“Hang anak sapa?” tanya Tunku

“Hang anak sapa?” tanya Tunku

Oleh Zainuddin Maidin

SEKALIPUN dalam karier sebagai wartawan saya telah menemui sekian banyak pemimpin negara dalam dan luar negara tetapi sesuatu yang amat berkesan kepada ingatan saya sehingga ke hari ini ialah pertemuan khas pertama dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra pada waktu subuh 17 Februari 1963 di rumahnya di tepi sungai di Mergong, Alor Setar, Kedah sebagai wartawan Utusan Melayu.

“Hang anak sapa?” tanya Tunku dan saya memberitahunya, “anak Maidin peniaga di Kota Kuala Muda, Kedah”. Belum habis saya memberitahunya, Tunku berkata “Oh aku kenailah pak hang, ada kedai rempah cabai, dah pernah pi ke kedainya.”

Saya mengaku, “ya Tunku! ya Tunku!,” tetapi sebenarnya semuanya tidak betul, bapa saya adalah seorang pekedai kopi. Saya faham tujuan Tunku yang melihat saya masih “budak” untuk membuat saya rasa penting dan selesa dengannya.

Walaupun saya pernah sebelumnya meliputi lawatan Tunku di beberapa daerah di Kedah dan Perlis tetapi itulah pertama kali saya menemuinya untuk mengadakan interviu khas. Dalam diari 1963 yang masih saya simpan, tercatit antara lain saya meliputi Tunku merasmikan Sekolah Arab Perempuan Kangar pada Rabu 2 Januari 1963 dan pembukaan Sekolah Agama Batu Menunggal Pendang, Kedah pada Sabtu 5 Januari 1963.

Saya meminta interviu khas itu bukan atas arahan dari Ibu Pejabat Utusan di Kuala Lumpur tetapi atas keazaman saya untuk mengajar wartawan Straits Times, Chan Beng Soon yang tidak berkawan dengan lain-lain wartawan dan sering mendapat berita eksklusif daripada Tunku setiap kali Tunku pulang ke Alor Setar. Wartawan-wartawan akhbar Cina dan seorang wartawan akhbar Straits Echo, Ooi Ah Kow juga bermusuh dengannya.

Bila Tunku pulang lagi ke Alor Setar pada bulan Februari, selepas suatu upacara di Pasar Baru Alor Setar di Jalan Sultan Ibrahim, saya telah menemui body guard Tunku yang berbadan besar, tinggi dan bermuka garang, Pak Cat namanya dan memberitahu hasrat saya untuk menemui Tunku. Dengan keras dia menjawab tak boleh menyebabkan saya terus kepada Tunku dan menyatakan hasrat saya. Tunku memanggil Pak Cat dan memberitahu “Ni budak Utusan nak jumpa saya, suruh dia datang lepas subuh esok”.

Saya berbasikal ke rumahnya di Mergong lebih dua kilometer dari rumah saya di Sungai Korok. Tunku yang baru selesai sembahyang subuh dan masih berbaju Melayu dan bersarung menyuruh saya duduk dan beliau duduk di samping saya dan mungkin untuk membuat saya rasa selesa dan senang dengannya Tunku berpura-pura mengetahui bapa saya semasa beliau bertugas sebagai pegawai daerah di Kulim.

Pagi itu saya telah mendapat berita eksklusif paling besar yang ditunggu-tunggu oleh dunia. Tunku bersetuju dengan anjuran Presiden Diosdado Macapagal dari Filipina untuk mengadakan sidang meja bulat antara kepala negara Asia bagi menghindarkan sengketa yang lebih buruk di dunia sebelah sini akibat pembentukan negara Malaysia yang ditentang keras oleh Indonesia.

Hubungan Indonesia-Malaya semakin buruk apabila Indonesia melancarkan konfrontasi terhadap Malaya berikutan dengan pengumuman Tunku pada 27 Mei 1961 untuk membentuk Malaysia dalam suatu majlis jamuan tengah hari yang diberikan oleh wartawan asing di Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura.

Tunku membuat pengumuman itu secara bersahaja yang disifatkan oleh seorang ahli sejarah Sir Richard Allen sebagai disarmingly casual tetapi hinted a change of course which was profoundly to effect his country and her neighbours.

salinan ucapan

Tunku telah memberikan salinan ucapannya kepada semua wartawan di majlis tersebut supaya mereka tidak merasakan suasana bekerja tetapi sebaik sahaja habis ucapannya yang mendapat tepukan bergemuruh keadaan menjadi ribut. Wartawan seperti tidak percaya tentang apa yang mereka dengar dan berebut-rebut untuk mendapatkan lagi salinan ucapannya.

Bahagian ucapan Tunku yang telah menarik perhatian para wartawan ialah Sooner or later Malaya should have an understanding with Britain and the people of Singapore, North Borneo dan Sarawak. It is premature for me to say now how this closer understanding can be brought about but it is inevitable that we should look ahead to this objective and think of a plan whereby these territories can be brought closer together in political and economic cooperation

Menurut Tunku dalam bukunya Looking Back sebaik sahaja pulang ke Kuala Lumpur orang yang pertama sekali datang menemuinya untuk menyokong cadangan itu dengan penuh ghairah ialah Sultan Brunei yang menyeru Tunku supaya jangan melewat-lewatkannya.

Tunku berjanji kepada baginda untuk melakukan apa sahaja yang boleh bagi memulakan kerja ke arah itu memandangkan sokongan hangat yang diterima terutama daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew tetapi reaksi pantas daripada Presiden Indonesia, Sukarno menuduh Malaysia sebagai gagasan penjajahan baru (neo- colonialist) yang mahu dipaksakan ke atas rakyat di wilayah ini tanpa membuat rujukan kepada hasrat mereka.

Dalam interviu dengan saya pada Isnin 17 Februari 1963, Tunku menyatakan pandangan Sukarno itu adalah untuk menyukakan hati Parti Komunis Indonesia (PKI). “Konfrontasi Indonesia itu adalah hadiah sagu hati Presiden Indonesia kepada pemimpin PKI, D.N.Aidit yang telah mulai mempengaruhi pemerintahan Sukarno. Tidak munasabah tuduhan Malaya hendak mengepung Indonesia kerana rakyat Malaya yang hanya sembilan juta mustahil boleh mengepung seratus juta umat Indonesia”, katanya.

Tunku juga telah menolak cadangan Pas supaya Malaya mengadu kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) kerana konfrontasi Indonesia tidak akan merugikan Malaya. Berita interviu khas dengan Tunku itu tersiar sebagai berita utama muka satu Utusan Melayu keluaran 18 Februari 1963 dengan tajuk: Hadiah Sukarno kepada Aidit, Tunku tolak cadangan mengadu kepada Bangsa Bangsa Bersatu. Berita ini telah dipetik oleh Radio Malaya, agensi agensi berita asing dan juga akhbar Straits Times yang menyebabkan wartawannya di Alor Setar sejak itu berbaik dengan saya.

Sebelum berita tersebut dikirim ke Kuala Lumpur, Tunku telah menghantar Pak Cat ke pejabat saya di Pasar Yaacob, Alor Setar untuk mendapatkan salinannya. Mungkin Tunku kurang percaya dengan saya yang masih nampak sebagai budak mentah. Saya memberikan salinannya dan Pak Cat datang balik ke pejabat saya mengembalikan salinan itu. Tunku hanya meminda satu perkataan sahaja.

Dalam diari 1963 tercatat bayaran telefon bagi penghantaran berita itu pada 17 Februari 1963 sebanyak RM24 bagi masa kira-kira 10 minit (jauh lebih mahal dari sekarang). Bagaimanapun pertemuan meja bulat yang dicadangkan oleh Filipina itu tidak berlaku sebaliknya pertemuan antara tiga kepala negara iaitu Sukarno, Tunku dan Macapagal berlangsung di Tokyo pada Jun 1963 dan diikuti dengan satu lagi pertemuan kemuncak antara mereka di Manila pada Julai 1963 untuk mencari jalan penyelesaian bagi pembentukan Malaysia.

Tunku dalam buku Looking Back menulis dari kronologi perkembangan yang berlaku terutama Persidangan Puncak di Manila pada Julai 1963 menunjukkan dengan jelas bahawa Presiden Sukarno telah tetap pendiriannya untuk tidak menerima Malaysia sebagai sebuah negara”.

Tanpa mempedulikan Konfrontasi Indonesia dan tanpa penyertaan Brunei yang pertama sekali menyatakan hasrat untuk menyertainya, Tunku mengisytiharkan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 “tetapi tidak dalam keadaan bersemangat seperti perisytiharan kemerdekaan Malaya enam tahun yang lalu sebaliknya dalam perasaan sesuatu yang lebih buruk akan berlaku”, kata Tunku.

Perasaan Tunku itu memang benar, dalam masa Konfrontasi, Sukarno telah menghantar tenteranya yang didakwa sebagai sukarelawan menerusi darat dan udara untuk mengerakkan perang gerila bagi menghancurkan Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew menjadi duri dalam daging (baca buku Duri Dalam Daging oleh Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud) dengan menceroboh kontrak sosial antara Melayu dan bukan Melayu yang diasaskan sejak kemerdekaan Malaya.

Ketika suasana negara semakin meruncing dengan peningkatan ancaman dari Indonesia, saya telah ditukarkan ke Kuala Lumpur yang memberi peluang kepada saya untuk lebih dekat dengan kejadian dan perkembangan seterusnya, tidak sahaja sebagai penyaksi dan pencatat sejarah sambil lalu tetapi ada kalanya terlibat atau hampir terlibat secara langsung.

Saya tidak menyangka bahawa berita eksklusif pertemuan dengan Tunku itu akan memberikan suatu lonjakan dalam karier saya yang menyebabkan saya ditukar ke Kuala Lumpur untuk memulakan suatu perjalanan yang begitu jauh penuh warna-warni dalam dunia kewartawanan yang menjadikan hari hari berlalu selama lebih 30 tahun dengan pengisian hidup penuh bererti.

kunjungan

Kini kawan-kawan wartawan di Alor Setar kebanyakannya sudah tidak ada lagi tetapi yang abadi dalam kenangan saya ialah wang 10.00 dolar yang diberikan kepada saya oleh seorang yang seperti abang kepada saya iaitu wartawan Straits Echo, Ooi Ah Kow pada petang saya hendak berlepas dengan kereta api ke Kuala Lumpur kerana menganggap pertukaran saya itu sebagai suatu pencapaian.

Rumah Tunku di Jalan Putra Mergong kini dikenali sebagai Rumah Merdeka yang terbuka untuk kunjungan orang ramai pada setiap hari mulai pukul 10 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada hari Isnin kecuali pada hari cuti am atau cuti sekolah.

Rumah ini mencatatkan sejarah dengan kunjungan mengejut pada 27 Mei 1966 “Misi Muhibbah” 20 pegawai tinggi tentera Indonesia yang diketuai oleh Laksamana Muda Laut O.B.Syaaf untuk menyampaikan kepada Tunku perutusan khas Jeneral Suharto bagi menamatkan konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia.

Rombongan ini singgah lebih dahulu menemui Timbalan Perdana Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur. Saya adalah salah seorang dalam rombongan wartawan yang diterbangkan khas bersama wartawan lain dari Kuala Lumpur mengikuti rombongan ini ke Rumah Tunku untuk membuat laporan mengenai saat saat paling dramatik dalam sejarah Konfrontasi yang menjadi kenangan manis dan indah hingga ke hari ini.

Salah seorang daripada anggota tentera Indonesia itu adalah Lt. Jen Kemali Idris sendiri yang mencatatkan dalam bukunya Bertarung Dalam Revolusi “Kami diterima dengan penuh mesra, akrab dan ramah kerana mereka menganggap Indonesia adalah saudara.”

Berikutan dengan itu Indonesia telah menamatkan konfrontasinya secara rasmi terhadap Malaysia pada 7 Jun 1966 dengan penandatanganannya antara Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Menteri Luar Indonesia Adam Malik di Jakarta pada 11 Ogos 1966.

0 comments: