Realisme magis Marquez

Realisme magis Marquez

Marquez bukan calang-calang penulis. Keupayaannya menyatukan dunia realiti dan fantasi dalam satu karya realisme dianggap satu magis.


GABRIEL GARCIA MARQUEZ


GABRIEL GARCIA MARQUEZ adalah novelis, cerpenis dan wartawan Colombia yang dipandang sebagai tokoh kebangkitan sastera Amerika Latin.

Dalam satu kenyataan ketika memutuskan kemenangan Marquez sebagai pemenang Anugerah Nobel Sastera pada tahun 1982, Akademi Kesusasteraan Sweden memuji novel-novel dan cerpen-cerpennya. Ia mengabungkan realisme dan fantasi dalam satu dunia khayal yang kaya, merefleksikan kehidupan dan konflik-konflik sebuah benua.

Sebagai seorang aktivis kiri, Marquez selayaknya dipuji oleh akademi itu kerana tegas bertekad dalam politik yang mendokong perjuangan orang miskin dalam menghadapi penindasan dan eksploitasi ekonomi asing.

Karya terbaiknya, Cien anos de soledad (1967) yang diterjemahkan sebagai One Hundred Years of Solitude (1971) menggambarkan kebangkitan dan kejatuhan sebuah kota bernama Macondo.

Majalah Time edisi 8 Jun 1998 menilai Marquez sebagai sasterawan paling berpengaruh di abad ke-20, selain James Joyce, T.S Eliot, Ernest Hemingway dan Frank Kafka. Novel One Hundred Years of Solitude itu memberi kesan kepada pembacanya di seluruh dunia dan mengenalkan realisme magis.


DUA kulit novel yang ditulis oleh Gabrial Garcia Marquez.


Realisme magis adalah istilah yang digunakan untuk maksud percampuran realiti harian dengan imaginasi luar biasa yang diperoleh daripada budaya setempat yang sinonim dengan gaya penulisan Marquez, bahkan ia dianggap sebagai pelopor penting aliran sastera sebegini.

Sejak kejayaannya menulis novel itu, Akademi Kesusasteraan Sweden melaporkan, setiap karya barunya diterima oleh pengkritik dan pembaca sebagai peristiwa penting dunia.

Sejumlah karya lainnya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris adalah No One Writes to the Colonel and Other Stories (1968), Leaf Storm and Other Stories (1972), The Autumn of the Patriach (1976), Innocent Erendira and Other Stories (1978), Evil Hour (1980) dan Chornicle of a Death Foretold (1983).

Novel Innocent Erendira and Other Stories termasuk antara karya Marquez yang banyak mendapat perhatian. Ceritanya berkisar tentang penderitaan seorang gadis, Erendira yang tinggal bersama seorang wanita tua.

Wanita yang dipanggil 'nenek' oleh gadis itu adalah majikannya dan dia seorang yang sangat kejam. Kehidupan gadis itu semakin teruk apabila satu kejadian kebakaran tidak sengaja berlaku dan menyebabkan rumah itu hangus.

Wanita tua itu kemudian memaksa Erendira menjadi pelacur. Di rumah pelacuran, muncul seorang pemuda membebaskan gadis itu. Namun begitu, jalan ceritanya tidak ada pengakhiran cerita yang menggembirakan secara konvesional.

Banyak karya Marquez ditulis pada akhir tahun 1940-an dan awal 1950-an. Pada waktu itu, beliau terpengaruh dengan tulisan James Joyce dan Frank Kafka. Keletihan, dasar Apartheid, keputusan dan kematian merupakan tema utama dalam penulisannya.

Karya Marquez yang muncul setelah mendapat Hadiah Nobel dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris antara lainnya ialah New of Kidnapping.

Novel tersebut diterbitkan oleh penerbit Knopf pada tahun 1997. Novel setebal 291 halaman itu ditulis berdasarkan peristiwa yang benar-benar terjadi ketika sejumlah orang terkenal di Bogota dibunuh oleh kelompok pengedar dadah Colombia, Pablo Escobar pada tahun 1990 hingga 1991.

Para responden yang ditanya Marquez untuk penulisan novel itu umumnya adalah mangsa-mangsa yang terselamat daripada drama pembunuhan tersebut.

Marquez kemudian mengolah cerita tersebut dengan gaya penulisan 'realisme magis' menjadi sebuah cerita yang sangat menarik.

R.Z Sheppard menulis di majalah Time edisi 13 oktober 1997. Beliau mengatakan Marquez memang seorang pakar dalam menulis karya sastera dengan gaya 'realisme magis' di mana penulis memadukan fantasi dengan gambaran realiti sosial.

Ramai orang yang mengikuti berita pembunuhan ngeri itu, tetapi dalam novel Marquez, peristiwa tersebut digambarkan secara terperinci dan cermat. Seperti yang sering dilakukannya, Marquez membuat peristiwa fantastik itu menjadi sesuatu yang kelihatan biasa.

Shepperd yang merupakan seorang wartawan di majalah Time, memandang hal itu adalah pelukisan klasik khas Garcia Marquez iaitu lucu, tragis dan juga sangat manusiawi.

Pada Disember 2000, Marquez didapati menderita penyakit kanser limpa. Setelah dirawat selama setahun, Marquez mengatakan kepada akhbar El Tiempo bahawa dirinya sudah berasa cukup sihat. Dia pun bergegas untuk menyelesaikan buku memoirnya.

Berbicara tentang sajak di Internet yang mengatakan bahawa dirinya sedang kritikal, Marquez mengatakan bahawa cerita itu palsu semata-mata.

"Satu-satunya yang mencemaskan saya adalah saya mati dalam keadaan yang memalukan kerana orang percaya saya menulis sesuatu yang begitu rendah selera, sedangkan saya tidak seperti yang dibayangkan. Apa yang menghairankan saya juga adalah para pembaca buku-buku saya percaya itu adalah tulisan saya," katanya

0 comments: