebetulan pilihan raya kecil itu diadakan ketika isu kerajaan perpaduan ditimbulkan, penarikan DAP daripada kerajaan negeri Kedah yang diterajui Pakatan Rakyat dan pelbagai isu lain. Tetapi semua isu itu lebih berbentuk nasional dan ia mungkin tidak perlu 'menjengok' Manek Urai.

BN diwakili Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, manakala Pas meletakkan Bendahari kawasan Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, sebagai taruhan untuk mempertahankan kerusi terbabit.

Latar belakang pendidikan kedua-duanya jauh berbeza. Tuan Aziz menjadi lambang kejayaan dunia pendidikan negara membasmi kemiskinan penduduk selepas merdeka apabila berjaya melanjutkan pelajaran sehingga merangkul Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebelum kembali ke Kuala Krai untuk menabur jasa.

Mohd Fauzi pula membuktikan, walaupun hanya berbekalkan pendidikan yang tidak seberapa, beliau mampu mengubah status kehidupannya daripada seorang penjaja ikan kepada pemborong yang berjaya, kini bercita-cita menyambung legasi Allahyarham Ismail Yaakub.

Ada pihak memberi gambaran yang Mohd Fauzi sebenarnya bukan 'orang pilihan' Ismail ketika hayatnya, jadi bukanlah sesuatu mengejutkan sebaik diumumkan sebagai calon Pas, antara keluarga penduduk terawal diziarahi Mohd Fauzi adalah balu Ismail yang menetap di Manek Urai Lama.

Hakikatnya, kedua-dua calon mempunyai matlamat sama, iaitu mahu membawa perubahan dalam hidup masyarakat Manek Urai mengikut acuan parti yang diwakili mereka.

Walaupun kempen pilihan raya kecil Manek Urai bermula semalam, sebenarnya saingan antara BN dan Pas untuk memenangi kawasan terbabit sudah bermula sejak 22 Mei lalu, sebaik kematian Ismail ekoran komplikasi jantung.

Sejak itu, pelbagai gerak kerja dan usaha mendekati pengundi dijalankan kedua-dua pihak. Namakan apa juga program, agihan bantuan dan sumbangan, sukan atau dikir barat anjuran Umno atau Pas, ia tetap mempunyai matlamat sama, iaitu menarik pengundi.

Pelbagai bahan kempen seperti kain rentang, poster dan bendera sudah dinaikkan, kecuali poster calon yang mula dinaikkan semalam.

Kawasan Manek Urai mempunyai 12,293 pengundi dengan BN dan Pas dikatakan mempunyai keahlian yang seimbang, masing-masing sekitar 4,000 ahli, justeru, menjadikan kira-kira baki pengundi atas pagar bakal menjadi penentu masa depan Manek Urai.

Pada masa sama, dianggarkan lebih 1,000 pengundi terdiri daripada anak tempatan Manek Urai yang kini sedang berada dan mencari rezeki di luar Kelantan.

Melihat kepada sambutan penyokong ketika mengiringi calon ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai 1 semalam, calon Pas mungkin berasa selesa kerana jumlah mereka yang mengiringinya dilihat lebih ramai daripada penyokong BN.

Namun, ramainya penyokong yang hadir ketika perarakan dan ceramah yang diadakan sebenarnya bukan jaminan kepada kemenangan kerana mendengar ceramah yang menampilkan tokoh kontroversi dan yang suka memaki-hamun sambil melemparkan dakwaan dengan bukti separuh masak, ibarat suatu hiburan di Kelantan.

Pas mempunyai pengalaman itu ketika mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Pasir yang juga kubu kuatnya dalam Parlimen Pasir Mas pada Disember 2005.

Justeru, di sebaliknya laungan keyakinan yang sering dihamburkan kepada wakil media, di kalangan pemimpin Pas kini berasa bimbang terhadap kemungkinan tragedi kekalahan mereka di Pengkalan Pasir berulang di Manek Urai.

Walaupun hayat BN di Pengkalan Pasir sekadar bertahan sehingga Mac tahun lalu, sebelum dirampas kembali oleh Pas, kekalahan Pas di DUN terbabit bukti betapa parti itu juga belum tentu selamat di gelanggang sendiri, jika tidak kena dengan cara kempen.

Dalam mengharapkan kemenangan Pengkalan Pasir berulang di Manek Urai, BN perlu menyedari hakikat, mereka sedang berperang di kubu lawan. Justeru, kekuatan kempen dan gerak kerja perlu ditingkatkan ke tahap tertinggi, di samping menunjukkan perpaduan dan kesepakatan sesama sendiri.

Mampukah semua pemimpin Umno dalam bahagian Kuala Krai memastikan tiada lagi amalan cantas mencantas atau 'cah keting' terhadap Tuan Aziz selaku calon BN yang sanggup berkorban dan mengambil risiko apabila melepaskan kerjaya bergaji lumayan demi menguatkan cabaran BN pada pilihan raya kali ini.

Lantaran itu, ingatan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu semua pemimpin BN dan Umno mengutamakan perjuangan parti melebihi kepentingan peribadi sewajarnya menjadi peringatan bahawa perpaduan sesama sendiri adalah kunci kejayaan pada pilihan raya kali ini.

"Faktor calon yang baik tidak memadai jika tidak dibantu kerja keras jentera parti pada semua peringkat untuk memenangi hati pengundi. Harapan (untuk menang) itu ada, tetapi secara ikhlas kita perlu kerja keras. Jurang antara BN dan lawan semakin rapat. Perlu komitmen dan kesungguhan kerja kuat jentera parti," katanya.

Di kalangan ahli dan pemimpin Umno akar umbi, kehadiran jentera kempen dari luar bagi membantu gerakan merayu undi dari rumah ke rumah wajar diterima dengan lapang dada.

Sikap cepat kecil hati atau rasa hati hanya kerana isu kecil tidak wajar dijadikan alasan untuk tidak melakukan gerak kerja sehingga calon harapan parti kehilangan undi biar pun satu undi, kerana Pas pernah memenangi kerusi DUN Kemuning pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan majoriti dua undi saja.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Kelantan

0 comments: