Prestasi Najib?

Prestasi Najib?

Bisik-Bisik Mingguan AWANG SELAMAT

RASANYA tidak perlu Awang menulis panjang lebar tentang Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak sempena 100 hari beliau menyandang jawatan tersebut, semalam.

Ada dua sebab. Pertama, sudah banyak bahan penulisan memperkatakan tentang pencapaian beliau sejak beberapa hari lalu. Awang tidak mahu kelihatan berlebihan.

Kedua, Najib telah menunjukkan prestasi yang memuaskan dalam tempoh tersebut, yang tidak memerlukan Awang berhempas pulas memperincikannya lagi. Dari awal penglibatannya dalam politik, beliau sendiri adalah ‘produk’ yang baik dan itu dibuktikan lagi dalam tempoh 100 harinya menjadi Perdana Menteri.

Biarpun mengambilalih kepimpinan ketika landskap politik yang amat mencabar dan ekonomi yang muram, ia sedikitpun tidak menggugat keyakinan beliau.

Seawal hari pertama sehingga semalam, Najib telah menggerakkan banyak pembaharuan meliputi ekonomi, politik, kebajikan dan keselamatan. Semalam sahaja, Najib melengkapkan 100 harinya dengan mengumumkan 11 berita gembira sebagai hadiah kepada rakyat.

Penampilannya yang bersahaja dan mesra tanpa terikat dengan protokol ketika berucap di hadapan lebih 5,000 orang di ibu negara semalam adalah isyarat yang jelas bahawa beliau komited dalam agendanya - rakyat diutamakan.

Ketika para hadirin memberikan sorakan bergemuruh terhadap berita yang diumumkannya, rakyat di seluruh negara sebenarnya sudah memperakukan kepimpinan beliau. Najib dilihat telah membawa negara keluar daripada senario yang tidak berapa menentu dan kurang menyakinkan, yang dialami sebelum ini.

Penerimaan rakyat semua kaum terhadap kepimpinan beliau terus meningkat dari semasa ke semasa termasuk kajian terbaru yang dilakukan oleh Merdeka Center. Kesimpulannya, Najib telah melalui 100 hari pertamanya dengan baik dan boleh dibanggakan. Dari pengurusan masa sehinggalah kepada pengurusan isu dan cabaran negara, beliau telah membawa kita pada landasan yang betul. Namun untuk mengharapkan beliau sempurna mengikut kaca mata semua apatah lagi di negara pelbagai kaum seperti Malaysia, adalah mustahil. Kita semua harus realistik.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama yang mendapat sokongan luar biasa daripada seluruh dunia ketika berkempen jawatan itu, juga tidak mendapat ‘markah yang hebat’ dari segi penilaian rakyat AS sepanjang 100 hari pentadbirannya.

Obama turut menerima kritikan. Sudah tentu Najib tidak terlepas daripada kritikan termasuk daripada negarawan seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad. Gagasan 1Malaysia yang beliau perkenalkan misalnya menjadi sasaran kritikan walaupun semakin menerima banyak sokongan.

Begitu juga dengan liberalisasi ekonomi. Suara-suara kritikan dan sindiran kedengaran termasuk daripada kalangan sebahagian orang Melayu. Mereka bimbang percaturan Najib mahu menarik pelaburan asing selain dikatakan ghairah untuk memenangi sokongan bukan Melayu, akan menjejaskan banyak kepentingan Melayu.

Walaupun beliau telah memberikan penjelasan dan menafikan tanggapan itu termasuk jaminan untuk menjaga kepentingan Melayu, kritikan itu masih berlegar.

Tetapi Awang yakin Najib tidak gundah terhadap segala kritikan. Lagipun apa salahnya jika ada kritikan? Mana-mana pemimpin yang hebat termasuk Dr. Mahathir pernah dihujani kritikan. Kritikan jika ditangani dengan bijak akan menjadikan seseorang pemimpin itu lebih hebat untuk terus dipayungi oleh rakyat. Awang selalu percaya pemimpin tidak boleh dibuai hanya dengan pujian dan kata-kata manis. Dalam hal ini, tidak salah Najib diasak dengan kritikan asalkan ia dalam semangat yang betul dan membina.

Awang gembira kerana setakat ini Najib sentiasa kelihatan tenang dan tidak pernah melenting dalam reaksinya ketika menjawab soal kritikan yang dilemparkan. Kata-katanya terjaga rapi dan tidak pernah kelihatan angkuh jika dibandingkan dengan beberapa pemimpin pembangkang termasuk yang berlabelkan ulama. Bukan itu sahaja, beliau terus sabar menghadapi fitnah dan tohmahan pihak pembangkang tertentu yang suka melakukan serangan peribadi.

Berbalik kepada 100 hari, mengapa ia menjadi ukuran penting bagi seseorang pemimpin yang baru dilantik mengetuai kerajaan? Dalam sejarah kepimpinan moden, tempoh tersebut dilihat sebagai tanda aras yang cukup signifikan.

Ada pemimpin seperti di beberapa negara Afrika yang melalui tempoh itu dengan menyaksikan bukan sahaja kegagalan malah keganasan yang mengorbankan banyak nyawa. Ada juga pemimpin seperti Presiden AS, Franklin D. Roosevelt menjadi simbol kejayaan pentadbiran 100 hari menerusi perancangannya New Deal, yang kemudian memberi impak kepada kesejahteraan rakyat AS.

Tetapi untuk mengukur kejayaan pemimpin, tidak cukup sekadar 100 hari. Awang yakin Najib akan melakukan lonjakan lebih besar selepas ini. Awang tidak kisah sama ada 100 hari, 1,000 hari mahupun lebih daripada itu, yang penting kualiti kepimpinan. Ia ada pada Najib dan beliau sudah membuktikannya.

0 comments: