Peperiksaan sebelum cuti penggal akhir

PUTRAJAYA 7 Nov. – Kementerian Pelajaran memutuskan mulai tahun depan, peperiksaan akhir tahun di semua sekolah dianjakkan kepada seminggu atau dua minggu sebelum cuti penggal akhir bermula bagi mengatasi masalah pelajar ponteng.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, perubahan itu juga membabitkan tarikh peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang pada masa ini diadakan pada bulan September dan Oktober.

“Sebelum ini, ramai ibu bapa membangkitkan masalah pelajar ponteng sekolah memandangkan tiadanya proses pembelajaran selepas selesai peperiksaan akhir tahun.

“Jadi saya memutuskan peperiksaan diadakan pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti penggal manakala bagi peperiksaan awam, saya minta Lembaga Peperiksaan Malaysia membuat kajian daripada segi aspek teknikal agar tarikh peperiksaan dapat dilewatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat permuafakatan antara kementerian dengan kesatuan-kesatuan guru di sini, hari ini.

Menurut Alimuddin, bagi memeriksa kertas jawapan, para guru boleh melakukannya ketika cuti penggal akhir tahun dan semua keputusan peperiksaan dihantar melalui talian terus kepada pihak sekolah.

“Keputusan itu kemudiannya akan dimaklumkan kepada para pelajar melalui pos,” katanya.

Sementara itu, Alimuddin berkata, kementerian akan memastikan kekosongan kuota jawatan Guru Cemerlang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG44 sebanyak 3,926 daripada keseluruhan 4,000 kuota baru dapat diisi sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang akhir tahun ini. Bilangan penyandang jawatan itu pada masa ini hanya 74 orang.

Ditanya mengapa kuota jawatan itu masih banyak tidak diisi, beliau menjelaskan, ia berpunca daripada sambutan dingin para guru apabila tidak ramai yang membuat permohonan bagi jawatan itu.

Justeru, katanya, kementerian menggunakan kaedah baru iaitu cadangan mengisi jawatan tersebut dibuat oleh Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, pengetua sekolah atau kesatuan perguruan selain guru tersebut membuat permohonan.

“Saya sebenarnya tidak berapa jelas mengapa ia disambut dingin walaupun kita buat macam-macam kempen.

“Mungkin ada guru merasakan adakah mereka layak memohon atau bimbang terpaksa memberikan ceramah di sana sini apabila memegang jawatan tersebut,” katanya.

Kata beliau, pihaknya berharap kuota tersebut dapat segera diisi dan akan memohon kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah jumlah kuota bagi memastikan usaha memartabatkan kerjaya perguruan dapat dipertingkatkan.

0 comments: