Usah panjangkan 'perang dingin' antara akhbar

Usah panjangkan 'perang dingin' antara akhbar

SUDAH hampir dua minggu berlalu, namun 'perang dingin' antara akhbar arus perdana yang mewakili dua kaum utama di negara ini kelihatan seolah-olah tidak mahu reda. Beberapa artikel yang menyentuh mengenai polemik yang dibincangkan terus menarik perhatian pengamal media untuk mengupasnya daripada pelbagai sudut.

Sebagai seorang saudara baru yang tidak pernah terlepas mengikuti perkembangan yang dilaporkan oleh hampir kesemua akhbar arus perdana di negara ini, saya melihat ada kecenderungan beberapa pihak yang cuba mengeksploitasi perkara yang dibangkitkan.

Isu sekolah Cina dan pengiktirafan sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah Cina yang menjadi antara polemik perbincangan kini tidak lagi menjadi isu pokok.

Sebaliknya pandangan yang diberikan menerusi beberapa artikel yang disiarkan oleh akhbar Cina sudah agak jauh terkeluar daripada landasan.

Apa yang saya dapat perhatikan ketika ini terdapat usaha segelintir pihak yang cuba menjadikan isu ini semakin parah. Mereka ini memberikan reaksi dengan emosi yang keterlaluan dan mencadangkan sesuatu yang boleh menimbulkan rasa kurang senang pihak lain.

Antaranya dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak profesional dan bersifat menyerang akhbar lain yang langsung tidak berkaitan dengan isu utama yang dibincangkan.

Dalam keadaan seperti ini, apa yang disiarkan oleh akhbar tersebut langsung tidak membantu merungkaikan permasalahan yang ada. Sebaliknya turut menyebar sentimen kebencian dan rasa prejudis di kalangan pembaca akhbar mereka.

Adalah menjadi kebimbangan jika isu ini dibiarkan berlarutan, pembaca akan larut dengan sentimen yang dimainkan oleh akhbar berkenaan.

Memandangkan akhbar Cina itu turut mewakili kaum utama di negara ini, maka ia secara tidak langsung telah memperjudikan semangat perpaduan dan keharmonian di kalangan masyarakat menerusi paparan yang tidak bersifat Satu Malaysia.

Bukan rahsia lagi media merupakan ejen hemegoni yang paling berkuasa. Pengaruh yang ada pada media mampu merencana sikap dan pendirian seseorang, lebih-lebih lagi sewaktu menjelang pilihan raya.

Namun dalam memainkan peranan itu, media tidak boleh sekali-kali lari daripada tanggungjawab sosial di sebalik kebebasan bersuara yang dimiliki. Kerana itu juga media perlu bebas daripada memihak atau kelihatan condong kepada mana-mana pihak termasuk individu dan parti politik dalam menjamin kebebasan tersebut.

Tidak seperti di kebanyakan negara lain, orientasi perniagaan media Malaysia bagaimanapun agak berbeza. Amalan media di negara ini terkelompok kepada sekurang-kurangnya tiga kaum utama. Setiap kaum Melayu, Cina dan India mempunyai akhbar dengan bahasa sendiri sebagai suara yang mewakili kaum masing-masing.

Dalam keadaan itu, setiap akhbar tersebut secara tidak langsung pastinya akan mempertahankan identiti kaum masing-masing.

Bagaimanapun, perjuangan sebegini jika tidak disertakan dengan tingkat rasional dan sensitiviti yang tinggi, boleh menjadi ancaman yang besar kepada perpaduan negara.

Dengan keupayaan menyeluruh media mencakupi sehingga ke masyarakat di pedalaman, maka keupayaan penulisan yang berbaur hasutan dan kebencian tidak boleh dipandang ringan.

Inilah yang sebenarnya cuba dielakkan dalam sebarang 'pertembungan pendapat' yang berlaku antara media, termasuk dalam isu antara akhbar ini dengan akhbar Cina.

Memahami dengan jelas isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua akhbar, saya berpendirian ia bukanlah satu polemik yang perlu dipanaskan.

Isu-isu yang dibangkitkan terutamanya mengenai sekolah Cina misalnya, adalah isu lama yang berulang-ulang.

Kita pastinya sangat memahami di mana pendirian akhbar Cina apabila memperkatakan mengenai isu ini. Sama seperti isu pertubuhan Cina dan media Cina, sebarang polemik yang menyentuh mengenai sekolah Cina akan dipertahankan sebagai tiga identiti utama kaum itu.

Justeru, penggiat media pastinya sedia maklum ke mana isu ini akan menjurus jika ia dibincangkan dalam ruang pendapat yang sangat kontra. Kerana itu juga, saya beranggapan adalah tidak wajar perbezaan pendapat antara dua buah akhbar ini terus diperpanjangkan.

Saya percaya, sebarang isu yang melibatkan sentimen perkauman perlu diselesaikan mengikut saluran tertentu yang sesuai.

Akhbar boleh membangkitkan perkara itu tetapi ia perlulah seimbang dalam memastikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini terpelihara.

Mohd. Firdaus Abdullah
Cheras, Kuala Lumpur

0 comments: