GLC didesak terus bantu bumiputera

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) perlu menjuarai usaha membantu meningkatkan keupayaan serta kredibiliti syarikat dan individu bumiputera.

Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, sebagai syarikat milik kerajaan GLC wajib menghayati aspirasi negara, aspirasi bangsa dan sama-sama mengambil tanggungjawab terutama dalam melahirkan masyarakat perdagangan dan perindustrian.

Menurut beliau, GLC hendaklah berperanan sebagai pemangkin bagi membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

‘‘Saya berbangga dengan kejayaan GLC. Saya akan lebih berbangga apabila GLC turut berperanan aktif, membantu memperbesarkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera dan mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.

‘‘Kejayaan GLC menjadi lebih lengkap apabila GLC berupaya mengimbangkan usaha dengan merealisasikan program pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosioekonomi bumiputera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar bertajuk Memperkukuh Keyakinan - Meneroka Era Baru pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Menurut Abdullah, GLC juga hendaklah sama-sama mendukung wawasan kerajaan mewujudkan sistem vendor dan menjalin program usaha sama secara berkesan dengan syarikat bumiputera.

Katanya, tidak ada percanggahan antara matlamat mencapai sasaran keuntungan dengan wawasan membangunkan ekonomi bumiputera.

“Pada hari ini banyak syarikat dan individu bumiputera yang memiliki kemahiran dan keupayaan dan tidak ada sebab syarikat dan individu tempatan disisihkan.

‘‘Tidak seharusnya keistimewaan dan keyakinan diutamakan kepada syarikat atau pakar dari luar negara sahaja,’’ katanya.

0 comments: