Kemelut Kampung Buah Pala jika berlarutan umpama 'bom jangka'

Kemelut Kampung Buah Pala jika berlarutan umpama 'bom jangka'

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

KAMPUNG Buah Pala, yang dihuni kaum India lebih seabad lalu, kini menjadi tumpuan orang ramai berikutan kontroversi keengganan kira-kira 300 penduduknya untuk berpindah.

Tindakan penduduknya mahu mempertahankan kampung yang lebih dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang sudah berakhir selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang berpihak kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Namun, ia tidak bermakna penduduk tiada peluang lagi menyelamatkan perkampungan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka itu. Harapan kira-kira 300 penduduk untuk terus mendiami perkampungan yang terletak di atas bukit di Gelugor itu masih ada.

Tanah seluas 2.6 hektar itu masih boleh diselamatkan daripada dibangunkan, walaupun pihak berkuasa negeri sudah meluluskan projek pembangunan di tanah yang mempunyai hak pegangan kekal itu. Walaupun Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan yang tidak berpihak kepada mereka, tanah itu masih boleh diselamatkan tanpa melanggar keputusan berkenaan, iaitu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Akta berkenaan membolehkan tanah itu diambil balik oleh kerajaan sebelum diserahkan semula kepada penduduk, tetapi sudah tentu ia membabitkan kos, iaitu kerajaan terpaksa membayar pampasan kepada pemilik tanah berkenaan.

Pengambilan balik tanah itu adalah satu-satunya cara menyelesaikan pertikaian isu Kampung Buah Pala kerana penduduk tidak berganjak daripada pendirian untuk terus mendiami perkampungan itu, walau apapun berlaku.

Asas kepada keputusan penduduk untuk berkeras mempertahankan perkampungan itu, walaupun keputusan mahkamah tidak berpihak kepada mereka kerana percaya proses pemberian tanah kepada koperasi oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebelum ini tidak melalui prosedur yang betul.

Tetapi, soalnya berapakah nilai pampasan perlu dibayar kepada pemilik tanah berkenaan dan pemaju jika kerajaan negeri mahu mengambil balik tanah itu untuk diserahkan semula kepada penduduk. Mampukah kerajaan negeri membayar pampasan kepada pemilik tanah itu?

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengakui kerajaan negeri tidak mampu untuk membayar pampasan begitu tinggi kepada pemilik tanah jika tanah terbabit mahu diambil balik sehingga memaksanya merayu kepada Kerajaan Pusat untuk campur tangan.

"Jika nak ambil tanah itu, adakah saya ada wang atau tidak. Saya akui kerajaan negeri tidak mampu, mana kita ada wang ambil tanah dengan yang begitu tinggi nilainya," katanya yang tidak menyatakan nilai tanah.

Ketidakmampuan untuk membayar pampasan kepada pemilik tanah dan pemaju jika tanah itu diambil balik bukan bermakna kerajaan negeri tidak prihatin terhadap nasib 23 keluarga yang mendiami perkampungan berkenaan, tetapi nasib 1.5 juta penduduk Pulau Pinang juga perlu diambil kira.

Kerajaan negeri benar-benar tersepit di antara memenuhi tuntutan penduduk dengan sumber kewangan yang tidak mengizinkan. Jika mempunyai kewangan yang mencukupi sekalipun, pendekatan itu belum tentu dilaksanakan kerana ia akan menjadi rujukan kepada kes lain pada masa depan.

Oleh itu, kerajaan negeri cuba mencari alternatif lain, iaitu meminta penduduk menerima pampasan sehingga RM200,000 dan sedia 'memaksa' pemaju supaya membayar pampasan jika mereka tidak mahu berbuat demikian.

Setakat ini, pemaju masih berpegang kepada pendirian enggan membuat sebarang pampasan kepada penduduk apatah lagi keputusan mahkamah yang menetapkan pemaju tidak perlu membayar pampasan, juga menguatkan lagi pendirian mereka.

Berapa banyak sekalipun tawaran pampasan, penduduk menyatakan mereka tidak berminat menerimanya kerana pendekatan itu bukan satu pilihan. Apa yang mereka mahukan ialah tanah itu diserahkan balik bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan seperti biasa.

Walaupun mahkamah sudah mengeluarkan notis supaya mengosongkan tanah itu sebelum 3 Ogos ini, penduduk nekad tidak akan keluar walau apapun yang terjadi sambil menegaskan 'peperangan (usaha mendapatkan balik tanah) baru bermula'.

"Peperangan baru bermula. Lihat apa berlaku apabila bailif mahkamah datang menampal notis (mengarahkan penduduk mengosongkan) dan bayangkan apa akan berlaku pada 2 Ogos ini apabila tempoh yang diberikan tamat," kata Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Lorong Buah Pala, S Sugumaran.

Pada masa sama, pemaju juga dengan jelas menyatakan tidak akan membuat tawaran pampasan kerana sudah berbuat demikian sebelum ini dengan menawarkan antara RM140,000 hingga RM260,000 kepada setiap keluarga, tetapi hanya 10 keluarga menerimanya.

Pemaju yang sudah lama bersabar dengan kerenah penduduk, tidak mahu bertolak ansur lagi dan akan meneruskan kerja membersihkan kawasan itu untuk dibangunkan kondominium yang mempunyai nilai pembangunan kasar RM200 juta sebaik notis pengosongan berkuat kuasa 3 Ogos ini.

Dalam keadaan sekarang, jalan penyelesaian agak sukar kerana dua pihak membawa haluan masing-masing. Penduduk enggan menerima pampasan kerana mahu terus tinggal di kampung itu, manakala pemaju juga enggan membayar pampasan. Pada masa sama, kerajaan negeri tidak mampu mengambil balik tanah untuk diserahkan kepada penduduk.

"Sekarang kita tersepit dalam keadaan pemaju tidak mahu bayar pampasan dan penduduk tidak mahu terima pampasan. Apa kita boleh buat," kata Guan Eng yang menjadi cemuhan penduduk Kampung Buah Pala, hatta mendesak beliau meletak jawatan.

Tindakan Guan Eng menyalahkan kerajaan negeri terdahulu tidak akan menyelesaikan masalah kerana tempoh penduduk dibenarkan menduduki penempatan itu akan berakhir pada 2 Ogos ini. Sebaliknya, ia menyerlahkan sikap tidak matang dan ketidakmampuan kerajaan negeri apabila berdepan masalah rakyat.

Isu Kampung Buah Pala jika tidak diselesaikan segera boleh menjadi 'bom jangka' terhadap soal keselamatan dan perpaduan negara. Apapun, Guan Eng dan keluarga mungkin boleh tidur lena kerana tidak lagi 'diancam' anai-anai, semut api dan musang kerana sudah berpindah ke banglo mewah selepas kediaman rasminya, Seri Teratai diancam makhluk perosak itu, tetapi 300 penduduk Kampung Buah Pala menghitung hari apa akan jadi kepada mereka selepas 2 Ogos ini.

Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Pulau Pinang

0 comments: