Bukti rakyat didahulukan

Bukti rakyat didahulukan

Oleh Anuar Ahmad

BELUM sampai seratus hari menerajui kerajaan, kabinet Datuk Seri Najib telah memberikan begitu banyak kejutan dan harapan. Bermula dengan konsep ‘Satu Malaysia’, dasar liberalisasi ekonomi dan penghapusan 30 peratus ekuiti bumiputera di dalam beberapa sektor ekonomi hinggalah pengenalan biasiswa nasional.

Terbaru dan yang paling mendapat perhatian masyarakat ialah pemansuhan PPSMI.Di sebelah pagi Selasa minggu lalu salah seorang pelajar bertanya tentang isu PPSMI apabila penulis baru ingin memulakan kuliah. Mulanya penulis ingin sahaja memberikan jawapan seperti seorang menteri yang pasti akan berkata ‘tunggu sahaja petang nanti’ tetapi memikirkan soalan itu sangat berkaitan dengan tajuk kuliah ‘Pendidikan dan Masyarakat’, penulis rasa bertanggungjawab memberikan pandangan walaupun secara ringkas. (Tentu sahaja pandangan akademik berasaskan kajian pendidikan).

Secara mudah, penulis katakan kepada mereka ada tiga perkara yang sedang berlaku pada isu PPSMI. Pertama, niat tidak semestinya menghalalkan cara. Kedua, memansuhkan PPSMI memerlukan lebih daripada kebijaksanaan tetapi juga jiwa yang besar dan berani. Ketiga, tumpuan yang lebih penting ialah menentukan hala tuju dan perencanaan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris selepas PPSMI dimansuhkan khususnya kepada pelajar Melayu.

Sejak dicadangkan pada Mei 2002 dan terus dilaksanakan pada tahun 2003, PPSMI tidak pernah hilang daripada arus perdebatan perdana hinggalah pada Selasa lepas pengumuman pemansuhan dasar ini dibuat. Enam tahun lamanya rakyat dibiarkan ‘bergelumang’ dengan konflik ini. Kepada sesetengah ahli masyarakat, pemansuhan PPSMI dilihat sebagai ‘kekalahan’ pihak kerajaan yang seakan akur dan tunduk dengan desakan pembangkang dan pejuang bahasa.

Manakala pada yang lain pemansuhan ini dilihat lebih sebagai usaha kerajaan untuk mendapat undi sempena Pilihan Raya Kecil di Manek Urai. Namun kedua-dua tuduhan ini telah pun dinafikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI pada petang Selasa lalu.

Kalau soal ingin mengalah dan akur dengan desakan pembangkang, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO boleh sahaja mengambil jalan mudah dengan mempertahankan sahaja dasar PPSMI. Malah pengekalan dasar PPSMI boleh sahaja menjadi satu isyarat bahawa kerajaan BN adalah parti yang kuat dan masih berkuasa penuh di negara ini. Walaupun sedikit tergugat akibat tsunami politik Pilihan Raya Umum (PRU 12), kerajaan BN sebenarnya masih mempunyai kekuatan untuk membuat pilihan sama ada meneruskan atau memansuhkan PPSMI. Oleh itu, soal kerajaan BN ‘tunduk’ kepada desakan pembangkang supaya memansuhkan PPSMI bukan sesuatu yang tepat.

Kedua, jika pemansuhan ini semata-mata untuk mendapat undi popular daripada pengundi Manek Urai, perlukah nama baik sebagai parti pemerintah dikorbankan semata-mata untuk memenangi kawasan yang sememangnya dikatakan oleh Perdana Menteri sebagai kubu kuat PAS di Kelantan? Perlukah modal politik sebesar dan sepenting PPSMI digunakan di Manek Urai semata-mata untuk meyakinkan pengundi di Manek Urai yang sebenarnya tidak pun begitu teruja pun dengan isu PPSMI?

Isu PPSMI ini penting pada semua rakyat tetapi kepentingannya berbeza-beza antara satu kumpulan dengan kumpulan pengundi yang lain. Pengundi Manek Urai lebih dahagakan isu pembangunan, imej dan amalan keislaman, dan calon pemimpin tempatan yang berjiwa rakyat. PPSMI mungkin modal besar di dalam pilihan raya di bandar atau pilihan raya umum akan datang tetapi tidak di Manek Urai.

Jadi apa lagi alasan yang boleh disebut untuk membenarkan pemansuhan ini? Pada penulis, keputusan pemansuhan PPSMI membuktikan satu perkara yang lebih penting daripada tuduhan-tuduhan tersebut . Penulis melihat apa yang mewajarkan tindakan ini iaitu keikhlasan serta keberanian kepimpinan Najib untuk membetulkan sesuatu dasar yang didapati meragukan serta menimbulkan begitu banyak keresahan di hati rakyat.

Semua data yang diperoleh melalui kajian memihak kepada pemansuhan PPSMI. Misalnya, kajian menunjukkan hanya separuh sahaja (kurang 58 peratus) masa yang diperuntukkan untuk PPSMI telah digunakan oleh guru dalam mata pelajaran sains dan matematik. Selebihnya guru tetap menggunakan bahasa Melayu.

Tindakan ini terpaksa dilakukan oleh guru kerana bimbang prestasi pelajar akan lebih merudum kerana gagal memahami apa yang diajarkan dalam bahasa Inggeris. Keduanya guru sendiri didapati tidak mempunyai tahap kemahiran berbahasa Inggeris yang memuaskan untuk diamalkan di dalam pengajaran mereka.

Keadaan ini membuktikan guru sains dan matematik yang belum bersedia dan tidak berupaya sepenuhnya mengajar di dalam bahasa Inggeris dan pada masa yang sama pelajar juga mengalami kemerosotan pencapaian akademik yang serius.

Selain itu kajian juga mendapati jurang pencapaian yang semakin melebar antara pelajar bandar dan luar bandar, tahap prestasi pelajar bagi kedua-dua subjek ini juga semakin menurun tahun demi tahun. Maka sesuatu perlu dilakukan segera untuk memperbaiki keadaan ini. Keputusan kerajaan setelah mengambil kira semua keadaan iaitu memansuhkan PPSMI dan pada masa yang sama meningkat usaha pengajaran bahasa Inggeris berlipat kali ganda.

Maka atas semangat keikhlasan, keberanian mengakui kelemahan serta berani melaksanakan untuk membetulkan dasar ini walaupun sukar serta terpaksa berhadapan dengan bekas pimpinan besar negara seperti Dr. Mahathir, Najib tetap melakukannya dengan bijaksana.

Beliau telah berjaya ‘menarik rambut di dalam tepung’. Nampaknya sudah dua kali beliau berjaya melakukan dengan baik. Pertama, ketika mengumumkan dasar liberalisasi ekonomi, orang bukan Melayu begitu gembira sekali dengan keputusan kerajaan tetapi pada masa yang sama beliau juga berjaya memahamkan orang Melayu asas-asas tindakan beliau.

Berjaya

Kedua, semasa beliau memperkenalkan Biasiswa Nasional, beliau sekali lagi berjaya menarik perhatian serta sokongan bukan Melayu dan turut mendapat sokongan daripada kepimpinan Melayu. Selasa lalu, apabila dasar PPSMI dimansuhkan, rata-rata orang Melayu pula sangat gembira dan orang bukan Melayu pula boleh menerima keputusan ini dengan baik sekali. Malah mereka patut lebih gembira bila bahasa Mandarin dan Tamil diiktiraf sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah jenis kebangsaan.

Semua kajian yang dilakukan antara tahun 2003 hingga 2007 berkaitan dengan PPSMI juga bersetuju tentang dua perkara. Pertama, dasar ini telah digubal dan dilaksanakan dengan tergesa-gesa. Walaupun ada kajian yang dilakukan untuk melihat bagaimana PPSMI boleh dilaksanakan sebelum perlaksanaannya, kajian itu lebih menjurus kepada kajian analisis keperluan untuk tujuan pelaksanaan bukannya kajian berkaitan sentimen masyarakat serta pengaruhnya terhadap jati diri dan identiti kebangsaan dan kesediaan guru dan pelajar.

Kedua, semua kajian selepas pelaksanaan menunjukkan jurang pencapaian antara pelajar yang boleh menguasai bahasa Inggeris dan yang tidak ada kemahiran bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran matematik dan sains semakin besar tahun demi tahun.

Mata pelajaran sains dan matematik adalah mata pelajaran wajib UPSR, kegagalan mencapai keputusan yang baik disebabkan asas bahasa Inggeris yang lemah akan menafikan masa depan mereka untuk belajar di sekolah asrama penuh, sekolah yang baik serta lebih menyedihkan terbina satu sistem kepercayaan bahawa mereka merupakan kategori atau kumpulan pelajar yang lemah.

Tindakan memartabatkan bahasa Melayu sememangnya sangat diperlukan sekarang. Gelombang kepupusan bahasa sebenarnya sedang melanda dunia pada hari ini. Tahukah anda bahawa terdapat lebih enam ribu bahasa yang dituturkan oleh penduduk dunia pada hari ini. Malangnya lebih separuh daripada jumlah itu sedang diancam kepupusan kerana kekurangan penuturnya hari demi hari.

Manakala terdapat 300 bahasa pula yang dituturkan oleh kurang dari satu juta penuturnya di seluruh dunia. Malah jumlah bahasa yang mempunyai penutur lebih sejuta orang semakin hari menjadi semakin berkurang. Keadaan ini berlaku kerana penutur asalnya tidak lagi bertutur dalam bahasa ibunda tetapi memilih untuk bertutur di dalam bahasa asing. Sebabnya mudah, kerana bahasa ibunda sudah tidak penting dan hanya di dalam kelompok kaumnya sahaja.

Malah kajian juga menunjukkan kadar kepupusan bahasa di dunia sejak 500 tahun lalu jauh lebih tinggi berbanding dengan kepupusan jenis-jenis burung dan mamalia. Profesor Dr. Steve Sutherland, seorang pengkaji bahasa di Universiti East Anglia, United Kingdom pada tahun 2007 melaporkan bahawa kadar kepupusan bahasa di seluruh dunia sejak 500 tahun lalu adalah sebanyak 4.5 peratus berbanding kepupusan burung pada kadar 1.3 peratus dan kepupusan mamalia sebanyak 1.9 peratus.

Kajian beliau juga menunjukkan bahawa terdapat tiga bahasa yang paling utama di dunia pada hari ini ialah Bahasa Mandarin, Inggeris dan Sepanyol yang dituturkan di kebanyakan penjuru dunia. Ketiga-tiga bahasa ini juga disenaraikan sebagai bahasa yang paling pesat berkembang. Jelas sekali ketiga-tiga bahasa tersebut sudah diangkat dan berjaya menjadi bahasa utama dunia.

Apakah kesannya bila sesuatu bahasa mengalami kepupusan? Bangsa itu secara langsung akan hilang identiti dan jati diri. Bila sesuatu bahasa kumpulan etnik pupus maka cara hidup, adat budaya serta ilmu pengetahuan masyarakat bersifat indigenous juga akan pupus. Pelbagai pantang larang, norma dan nilai hidup, kepercayaan serta upacara perayaan kemasyarakatan juga akan turut pupus bersama bahasa tersebut.

Mungkin kisah nasib bahasa Maori boleh dijadikan peringatan kepada kita semua. Suatu masa dahulu sebelum New Zealand dikuasai oleh masyarakat Eropah, bahasa Maori merupakan bahasa utama di kalangan masyarakat asal di kepulauan negara tersebut. Kehadiran masyarakat Eropah yang kemudiannya menetap di New Zealand telah menyebabkan bahasa Inggeris dikembangkan sehingga mengancam kewujudan bahasa Maori.

Sebagai penutur bahasa Inggeris, para imigran Eropah telah merancang perkembangan bahasa Inggeris dengan sistematik. Walaupun bahasa Maori diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan, malangnya oleh kerana tiada perancangan perkembangan bahasa Maori apatah lagi untuk menjadikan bahasa Maori sebagai bahasa antarabangsa, maka bahasa Maori akhirnya semakin pupus di New Zealand.

Kesannya sehingga tahun 1980-an tinggal sekitar 20 peratus sahaja di kalangan masyarakat Maori yang boleh bertutur di dalam bahasa ibunda mereka. Kebanyakan orang Maori yang telah berpindah ke bandar-bandar besar dan tidak lagi mengamalkan bahasa Maori.

Malah mereka juga mula meninggalkan adat resam dan budaya Maori sebaliknya mengasimilasikan diri dengan budaya masyarakat Eropah. Semuanya kerana kegagalan perancangan untuk memartabatkan bahasa Maori ke peringkat yang lebih tinggi daripada sekadar bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris yang merupakan bahasa ekonomi, intelektual dan hubungan antarabangsa.

Sekarang dilaporkan bahawa hanya seorang daripada empat orang Maori sahaja yang boleh bertutur di dalam bahasa Maori. Jumlah ini juga semakin mengecil hari demi hari.

Di akhir kuliah secara berseloroh penulis bertanya pada para pelajar, “jika anda diberikan pilihan antara untuk hidup atau untuk sihat, manakah yang akan anda pilih”, spontan semua pelajar menjawab serentak, “mestilah kami pilih untuk hidup”. Nampaknya kerajaan pun telah memilih untuk hidup kerana bahasa jiwa bangsa. Bila kita sudah mendapat kehidupan, barulah kita boleh mencari kesihatan, tak mungkin berlaku sebaliknya.

0 comments: