20 lelaki didakwa berhimpun haram

KUALA TERENGGANU 7 Nov. – Lima remaja merupakan antara 20 lelaki yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana didakwa terlibat dalam satu perhimpunan haram di Jalan Sultan Mahmud pada 8 September lalu.

Kelima-lima remaja terbabit yang berusia dalam lingkungan 14 dan 18 tahun bersama 15 lagi lelaki yang berusia antara 21 dan 69 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Dalam pertuduhan pertama melibatkan 17 lelaki termasuk dua remaja terbabit, mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 10 dan 10.30 malam pada 8 September lalu di kawasan stesen minyak Esso, Jalan Sultan Mahmud, di sini.

Dalam pertuduhan kedua pula melibatkan tiga orang remaja yang didapati telah melakukan kesalahan yang sama antara pukul 10 dan 12 tengah malam pada tarikh yang sama di Kilometer 3 hingga Kilometer 4, Jalan Sultan Mahmud di sini.

Mengikut pertuduhan yang berasingan pula, dua lelaki berusia 21 dan 35 tahun turut didakwa melakukan kesalahan, masa dan tempat yang sama sebagaimana dalam kertas pertuduhan kedua.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Arifin Ismail, manakala kesemua tertuduh diwakili oleh empat peguam dari tiga firma guaman.

Bagi pertuduhan pertama yang melibat 17 lelaki termasuk dua remaja itu, Majistret Mohd. Zul Zakiqudin menetapkan pada 17 Januari depan untuk sebutan semula kes dan membenarkan mereka diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Manakala bagi lima lagi tertuduh, majistret itu menetapkan perbicaraan pada 24, 26 dan 27 Februari 2008. Mahkamah juga membenarkan mereka diikat jamin RM2,000 setiap satu dengan seorang penjamin sementara menunggu tarikh perbicaraan.

0 comments: